Home
News
Members' Opinions and Comments
Auku: Langkah penting perlu disusuli
News
Members' Opinions and Comments
Auku: Langkah penting perlu disusuli | Auku: Langkah penting perlu disusuli |
|
|
|
| Monday, 23 April 2012 08:49am | |
©Sinar Harian (Digunakan dengan kebenaran)by SYAHREDZAN JOHAN Setelah desakan daripada pelbagai pihak, termasuk parti politik kerajaan dan pembangkang, serta mahasiswa sendiri dan setelah mendapat maklum balas pelbagai pihak melalui beberapa rundingan meja bulat, kerajaan akhirnya membentangkan pindaan kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) pada 9 April lalu. Pindaan tersebut merangkumi beberapa aspek, tetapi paling penting adalah pindaan kepada Seksyen 15 Auku berkenaan kebebasan mahasiswa dari segi penglibatan dalam pertubuhan dan memberi pendapat. Menurut Seksyen 15 Auku yang sedia ada, mahasiswa dikekang daripada menganggotai parti politik, pertubuhan haram dan mana-mana pertubuhan yang dirasakan tidak sesuai oleh menteri. Juga di bawah Seksyen 15 Auku sedia ada, mahasiswa tidak boleh menyatakan atau melakukan apa-apa yang boleh ditafsirkan secara munasabah sebagai menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik, pertubuhan haram atau pertubuhan yang dirasakan tidak sesuai oleh menteri. Cadangan pindaan kepada Auku menyingkirkan halangan terhadap penglibatan mahasiswa dalam parti politik. Menurut pindaan, mahasiswa kini bebas menyertai dan menjadi ahli parti politik. Mahasiswa juga, mengikut pindaan, tidak lagi dihalang daripada memberi pendapat tentang mana-mana parti politik. Ketika rang undang-undang pindaan itu dibentangkan, terdapat halangan terkandung dalam Seksyen 15(1)(c) yang dicadangkan, iaitu mahasiswa yang memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik tidak boleh bertanding untuk apa-apa jawatan dalam kampus. Namun, hasil usaha dwi-partisan, kekangan ini telah dikeluarkan dan mahasiswa bebas bertanding untuk apa-apa jawatan dalam kampus, tidak kira sama ada mereka memegang jawatan dalam mana-mana parti politik. Cuma, dari segi politik, mahasiswa tidak boleh terlibat dalam mana-mana aktiviti parti politik di dalam kampus. Rang undang-undang ini telah pun diluluskan oleh Dewan Rakyat. Dari segi penglibatan dan ekspresi politik, ia adalah satu langkah penting ke hadapan. Malangnya, masih terdapat kekangan dan halangan lain yang masih wujud walaupun dengan pindaan Auku tersebut. Pindaan tersebut masih tidak mencukupi untuk benar-benar memberi kebebasan berpersatuan, bersuara dan mengeluarkan fikiran kepada mahasiswa seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Pindaan Auku tersebut memberi kuasa kepada lembaga universiti untuk memutuskan, bahawa sesuatu pertubuhan itu ‘tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan’ pelajar atau universiti tersebut, asalkan ia bukan parti politik. Mahasiswa dihalang daripada menyertai pertubuhan ‘tidak sesuai’ ini. Adakah mahasiswa tidak cukup matang untuk membuat keputusan sendiri dan masih memerlukan ketetapan mengikut jari telunjuk universiti? Di samping itu, masih terdapat juga sekatan ke atas hak mahasiswa bersuara dan mengeluarkan fikiran, contohnya memberi pendapat tentang pertubuhan haram dan juga tentang pertubuhan yang ‘tidak sesuai’ mengikut lembaga universiti. Telah cukup undang-undang sedia ada menyekat suara mahasiswa, tidak perlu sekatan istimewa ke atas mereka hanya kerana mereka mahasiswa. Kita harus ingat bahawa institusi pengajian tinggi mempunyai tanggungjawab untuk menggalakkan dan menyuburkan pembangunan pemikiran kritikal mahasiswa dan menggalakkan perbincangan serta debat yang membina. Menghalang penglibatan mahasiswa, menyekat suara mereka dan tidak meletakkan kepercayaan kepada kematangan mereka, maka kita tidak akan dapat melahirkan warga Malaysia yang boleh membina dan membawa negara ke hadapan. Kerajaan telah mengambil satu langkah positif dengan menyingkirkan sekatan penglibatan dan pembuahan pendapat tentang politik. Diharapkan usaha tersebut disusuli langkah-langkah positif seterusnya, termasuklah membuang terus sekatan yang dikatakan tadi. Nampaknya perjuangan mahasiswa menentang sekatan Auku masih belum selesai. *Penulis seorang peguam muda yang mengamal undang-undang sebagai rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur. Set as favourite Share Email This Comments (0)
![]() Write comment
You must be logged in to post a comment. Please register if you do not have an account yet.
|
| < Prev | Next > |
|---|







©


















