|
Najib bidas Majlis Peguam |
|
|
|
|
Monday, 11 August 2008 06:15am |
|
©Berita Harian
(Digunakan dengan kebenaran)
Oleh Abdul Halim Yusoff
KUALA LUMPUR: Tindakan Majlis Peguam yang berdegil meneruskan forum 'Memeluk
Islam' kelmarin menjadi punca pelbagai pihak tampil memberi reaksi yang boleh
menggugat dan menjejaskan kestabilan negara, kata Datuk Seri Najib Razak.
Timbalan Perdana Menteri berkata, forum dianjurkan secara terbuka itu memang
sensitif dan kerajaan sudah menjangka reaksi sedemikian daripada pelbagai
kumpulan kerana keengganan Majlis Peguam mendengar nasihat supaya ia dibatalkan.
"Itulah saya dah kata, jangan buat secara terbuka, kalau buat juga tentu akan
berlaku reaksi daripada kumpulan lain," katanya selepas merasmikan Pameran dan
Konvensyen Hartanah Bumiputera anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) 2008
di sini, semalam.
Beliau mengulas mengenai forum 'Memeluk Islam' yang
mencetuskan kontroversi apabila pelbagai pihak mengadakan demonstrasi
membantahnya di luar pejabat Majlis Peguam kelmarin.
Forum yang bermula pada jam 9 pagi itu terpaksa dihentikan pada jam 10 pagi,
iaitu tiga jam lebih awal daripada dijadualkan, selepas dinasihatkan polis
berikutan ancaman keselamatan daripada pihak yang tidak berpuas hati ia diadakan.
Kira-kira 1,000 orang daripada 29 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti
politik termasuk Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengadakan demonstrasi di
depan bangunan Majlis Peguam mendesak forum itu dihentikan segera.
Ditanya adakah kerajaan akan mengambil tindakan terhadap Majlis Peguam kerana
menganjurkan forum itu, Najib berkata, perkara berkenaan terserah kepada polis.
Timbalan Perdana Menteri mengingatkan semua pihak supaya tidak mempertikai atau
cuba merungkai perkara asas yang sudah dipersetujui bersama oleh semua kaum di
negara ini, terutama apa yang termaktub dalam Perlembagaan.
"Kalau hendak dirungkai balik, akan mencetuskan perbalahan yang boleh menggugat
kestabilan dan keamanan dalam negara kita," katanya.
Najib berkata, masyarakat berbilang kaum di negara ini sudah pun dapat hidup
dengan rukun, aman dan damai selama ini kerana masing-masing mengamalkan
toleransi, menghormati sensitiviti kaum serta berpandukan Perlembagaan yang
sudah dipersetujui bersama.
"Maka adalah tidak wajar untuk mempertikaikan perkara yang sudah dipersetujui
itu kerana ia boleh menimbulkan timbal balas serta reaksi daripada kumpulan
lain," katanya.
|