feed
Home arrow Committees arrow Malaysian Law Conference Organising Committee 2007 arrow Persidangan Undang-Undang Malaysia Ke-14: Hari Kedua
  • Malaysian Bar Web Ads
  • Malaysian Bar Web Ads
  • Malaysian Bar Web Ads
  • Malaysian Bar Web Ads
  • Malaysian Bar Web Ads
Persidangan Undang-Undang Malaysia Ke-14: Hari Kedua PDF Print E-mail
Contributed by Yusfarizal Bin Yussoff   
Wednesday, 31 October 2007 10:11am

MLCKUALA LUMPUR, Selasa: Sesi pagi hari kedua Persidangan Undang-Undang Malaysia Kali Ke-14 dimulakan dengan ucapan khas oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tentang “Kesamarataan Jantina – Pencapaian Semasa dan Cabaran Masa Hadapan”. Dalam ucapan beliau yang sarat dengan statistik dan indikator angka, beliau menerangkan tentang perubahan-perubahan fasa yang berlaku dalam usaha mempromosikan kesamarataan jantina. Dalam bidang politik, peningkatan positif dapat dilihat dalam penglibatan wanita sebagai ahli parlimen iaitu seramai 21 daripada 219 orang berbanding hanya 3 daripada 104 orang ahli parlimen pada tahun 1959. Begitu juga dengan peratusan keterlibatan wanita dalam sektor pekerjaan yang meningkat kepada 44 – 47% antara tahun 1992 hingga 2006 berbanding hanya 30% pada tahun 1957. Beliau juga menegaskan tentang komitmen kerajaan semasa dalam mempromosikan kesamarataan jantina dengan penubuhan Jawatankuasa Kabinet untuk Kesamarataan Jantina pada 6.12.2004 yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, dan seterusnya pengenalan kementerian khas untuk wanita sendiri. Komitmen pihak kerajaan juga telah menyaksikan penurunan mendadak kepada Malaysia’s Gender Gap Index (MGGI) iaitu sebanyak 0.243 pada tahun 2004 berbanding 0.340 pada tahun 1980. Beliau seterusnya menyimpulkan bahawa perlunya kepada anjakan paradigma dan komitmen padu daripada seluruh komponen masyarakat untuk memastikan kesamarataan jantina dapat dicapai.

Selesai sahaja ucapan khas oleh Dato’ Seri Shahrizat, pentas diserahkan kepada Fernando Pombi, Presiden International Bar Association (IBA) untuk memberikan ucapan beliau tentang “Peraturan Undang-Undang dan Peranan Peguam Dalam Masyarakat”. Dengan mengiktiraf signifikan ulangtahun ke-60 Bar Malaysia yang secara kebetulannya sama dengan ulangtahun ke-60 IBA, Fernando menerangkan secara ringkas tentang peranan yang dimainkan oleh IBA dan antaranya ialah menyokong usaha-usaha mempertahankan hak asasi dan prinsip asas keadilan. Dengan membantu negara-negara seperti Cambodia, Libya dan Palestin dari segi latihan tentang undang-undang hak asasi antarabangsa dan undang-undang jenayah, IBA membantu menebal kefahahan tentang undang-undang kemanusian. Fernando mengakhiri ucapannya dengan menegaskan kepentingan peraturan undang-undang yang hanya dapat dipertahankan dengan ketelusan badan kehakiman dan beberapa faktor sokongan yang lain.

Sesi seterusnya adalah diamanahkan kepada Tommy Thomas untuk mengupas tajuk “Kontrak Sosial – Perjanjian Perlembagaan”. Dengan gaya penyampaian yang cukup meyakinkan, Tommy mengenang kembali sejarah kemerdekaan Malaysia yang menggambarkan toleransi hak antara kaum seawal usaha mencapai kemerdekaan. Tommy mencadangkan bahawa sebagai balasan kepada hak kerakyatan yang diberikan sama rata kepada imigran daripada China dan India, etnik Melayu diberikan keistimewaan hak berbanding kaum lain. Adalah menjadi inspirasi Bapa Kemerdekaan Malaysia untuk melihat sebuah negara berbilang bangsa yang harmoni dan aman damai, dan selaras dengan itu, kontrak sosial perlu dipertahankan. Tommy juga mengupas tentang insiden yang menggugat keamanan seperti rusuhan 13 Mei 1969 dan beberapa cabaran lain yang menggugat kontrak sosial. Beliau mengakhiri ucapannya dengan menegaskan bahawa setelah 50 tahun merdeka, sudah tiba masanya kita membina rakyat Malaysia yang sebenar berpaksikan konsep negara Malaysia.

Professor HP Lee mengambil tempat seterusnya untuk menghuraikan tajuk “The Malaysia Constitution – Retrospective, Prospective and Comparative Perspectives”. Beliau bermula dengan menggariskan 6 “rahmat” yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan, antara lain penerimaan undang-undang kelaziman (Common Law) yang membentuk tapak kukuh kepada sistem perundangan negara dan juga ikatan longgar antara persekutuan dan negeri. Yang lebih menarik dalam ucapan beliau ialah apabila beliau menceritakan tentang contoh krisis kehakiman yang berlaku seperti di Australia dan New South Wales. Di Australia, Hakim Murphy telah diletakkan dalam siasatan rapi disebabkan rakaman perbualan telefon antara beliau dengan peguam yang dikatakan mempunyai kaitan dengan sindiket jenayah terancang. Terdapat juga bukti bahawa Hakim Murphy campur tangan tentang keputusan Majistret lain berkenaan dengan kes keatas peguam yang sama. Professor menyimpulkan dengan menyatakan cabaran-cabaran mendatang kepada Perlembagaan Persekutuan termasuklah senario bahawa Malaysia tidak pernah mengalami transisi perubahan kuasa semenjak kemerdekaan, dan tiada bukti ia boleh atau tidak dilakukan dengan aman dan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Sesi berikutnya adalah gabungan pembentangan oleh Muneer Malek, President, Supreme Court Bar Association Pakistan, Dato’ Dr. Cyrus Das daripada Shook Lin & Bok dan Prof. Shad Saleem Faruqi daripada UiTM. Muneer Malek dalam ucapan 25 minitnya menceritakan semula detik-detik bersejarah dalam sistem kehakiman Pakistan apabila Ketua Hakim Negara Pakistan Iftikhar Choudry dilantik semula selepas dipecat oleh kerajaan. Beliau juga menerangkan stategi yang digunakan oleh peguam di Pakistan ketika itu untuk mengubah paradigma masyarakat, hakim-hakim, ahli-ahli politik dan pasukan tentera tentang pentingnya kebebasan badan kehakiman yang ditentukan hanya oleh rakyat dan bukan kerajaan.

Dato’ Dr. Cyrus Das meneruskan sesi tentang sumbangan badan kehakiman kepada Perlembagaan Persekutuan dengan menyuntik idea bahawa perlunya Mahkamah khas untuk Perlembagaan (Contitutional Court) sebagaimana yang terdapat di kebanyak negara. Beliau juga menjelaskan bahawa Mahkamah di Malaysia tidak menerima pakai “Doctrinal approach” dalam memutuskan kes-kes berkenaan Perlembagaan. Hasilnya, hak seperti hak untuk hidup ditakrifkan hanya sebaik hidup secara fizikalnya berbanding hak untuk kehidupan berkualiti seperti yang diterima oleh kebanyakan negara. Beliau juga mengupas secara ringkas tentang hak untuk meminda Perlembagaan Persekutuan dan juga penafian akses kepada keadilan yang berlaku dengan memberi beberapa contoh seperti “:ouster clause” yang dimasukkan dalam beberapa peruntukan undang-undang dan isu tentang Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Prof Shad meneruskan sesi dengan membuat penambahan ringkas tentang ciri-ciri Perlembagaan Persekutuan dan bagaimana Mahkamah mentafsirkannya.

Pada sebelah petang pula, bermula jam 1.45 petang, peserta telah diperdengarkan dengan ucapan daripada YDH Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara tentang “200 tahun kepolisan dan 50 tahun kemerdekaan – Pengalaman Polis Diraja Malaysia – Melangkah Ke Hadapan”. Dengan menghuraikan secara panjang lebar tentang cabaran komunisme yang sudah lenyap dan diganti dengan cabaran jenayah yang semakin meningkat, Polis telah menggagaskan beberapa strategi baru bagi menangani cabaran tersebut. Pihak Kerajaan juga telah memberikan peruntukan yang besar untuk memperkasakan pasukan polis disamping usaha-usaha berterusan untuk bekerjasama dengan orang ramai secara lebih dekat dalam membasmi jenayah. Sesi tersebut diakhiri dengan hadirin diberitahu oleh Tan Sri bahawa pihak polis dan bomba mempunyai pelepasan tertentu seperti tidak perlu memakai talipinggang kaledar sebagai menjawap kepada pertanyaan peserta tentang perkara tersebut.

Persidangan yang pertama untuk hari kedua adalah berkenaan dengan “50 Years of Independence: Is All Well with the Malaysian Legal System?” yang menampilkan barisan panel yang tersohor dalam bidang masing-masing seperti akademik, BAR, kehakiman dan Lembaga Kelayakan Profesional. Secara umumnya forum mengupas tentang idea mewajibkan pendidikan lanjutan undang-undang kepada semua peguam sebagaimana yang banyak dipraktikkan di negara luar.

Persidangan Kedua yang sangat ditunggu-tunggu pula ialah berkenaan dengan “Kebebasan Beragama” yang menampilkan ahli panel seperti Lee Min Choon, Penasihat Undang-Undang kepada Pertubuhan Kristian Malaysia, Yusri Mohamad, Presiden ABIM, Yeo Yang Poh, Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil daripada UiTM dan Dr. Azmi Sharom daripada Universiti Malaya. Forum dimulakan oleh Lee Min Choon dengan memberikan latar belakang ringkas tentang hak kebebasan beragama sepertimana yang diiktiraf oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948. Yusri Mohamad meneruskan forum dengan menekankan konsep “kebebasan beragama dan bukannya kebebasan dari agama” dan menyatakan bahawa seorang Islam bebas memilih apa yang baik untuk dirinya. Beliau juga mencadangkan bahawa tiada definisi standard tentang hak asasi manusia sekalipun di Barat dan menyatakan bahawa adalah tidak adil untuk menyatakan dan meletakkan skop kepada kebebasan beragama di Malaysia sewenang-wenangnya. Forum diteruskan dengan Yeo Ying Poh menghuraikan cadangannya tentang halatuju sebenar dialog antara kepercayaan yang perlu kepada kajian semula supaya lebih efektif. Dr. Mohamed Azam seterusnya memahamkan dewan tentang perbezaan antara kebebasan beragama dan kebebasan untuk keluar daripada Islam dengan menghujahkan bahawa Islam dan Melayu tidak boleh dipisahkan menurut Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 11 mengenakan sekatan tertentu terhadap kebebasan beragama yang tidak mutlak. Beliau juga menegaskan bahawa undang-undang dan prosedur untuk keluar daripada Islam perlu dipatuhi sebelum seseorang berniat keluar daripada Islam, dan menjadikan model undang-undang syariah negeri sembilan sebagai model terbaik untuk “menghukum” golongan murtad. Panel terakhir yang memberikan pendapat Dr. Azmi yang secara jelas menyokong idea bahawa Malaysia adalah negara sekular dan undang-undang sekular adalah perlu untuk melindungi masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Di penghujung persidangan, ahli-ahli panel terutamanya Dr. Mohamed Azam dihujani soalan tentang undang-undang dan enakmen syariah negeri dan juga pendirian tentang kontroversi terbaru dalam sistem kehakiman syariah. Secara umumnya, forum berjalan lancar walaupun beberapa orang ahli panel kelihatan kurang selesa bercakap tentang isu sensitif tersebut.

Hari kedua diakhiri dengan persidangan tentang “Undang-Undang korporat” yang membariskan panel berwibawa seperti Michael Lim daripada Shearn Delamore & Co, Dato’ Loh Siew Cheang daripada Cheang & Ariff dan Abdul Karim Abdul Jalil, CEO SSM. Secara umumnya, ahli panel membincangkan tentang aspek-aspek penting dalam undang-undang korporat seperti tanggungjawab pengarah, corporate governance, pemilikan ekuiti dalam syarikat dan sebagainya.

Comments (0)Add Comment

Write comment
You must be logged in to a comment. Please register if you do not have an account yet.

busy
 
< Prev   Next >
  • 2012 Bar Council Subscription
    Click the link above to download Circular 072/2012 pertaining to the 2012 Bar Council subscription, including the payment guide and a set of Frequently-Asked-Questions.
  • 2012 Sijil Annual Application Form
    Click the link above to download the 2012 Sijil Annual and Practising Certificate Application Forms.
  • Having difficulty in finding a lawyer?
    Need to find a lawyer to represent you? Just click on the link for the law firms' advertisements.
  • 2012 Hotel Corporate Rates
    Attending seminars? Going for a holiday? Click on the link above to check out the list of hotel corporate rates for Members of the Bar, which is updated regularly.
  • Bar Council Bookshop
    Read MORE … but pay LE$$! Members enjoy a 20% discount on LexisNexis publications at the Bar Council Bookshop. Click on the link above for the list of available titles.
International Malaysia Law Conference (26 to 28 Sept 2012)
Hurry up! The countdown continues and the current promotion rate ends 30 June 2012. Don't miss what is going to be the best conference in the region! On top of that, if you sign up with 5 or more people from the same organisation, we will give you a 10% group discount. Click on the link above to register.
Your Login


We have 37 guests online

Malaysian Bar blasts police violence

Bar council: Police brutality worst in Bersih 3.0



show last 4hrs - 24hrs
April 2012 May 2012 June 2012
Su Mo Tu We Th Fr Sa
Week 18 1 2 3 4 5
Week 19 6 7 8 9 10 11 12
Week 20 13 14 15 16 17 18 19
Week 21 20 21 22 23 24 25 26
Week 22 27 28 29 30 31
Google