©Sinar Harian (Digunakan dengan kebenaran)
by SYAHREDZAN JOHAN
“Saya tak peduli tentang politik. Saya benci politik. Dua–dua pihak pun sama, dua kali lima,” bunyi tweet yang saya baca. Keluhan seorang anak muda Malaysia yang melalui rangkaian media sosial Twitter. Sentimen ini sebenarnya berleluasa di kalangan anak muda di luar sana.
Bagi mereka, politik itu sesuatu yang terlalu kotor, permainan orang gila pangkat dan kuasa. Mereka tidak endahkan politik dan lebih senang melalui hidup tanpa peduli.
Parti politik sebenarnya sudah mula berkempen sejak pilihan raya umum yang lepas. Tsunami politik yang berlaku menjadikan kedua–dua gagasan politik berentap hampir setiap hari demi mendapat sokongan rakyat. Setiap isu dipolitikkan dan menjadi isu politik; diliputi, dikupas dan mendapat ruang serta tempat di media massa.
Tidak hairanlah jika ramai berasa jengkel dengan gelagat politikus dan situasi politik tanah air pasca PRU 12. Ramai juga berpendapat situasi kita menjadi semakin teruk selepas tsunami politik.
Mereka menuding jari kepada isu–isu ‘sensitif’ yang timbul, berkenaan dengan bangsa, agama dan monarki, contohnya. Maka menurut mereka, politik ini membinasakan, lebih baik kita menjauhinya.
Maaf, tetapi penulis tidak bersetuju. Alasan a politik itu kotor, bahawa kedua–dua pihak dua kali lima dan politikus hanya rakus kuasa bukanlah alasan boleh kita diterima untuk tidak ambil peduli tentang politik.
Politik berkait rapat dengan pemerintahan. Politik adalah tali mengikat pemerintah dengan yang diperintah. Melalui politik, rakyat mengarahkan kerajaan. Melalui politik, kerajaan menterjemahkan apa rakyat mahukan.
Mengikut teori, jika kita mahu suara didengar, maklumkan pada wakil rakyat, seorang politikus, untuk disuarakan di pentas kebangsaan. Seperti kata politikus Perancis, Charles De Gaulle, politik adalah terlalu serius untuk dibiarkan pada politikus sahaja.
Banyak perkembangan positif berlaku pasca PRU 12. Kita telah melihat kematangan rakyat Malaysia walaupun berhadapan dengan perkara yang boleh membawa ketegangan.
Lihat sahaja panggilan untuk membakar Injil oleh seorang politikus baru–baru ini, langsung tidak mendapat sambutan. Malahan dia dicerca semua kerana kenyataannya yang boleh menghasut.
Kita juga melihat pemansuhan ISA, penamatan pengisytiharan darurat, pelonggaran beberapa kekangan terhadap kebebasan madani. Kita juga melihat debat dan diskusi yang berlangsung secara terbuka, sama ada melalui forum fizikal mahupun media sosial.
Penjanakuasaan rakyat juga dapat dilihat apabila aktivisme mendapat sambutan arus perdana dan apabila rakyat semakin berani berhimpun dan mengeluarkan pendapat tanpa rasa takut.
Adalah naif sekiranya kita tidak mengiktiraf perubahan positif yang berlaku selepas dan akibat PRU 12. Adalah juga naif, tidak berpijak di bumi nyata dan sedikit angkuh kita percaya, perubahan positif ini berlaku tanpa melibatkan politik secara langsung atau tidak.
Penulis bukanlah meminati para politikus, mahupun menyokong mana–mana parti politik. Tetapi penulis merasakan politik itu menakjubkan dan begitu penting. Ya, kita tidak patut bergantung pada politik, tetapi harus sedar hanya dengan menterjemah aspirasi kita kepada niat politik, barulah akan ada perkembangan yang kita ingini.
Minggu–minggu yang mendatang akan menyaksikan suhu politik tanah air meningkat beberapa darjah. Parti politik akan menanam tebu di bibir demi mendapat sokongan kita.
Mungkin kita meluat dengan politik dan politikus, tetapi masih perlu mengambil tahu. Kita perlu melibatkan diri dengan proses politik negara. Dengar, faham dan buat keputusan secara berhemah, jangan dibuai emosi atau digoda janji. Apabila tiba masanya, jalankan tanggungjawab, tidak kiralah siapa pun yang kita pangkah nanti.
*Penulis peguam muda yang mengamal undang–undang sebagai rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur.