|
©Berita Harian
(Digunakan dengan kebenaran)
Oleh Mohd Hamizar Hamid dan Norfatimah Ahmad
KUALA LUMPUR: Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan membuka semula siasatan kes
terhadap bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Eusoff Chin dan peguam, Datuk VK
Lingam jika mendapat arahan Peguam Negara.
Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, berkata Peguam Negara, Tan Sri
Abdul Gani Patail, yang meneliti hasil laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja
mengenai klip video Lingam, tentu maklum mengenai perkara itu.
"Biar Peguam Negara teliti dulu cadangan Suruhanjaya Diraja itu dan jika kes itu
perlu dibuka semula, BPR akan membukanya semula dan menjalankan siasatan dengan
terperinci," katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau mengulas laporan suruhanjaya itu yang mencadangkan BPR membuka semula
siasatan kes itu, khusus mengenai percutian antara Mohd Eusoff dan Lingam
bersama keluarga ke New Zealand pada 1994 kerana siasatan awal mendapati ia
turut membabitkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah.
Laporan suruhanjaya itu yang diumumkan Jumaat lalu, menyatakan bahawa jika BPR
tidak mengambil tindakan terhadap kedua-dua mereka, masyarakat mungkin memandang
rendah terhadap integriti badan kehakiman.
Suruhanjaya itu juga mencadangkan supaya BPR menyiasat beberapa hakim yang
dikatakan pernah menerima hadiah daripada Lingam.
Jumaat lalu, Kabinet yang memutuskan untuk mendedahkan laporan itu kepada umum,
turut mengarahkan Peguam Negara supaya memulakan siasatan serta-merta berhubung
segala tuduhan terhadap enam individu yang dinamakan dalam laporan suruhanjaya
itu.
Mereka adalah Lingam; bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk
Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; tokoh korporat, Tan Sri Vincent Tan; bekas
Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Mohd Eusoff serta
bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ahmad Said berkata, BPR tidak mempunyai masalah untuk membuka semula kes yang
pernah disiasat jika langkah itu dapat melengkapkan kertas siasatan dengan
pelbagai bukti dan keterangan kukuh.
"Sebelum ini, bekas Peguam Negara yang menutup kes berkenaan dan oleh sebab itu
BPR perlu menunggu Peguam Negara sekarang untuk memutuskan tindakan susulan
berhubung kes sama," katanya.
Beliau berkata, BPR menghormati cadangan suruhanjaya diraja itu berkaitan semua
perkara membabitkan tugas badan berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah BPR, Datuk Abu Kassim Mohamed, berkata
pihaknya akan meneliti laporan suruhanjaya itu yang dijangka diterima hari ini
bagi mencari bukti baru mengenai perhubungan antara Eusoff Chin dan peguam
berkenaan.
"Beri kami peluang untuk menjalankan siasatan dan melihat sama ada wujud bukti
baru. Sebelum ini memang terdapat penyiasatan tetapi ditutup... saya tidak tahu
kenapa.
"Tetapi jika itu adalah cadangan Suruhanjaya, kita akan lihat kepada laporan
mereka terlebih dulu," katanya.
Trackback(0)
|