©Sinar Harian (Used by permission)
by Syahredzan Johan
ORANG kata, peguam di Malaysia tidak berarak tiap–tiap hari. Tetapi apabila peguam di Malaysia berarak, maknanya ada yang tidak kena dengan undang–undang di dalam negara.
Dalam sejarah badan peguam Bar Malaysia lebih kurang 67 tahun, Bar Malaysia berarak selama 4 kali sahaja. Kali pertama pada tahun 80an sebagai membantah beberapa pindaan kepada Akta Pertubuhan. Perarakan kali kedua dikenali sebagai ‘Walk For Justice’ pada tahun 2007 berikutan kemunculan sebuah video seorang peguam senior yang dikatakan mengatur lantikan hakim. Perarakan kali ketiga, ‘Walk For Freedom’ pula berlangsung pada tahun 2011 bagi membantah Rang Undang–undang Perhimpunan Aman 2011. Dan baru–baru ini, pada 16 Oktober 2014, Bar Malaysia berarak lagi bagi mendesak kerajaan memansuhkan Akta Hasutan.
‘Perarakan Keamanan dan Kebebasan’ ini lanjutan daripada mesyuarat agung luar biasa Bar Malaysia yang diadakan pada 19 September 2014. Suatu resolusi telah diluluskan pada mesyuarat agung tersebut yang mengutuk penggunaan Akta Hasutan dan menuntut supaya pihak kerajaan memansuhkan akta tersebut. Bar Malaysia juga telah meluluskan resolusi supaya suatu perarakan diadakan bagi membantah Akta Hasutan.
Perarakan Keamanan dan Kebebasan telah disertai oleh lebih daripada 2,000 orang yang majoritinya adalah para peguam. Ia juga disertai oleh ramai bukan peguam yang mahu berarak bersama Bar Malaysia untuk menunjukkan bantahan mereka terhadap Akta Hasutan. Perarakan ini bermula di Tempat Letak Kereta Padang Merbok, menyusuri Jalan Parlimen dan kemudian berakhir di hadapan pintu pagar bangunan Parlimen.
Dalam ucapannya sebelum perarakan bermula, Presiden Bar Malaysia, Christopher Leong telah menyatakan bahawa Perarakan Keamanan dan Kebebasan bertujuan mengambil semula ruang demokratik yang semakin sempit akibat penggunaan Akta Hasutan. Beliau juga mengatakan bahawa kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat tidak boleh disekat. Beliau juga menekankan bahawa perarakan tersebut bukan untuk mereka yang menyertainya sahaja, tetapi untuk semua rakyat Malaysia.
Di Parlimen, 10 orang wakil Majlis Peguam telah masuk dan bertemu dengan Datuk Mah Siew Keong, Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi pihak kerajaan. Semasa pertemuan tersebut, Majlis Peguam bagi pihak Bar Malaysia telah menyampaikan memorandum kepada Perdana Menteri melalui Datuk Mah dan beliau telah berjanji untuk menyerahkannya kepada Perdana Menteri.
Memorandum tersebut, antara lain menyatakan bantahan Bar Malaysia terhadap Akta Hasutan dan lebih penting lagi, menyatakan bahawa Bar Malaysia mendukung Perlembagaan Persekutuan termasuklah peruntukan–peruntukan berkenaan dengan agama Islam sebagai Agama Persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu dan Peribumi Sabah dan Sarawak dan juga institusi raja berperlembagaan. Adalah dusta dakwaan sesetengah pihak bahawa Bar Malaysia mahu menukar Perlembagaan.
Memorandum itu menyatakan bahawa Akta Hasutan bukanlah jawapan untuk menggalakkan dan meneruskan keharmonian dan perpaduan yang berkekalan. Hukuman melalui undang–undang tidak akan dapat memupuk rasa hormat–menghormati dan niat baik. Malahan, ia akan menyekat pembelajaran, kematangan dan diskusi. Memorandum itu juga, antara lain, mahu supaya kerajaan terus komited kepada program transformasi politik yang sudah bermula sebelum ini untuk membina sebuah negara yang adil, harmoni, bersatu, moderat dan progresif serta menolak segala bentuk prejudis, ekstremisme dan rasisme yang cuba memecahbelahkan negara.
Kesudahan perarakan keempat dalam sejarah Bar Malaysia berakhir dengan jayanya. Ini, antara lain disebabkan oleh kerjasama yang telah diberikan oleh pihak polis dalam memastikan perarakan tersebut berjalan dengan lancar.
* Penulis adalah seorang peguam muda yang mengamal undang–undang sebagai rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur.