©Sinar Harian (Digunakan dengan kebenaran)
oleh SYAHREDZAN JOHAN
Siapa tidak kenal dengan penyiasat Sherlock Holmes? Penyiasat freelance yang hidup ketika pemerintahan Ratu Victoria, menyelesaikan kes–kes dengan menggunakan penakulan yang berlandaskan logik dan deduksi beralasan. Sherlock Holmes dikatakan tinggal di 221B, Baker Street di kota London.
Imejnya memakai topi deerstalker (yang juga dikenali sebagai topi Sherlock Holmes) dan menghisap paip, tersohor di seluruh pelosok dunia. Sehinggakan ramai menganggap bahawa Sherlock Holmes benar–benar wujud, walhal beliau sebenarnya watak fiksyen yang dinukil oleh penulis Inggeris, Sir Arthur Conan Doyle pada akhir abad ke–19 dan awal abad ke–21.
Sherlock Holmes, walaupun hanya rekaan, tetap diraikan oleh masyarakat British. Di Baker Street, terdapat patung Sherlock Holmes dan juga sebuah museum khas untuk Sherlock Holmes. Di stesen Baker Street, siluet Sherlock Holmes dipaparkan di sebelah roundel stesen tersebut. Sherlock Holmes diterima dan dijulang sebagai sebahagian daripada budaya British.
Di United Kingdom, tugu didirikan bukan hanya untuk ahli politik dan raja–raja silam, tetapi juga untuk penulis, pelakon dan penyajak. Hartanah yang pernah didiami oleh tokoh terkenal boleh dikenal pasti dengan plak yang terpapar.
Pergi ke Liverpool dan legasi The Beatles berada di mana–mana, jelas mereka bangga dengan 4 anak Liverpool yang pernah menggegar dunia. Cardiff pula dijadikan pusat menghargai watak fiksyen Doctor Who.
Bayangkan, petikan dari buku ‘Hikayat Faridah Hanom’ terpapar di stesen LRT Pasar Seni, nukilan Syed Syeikh al–Hadi. Ataupun lirik lagu ‘Chow Kit Road’ dendangan Sudirman Haji Arshad tertera pada sebuah plak di Jalan Chow Kit. Bagaimana pula sekiranya kita hiasi gerabak–gerabak komuter kita dengan lakaran kartun Lat?
Mengapa kita tidak tubuhkan dana amanah untuk memelihara tempat tinggal seniman–seniman kita, supaya generasi seterusnya kenal kisah hidup dan karya mereka?
Apabila kita berbicara tentang budaya, kita memikirkan tentang budaya yang diberi makna melalui sfera bangsa. ‘Budaya’ adalah makyong, Tahun Baru Cina, tarian sumazau dan Thaipusam. Namun begitu, budaya tidak hanya terhad kepada semua ini.
Cara kita bertutur, dengan ‘lah’–nya, adalah budaya linguistik kita. Meme internet juga budaya. Lagu ‘rock kapak’ juga budaya. Sastera kita juga sebahagian daripada budaya kita, sama ada nukilan para Sasterawan Negara, mahupun novel–novel picisan yang menjadi kegemaran marhaen dan sering mendapat tempat di carta buku paling laris.
Dari biduanita Siti Nurhaliza hingga ke penyanyi independan Petak Daud, dari pentas sementara penyajak spoken words hingga ke pentas gah Istana Budaya, di celah–celah galeri lukisan dan di lorong–lorong Kuala Lumpur di mana tercoretnya grafiti, dari satira politik ‘That Effing Show’ hingga ke filem blockbuster ‘Ombak Rindu’, kita sebenarnya dikelilingi dengan budaya. Mungkin ada yang tidak konvensional dan bukan ortodoks, tetapi tidak kurang budayanya.
Kita rugi jika terdapat diskriminasi di antara jenis dan kategori budaya, sedangkan semua pun sebahagian daripada apa yang menjadikan Malaysia, Malaysia. Kita rugi jika kita hadkan penghargaan dan penghayatan budaya hanya kepada apa yang ditakrifkan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sahaja. Kita juga rugi jika kita benarkan kerajaan memutuskan apa itu ‘budaya’.
Mari perluaskan ‘budaya’ kita, menghargai bukan sahaja yang arus perdana tetapi juga budaya rakyat di luar sana. Bukankah negara ini kaya dengan budaya, mengapa kita tidak meraikan dengan sepenuhnya?
*Penulis adalah seorang peguam muda yang mengamal undang–undang sebagai rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur.