feed
Home arrow News arrow Letters & Others arrow Kenyataan Media PRM tuntut penubuhan Suruhanjaya Diraja
  • Malaysian Bar Web Ads
  • Malaysian Bar Web Ads
  • Malaysian Bar Web Ads
  • Malaysian Bar Web Ads
  • Malaysian Bar Web Ads
  • Malaysian Bar Web Ads
Kenyataan Media PRM tuntut penubuhan Suruhanjaya Diraja PDF Print E-mail
Sunday, 23 September 2007 12:03pm

Oleh Hassan Karim, Presiden PRM
Bertarikh: 23hb September, 2007

Tiga minggu selepas Malaysia merayakan ulangtahun kemerdekaan kali ke-50 tahun, negara digegarkan oleh isu klip-video yang menunjukkan seorang peguam kanan sedang bercakap dengan seorang yang dikatakan hakim kanan berhubung perlantikan dan kenaikan pangkat hakim-hakim mahkamah Malaysia.

PRM berpendapat isu ini perlu ditangani dengan serius dan sungguh-sungguh kerana ia melibatkan badan kehakiman yang merupakan satu daripada tiga cabang utama kerajaan yang memerintah negara ini di bawah sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan media sebagai berkata bahawa Polis perlu menyiasat segera dakwaan kewujudan klip-video tersebut bagi menentukan sama ada klip- video berkenaan boleh dipercayai atau tidak. Perdana Menteri bagaimanapun menolak cadangan supaya sebuah suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi menyiasat perkara itu.

PRM mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri supaya perkara klip-video itu disiasat. Penyiasatan terperinci, mendalam sehingga ke akar umbi adalah perlu bagi membongkar segala hal berkenaan klip-video itu adalah wajar dan perlu bagi mempastikan keadilan asasi dilaksanakan supaya mengelakkan tidak akan ada sesiapa yang teranianya atau dizalimi. Pihak-pihak yang didakwa terbabit dengan kontrovesi klip-video itu perlu dipanggil memberi keterangan serta membela diri mereka. Prosedur penyiasatan yang telus dan adil adalah perlu dilakukan.

Bagaimanapun dalam soal ini PRM berbeza pendapat dengan Perdana Menteri. PRM menuntut supaya penyiasatan dilakukan oleh badan penyiasat bebas iaitu sebuah suruhanjaya diraja. PRM tidak bersetuju tugas siasatan itu diserahkan kepada pihak polis seperti yang dicadangkan oleh Perdana Menteri.

PRM mempunyai kesangsian yang amat kuat kalau kes video-klip itu hanya disasat oleh pihak polis. Imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekarang berada pada tahap yang paling rendah. Kredibiliti dan integriti Ketua Polis Negara itu sendiri dipertikaikan sehingga disiasat oleh Peguam Negara atas dakwaan terlibat dengan rasuah. Malah PDRM itu sendiri sebagai sebuah institusi secara keseluruhannya telah dicadangkan oleh satu suruhanjaya diraja supaya dibaikpulih imejnya.

Jadi adalah untuk kebaikan kerajaan yang memerintah sekarang dan juga negara keseluruhannya supaya kes klip-video ini disiasat oleh sebuah badan yang berwibawa iaitu satu suruhanjaya diraja.

Perdana Menteri tentu dapat membezakan peranan badan penyiasat bebas seperti suruhanjaya diraja dengan Tribunal membicarakan hakim-hakim (jika perlu diadakan). PRM berpendapat adalah tidak tepat jika tuntutan pembentukan badan penyiasat suruhanjaya diraja ditolak awal-awal lagi oleh Perdana Menteri.

Sekiranya hasil siasatan suruhanjaya diraja mendapati kewujudan klip-video itu tidak benar dan kesahihan kandungannya dipertikaikan atau terdapat kecacatan atau ketulenannya meragukan maka barulah sebuah badan lain sepereti Tribunal Khas untuk membicarakan hakim-hakim tidak perlu ditubuhkan.

Begitu juga sebaliknya, jika suruhanjaya diraja mendapati kewujudan klip-video itu dan kandungannya sah dan tidak meragukan dan ia melibatkan hakim atau hakim-hakim, maka Perdana Menteri tiada pilihan lain melainkan menasihatkan Yang diPertuan Agong supaya satu Tribunal Khas ditubuhkan untuk membicarakan hakim atau hakim-hakim yang berkenaan. Kuasa bagi penubuhan Tribunal Khas ini ada diperuntukkan dengan jelasnya di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan dengan munculnya isu klip-vodeo ini yang berkait dengan soal perlantikan dan juga kenaikan pangkat hakim-hakim, maka PRM merasakan sudah sampai masanya untuk dikaji semula peruntukan Perlembagaan yang memberi kuasa yang amat luas kepada Perdana Menteri dalam soal perlantikan dan kenaikan pangkat hakim-hakim mahkamah di negara ini.

Dalam keadaan yang ada sekarang perlantikan hakim-hakim dan kenaikan pangkat mereka dicadangkan oleh Perdana Menteri kepada Yang diPertuan Agong selepas Perdana Menteri mengadakan konsultasi dengan Ketua Hakim Negara. Yang diPertuan Agong pula sebelum memberi perkenan diraja atas perlantikan tersebut secara konvesinya perlu membawa perkara tersebut kepada mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu sebagai satu proses konsultasi.

Bagaimanapun pada analisis terakhirnya di segi undang-undang kuasa Perdana Menteri yang mengetuai badan eksekutif mengatasi kuasa Yang diPertuan Agong di bawah sistem raja berperlembagaan yang ada sekarang di mana raja (Yang diPertuan Agong) bertindak atas nasihat Perdana Menteri.

Dalam sistem yang ada sekarang kebijaksanaan Perdana Menteri dalam soal perlantikan dan kenaikan pangkat hakim-hakim banyak bergantung atau dibantu oleh kebijaksanaan satu individu sahaja iaitu Ketua Hakim Negara yang mengetuai badan kehakiman.

Marilah kita lihat dalam tempoh terdekat ini adakah perlantikan dan kenaikan pangkat hakim-hakim dalam kes-kes berikut telah dilakukan dengan telus dan arif bijaksana oleh Ketua Hakim Negara dan juga Perdana Menteri.

Kes pertama: Baru-baru ini telah terbongkar satu isu di mana bekas seorang Hakim Mahkamah Tinggi Malaya telah gagal menulis penghakimannya dalam 33 kes yang didengarnya termasuk antaranya kes-kes yang melibatkan hukuman gantung sampai mati yang telah diputuskan. Yang anehnya Hakim Mahkamah Tinggi itu telah dinaikkan pangkat dan dia kini menjadi seorang Hakim Mahkamah Persekutuan.

Kes Kedua: Tan Sri Zaki Tun Azmi seorang peguam yang bukan sahaja rapat tetapi kelihatan terlalu rapat dengan Umno dan klik berkuasa sekarang, baru-baru ini dengan tiba-tiba sahaja telah dilantik menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan tanpa melalui proses biasa yang lazimnya diamalkan sebelum ini iaitu seorang peguam akan dilantik menjadi Pesurujaya Kehakiman terlebih dahulu, kemudian barulah dinaikkan pangkat menjadi Hakim Mahkamah Tinggi; kemudian ditingkatkan lagi jawatannya kepada Hakim Mahkamah Rayuan. Apabila cukup berpengalaman dan berketrampilan barulah dilantik menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan. Jadi perlantikan Tan Sri Zaki Tun Azmi daripada hanya seorang peguam terus kepada jawatan Hakim Mahkamah Persekutuan amatlah mengejutkan dan luar biasa sekali.

Dalam masa yang sama terdapat hakim-hakim senior yang berpengalaman dan cemerlang langsung tidak diberi perhatian, tidak dinaikkan pangkat malah dilangkahi dengan amat ketara sekali.

Kes ketiga: Isu berkaitan dengan perlantikan bekas pensyarah Dr Badariah Sahamid menjadi Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi baru-baru ini yang dibantah oleh Majli Peguam Malaysia. Kes ini sedang didengar di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas). Majlis Peguam mendakwa hasil semakannya mendapati Dr Badariah tidak pernah memohon Sijil Amalan atau Sijil Annual yang diwajibkan sebagai peguamcara dan peguambela. Semasa perlantikannya, menurut Majlis Peguam lagi Badariah hanya seorang pensyarah di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya dan tidak berkhidmat di bawah Jabatan Kehakiman dan Perundangan. Manakala Artikel 122AB dan Artikel 123 Perlembagaan Persekutuan memperuntukan syarat bahawa seorang peguambela perlu menjalankan amalan selama 10 tahun sebelum boleh dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman.

Dalam tiga kes yang dinyatakan di atas di manakah kebijaksanaan Ketua Hakim Negara dan Perdana Menteri dalam soal perlantikan dan kenaikan pangkat hakim-hakim berkenaan?

Justeru itu atas nama kebaikan kepada sistem kehakiman Malaysia itu sendiri dan kehidupan bernegara yang bermaruah yang menjunjung prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang maka PRM berpendapat adalah wajar dan menasabah sekarang untuk dipertimbangkan dengan serius tentang cadangan supaya satu Suruhanjaya Kehakiman dibentuk di mana tugas perlantikan dan kenaikan pangkat hakim-hakim di Malaysia diamanahkan kepada Suruhanjaya Kehakiman tersebut.

Syor perlantikan dan kenaikan pangkat hakim-hakim yang dibuat secara kolektif oleh sebuah badan seperti Suruhanjaya Kehakiman adalah lebih telus dan berwibawa berbanding pandangan dan keputusan seorang individu sahaja iaitu Ketua Hakim Negara.

PRM percaya bahawa Perdana Menteri, Yang diPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu berhak untuk mendapat senarai nama calon-calon hakim yang benar-benar layak, berwibawa dan cemerlang untuk dipertimbangkan dan diputuskan untuk menjadi hakim-hakim di mahkamah Malaysia. Peranan ini boleh dilaksanakan oleh Suruhanjaya Kehakiman. Ini adalah satu cara yang perlu dilaksanakan sekarang untuk mengembalikan kedudukan badan kehakiman di Malaysia supaya ia menjadi badan kehakiman yang bebas, bermaruah dan berwibawa dan episod klip-video yang memalukan negara ini selepas setengah abad merdeka tidak berulang lagi.

Comments (0)Add Comment

Write comment
You must be logged in to a comment. Please register if you do not have an account yet.

busy
 
< Prev   Next >
Seminar on the Fundamentals of Conveyancing (24 Feb 2012)
Organised by the Kuala Lumpur Bar Professional Development Committee, this seminar featuring Jeremiah R Gurusamy will take place at 3:00 pm, at the Kuala Lumpur Bar Auditorium, on 24 Feb 2012 (Friday). Click on the link above for more details.
Your Login


We have 212 guests and 5 members online

Teoh Beng Hock's family gets leave to appeal

Kamal Hisham Ja'afar



show last 4hrs - 24hrs
There are no upcoming events currently scheduled.
View Full Calendar
Google