Buluh Nipis, 23 November 2008: Masalah masyarakat Orang Asli (MOA) masih berterusan di negara ini, dan kali ini Kampung Buluh Nipis, Bandar Muadzam Shah, Pahang menjadi fokus Badan Peguam.
Pada tahun 1999, MOA Buluh Nipis telah dipujuk, diugut dan kemudiannya dipaksa menyerahkan tanah/tapak kebun mereka untuk dimajukan setelah berbagai perbincangan dengan pihak Jabatan Hal-Ehwal Orang Asli dan RISDA. Antara lainnya, MOA telah dimaklumkan bahawa jika mereka enggan menyerahkan tanah/tapak untuk dimajukan oleh pihak RISDA, mereka tidak akan dapat melayakkan diri menjadi peserta Rancangan Penempatan Semula (RPS). MOA telah juga dijanjikan bahawa hasil bulanan dari tanah/tapak yang dimajukan dengan kelapa sawit akan diberikan kepada keluarga-keluarga peserta- MOA.
Pada tahun 2000, perjanjian dengan MOA telah dimungkiri apabila nama-nama peserta kepada RPS telah dimasukkan mengikut suka hati pihak atasan sedangkan keluarga yang mengorbankan tanah hanya layak dibenarkan masuk hanya seorang sahaja. Ramai peserta RPS adalah dari kampung yang luar dan/atau tidak mempunyai tanah/tapak sedangkan anak-anak kampung tempatan yang layak menjadi peserta RPS tidak dipilih. Selanjutnya, hasil bulanan yang dijanjikan juga tidak dinikmati dengan sepenuhnya.
Ini adalah antara lainnya masalah-masalah yang telah lama dihadapi oleh MOA di Buluh Nipis. Sehingga kini, penyelesaian yang menyeluruh masih belum dicapai. MOA tidak dibenarkan menerokai atau mengambil buah sawit dari tanah/tapak mereka. MOA terpaksa mencari hasil pendapatan alternatif kerana tanah/tapak mereka sudah dilepaskan untuk ‘kemajuan’. Ada yang masih perlu mengambil buah sawit dari tanah/tapak mereka untuk dijual, ada yang telah menahan tanah/tapak dari terus dicerangkan dan ada yang telah menghalang pengeluaran buah sawit dari tanah/tapak mereka. Hasil dari perbuatan-perbuatan ini, beberapa individu telah ditangkap dan ditahan (untuk beberapa hari dan ada untuk masa yang panjang) oleh pihak polis serta dituduh di Mahkamah. Antara lainnya adalah kes Arting Bin Asiah dan Panjang Bin Tangkak. (Peguam-peguam dari Jawatankuasa Hak-Hak Asasi Manusia, Majlis Peguam (HRC), yang diketuai oleh Saha Deva a/l A. Arunasalam sedang meneliti kes Panjang yang kini berterusan, dan mewakili beliau di Mahkamah Majistret Rompin.)
Rombongan ke Buluh NipisSetelah diminta oleh MOA dan dengan tujuan untuk mendapat maklumat lanjut berkenaan aduan-aduan MOA Buluh Nipis, ahli-ahli HRC telah membuat satu rombongan ke Kampung Buluh Nipis bagi mendengar dan melihat dengan sendiri masalah-masalah yang dialami oleh MOA di situ. Rombongan kami terdiri dari Noor Arianti Osman, Allison Ong, Anthony Chua, Annie Yin, Chin Oy Sim, Edmund Bon dan kami, dan diketuai oleh Augustine Anthony, peguam aktivis Orang Asli dari Perak dan Pengerusi ‘
Orang Asli Affairs Working Group’ HRC dan M. Gokoolaram Naidu (Pegawai Eksekutif, Pusat Batuan Guaman dan Hak-Hak Asasi Manusia, Jawatankuasa Peguam Perak).
Rombongan tiba di Kampung Buluh Nipis lebih kurang pukul 11.00 pagi, dan disambut oleh Mazni Binti Ahoi, selaku ketua MOA Kampung Buluh Nipis. Seramai lebih kurang 115 MOA hadir dan berkongsi masalah-masalah mereka. Ramai mengadu masalah mereka berkenaan tanah pusaka yang telah diterokai tanpa kebenaran mereka. Pokok-pokok buah dan getah yang ditanam oleh mereka telah ditebang dan digantikan dengan pokok kelapa sawit. Perjanjian untuk membayar pendapatan juga tidak ditepati.
Kami juga telah dibawa sekeliling kampung dan ke sungai berdekatan di mana sebelum ini merupakan sumber utama untuk MOA mendapat bekalan ikan. Air di sungai berkenaan kelihatan amat keruh hasil dari penghakisan tanah dan aktiviti penerokaan. Menurut MOA, banjir juga semakin kerap berlaku dan hasil sumber bekalan ikan juga makin berkurangan jika dibandingkan 8 tahun lalu.
Augustine dan Edmund telah memberi taklimat kepada MOA berkenaan dengan isu-isu yang dihadapi oleh MOA. MOA telah dimaklumkan bahawa perkara-perkara ini merupakan perjuangan MOA sendiri yang mesti bangun. Ia bukan perjuangan Majlis Peguam atau badan-badan bukan kerajaan yang lain yang hanya mampu memberikan sokongan dan bantuan nasihat undang-undang (‘
legal empowerment’) bila dipohon oleh MOA sendiri. Kemenangan kes
Sagong Tasi terhadap Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan telah diingatkan sekali lagi bahawa MOA mempunyai hak yang istimewa di tanah bumi negara ini. Tanah pusaka keturunan MOA sememangnya tidak boleh diambil sewenang-wenangnya tanpa ‘
informed consent’, peruntukan pampasan yang mencukupi dan penglibatan MOA dalam pembangunan yang dicadangkan. Semangat perjuangan untuk mempertahankan tanah pusaka sendiri harus terus berkobar-kobar dalam setiap diri MOA diiringi dengan dorongan sepenuhnya dari semua pihak. Augustine juga telah merujuk kepada ‘
Hansard’ untuk menunjukkan bahawa masalah MOA Buluh Nipis telah dikemukakan di Parliamen untuk perbincangan dan masalah tersebut diselesaikan.
Setelah perbincangan diadakan, sebuah Jawatankuasa Sementara MOA Kampung Buluh Nipis ditubuhkan. Jawatankuasa ini diketuai oleh Mazni Binti Ahoi dan dianggotai oleh Zin Bin Jaing, Panjang Bin Tangkak, Mahadi Bin Changang, Ramli Bin Jo, Kelinang Bin Achin, Sarip Bin Siwang, Haslina Binti Ahoi, Anah Bt Liang Yit, Roslan Bin Tahir, Azahar Bin Tan, dan Ating Bin Asin. Jawatankuasa sementara ini ditubuhkan bagi menguruskan masalah-masalah berkaitan dengan tanah pusaka keturunan MOA Buluh Nipis.
Terdapat beberapa tuntutan-tuntutan MOA yang telah dikemukakan untuk pertimbangan seperti tuntutan pampasan bagi pengambilan tanah pusaka dan mengembalikan tanah-tanah/tapak-tapak untuk diuruskan oleh MOA sendiri kerana pengurusan tanah-tanah/tapak-tapak tersebut tidak menguntungkan MOA tetapi lebih bersifat penindasan terhadap mereka.
Akhirnya, kami dijamu dengan masakan istimewa MOA di mana kami amat terharu dengan keikhlasan yang ditunjukkan oleh mereka dalam menyediakan pelbagai masakan asli dan layanan mesra meskipun mereka sebenarnya hidup dalam kesempitan, penuh dengan masalah dan sumber mereka semakin berkurangan setiap hari. Kami mengucapkan selamat jalan sekitar jam 2.00 petang.
KesimpulanLawatan rombongan kami itu telah membuka mata kami kepada masalah-masalah yang dialami oleh MOA di Buluh Nipis. Ditindas, dianiaya, dibohongi dengan janji-janji palsu, diabaikan dan disisihkan oleh pihak-pihak authoriti dan yang mempunyai kuasa dari segi wang. Hak-hak MOA yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan perlu diiktirafkan dengan sepenuhnya dan secara efektif.
Perjuangan MOA ini adalah suatu pertempuran yang berpanjangan dan amatlah memerlukan semangat, kecekalan dan dorongan dari semua pihak. Antara lainnya, cadangan untuk perbincangan HRC adalah supaya satu usul berkenaan isu-isu MOA dikemukakan di mesyuarat tahunan Badan Peguam pada Mac 2009 dan untuk suatu kempen kesedaran berkenaan masalah-masalah MOA dimulakan. Diharap ahli-ahli Badan Peguam akan menghulurkan sokongan dan pendapat yang konstruktif dan bernas demi menolong MOA yang cukup tertindas.


| Mazni Binti Ahoi - Ketua Jawatankuasa Sementara Buluh Nipis yang telah mengerahkan MOA dalam perjuangan mereka
|
