feed
Home arrow Committees arrow Family Law arrow 'Janji telah diketepi'
  • Malaysian Bar Web Ads
  • Malaysian Bar Web Ads
  • Malaysian Bar Web Ads
  • Malaysian Bar Web Ads
  • Malaysian Bar Web Ads
'Janji telah diketepi' PDF Print E-mail
Sunday, 10 August 2008 09:23am

Tun Dr. Mahathir Mohamad©Mingguan Malaysia (Digunakan dengan kebenaran)
Oleh Nor Aziah Jaafar

• ISA terhadap Majlis Peguam?
• AS tidak layak persoal perundangan Malaysia
• Rumah Shahrizat dilontar bom petrol
• Forum berjaya - Ambiga
• Bukan sebab Islam
• Kecoh Forum Memeluk Islam tamat lebih awal bagi elak kejadian buruk
• Bunga-bunga bencana berputik
• Berubah atau ‘musnah’

KUALA TERENGGANU 9 Ogos - Majlis Peguam telah mengetepikan perjanjian yang telah dibuat oleh pemimpin-pemimpin terdahulu daripada pelbagai kaum supaya setiap perkara yang berkaitan dengan kaum dan agama perlu dibincang secara tertutup apabila menganjurkan Forum Memeluk Islam secara terbuka hari ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pemimpin terlibat telah berjanji demi kesejahteraan negara, perkara-perkara yang dianggap sensitif tidak harus dibincang secara terbuka kerana boleh menyebabkan perasaan yang meluap-luap sehingga menyebabkan rusuhan.

''Mereka telah berjanji dan bersetuju jika perkara sebegini hendak dibincangkan, kena buat secara tertutup, tetapi malangnya janji ini telah diketepikan," katanya.

Beliau berucap pada forum bertajuk Cabaran Melayu Masa Kini: Memperkasakan Melayu anjuran Barisan Bertindak Akar Umbi Melayu Terengganu di sini hari ini.

Menurutnya, beliau pelik dengan keadaan yang berlaku hari ini iaitu jika orang Melayu membangkitkan tentang perkara berkaitan kaum itu termasuk hak keistimewaan mereka di negara ini, ia dianggap sebagai perkauman.

Sebaliknya menurut Dr. Mahathir, kaum lain bebas untuk memperkatakan tentang kepentingan kaum mereka termasuk mencabar hak keistimewaan orang Melayu dan ia tidak dianggap sebagai isu perkauman.

Beliau berpendapat perkara itu berlaku kerana orang Melayu kini semakin lemah malah parti yang selama ini mewakili orang Melayu sudah tidak lagi mampu mempertahankan kepentingan kaum itu.

''Sebab itu hari ini Majlis Peguam membincangkan tentang pengislaman. Mereka tahu ini sensitif dan tidak harus dibincangkan secara terbuka. Tetapi demikian lemahnya kerajaan maka tiada apa-apa tindakan diambil terhadap mereka," ujarnya.

Beliau menjelaskan, kenyataan ini bukan bertujuan mahu menidakkan hak kaum lain kerana orang Melayu rela berkongsi negara ini, namun kepentingan kaum itu perlu dipertahankan.

Menurutnya, pemimpin dahulu seperti Tun Tan Siew Sin dan Tun Dr. Sambathan memuji orang Melayu adalah kaum yang murah hati kerana memberi kerakyatan kepada orang Cina dan India tanpa perlu mereka mengubah identiti masing-masing seperti yang disyaratkan di negara jiran.

''Tapi sekarang, bila orang Melayu nampak lemah mereka kecam dan abaikan perjanjian berkenaan," ujarnya.


ISA terhadap Majlis Peguam?

Oleh Sahbulah Darwi

KOTA TINGGI 9 Ogos - Polis akan mengambil tindakan tegas termasuk menggunakan akta pencegahan terhadap Majlis Peguam kerana meneruskan penganjuran Forum Memeluk Islam yang menyinggung perasaan umat Islam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, ini kerana tindakan majlis itu bukan sahaja mencabar malah menimbulkan kemarahan meluap-luap di kalangan majoriti orang Islam termasuk pemimpin negara ini.

Beliau menegaskan, akta pencegahan yang boleh digunakan ialah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Hasutan (OSA) jika siasatan mendapati ia sesuai digunakan.

"Polis akan melakukan siasatan terperinci terhadap tindakan yang menimbulkan kemarahan itu kerana walaupun kita cukup berhati-hati dalam menggunakan akta pencegahan tetapi pada masa yang sama kita tidak mahu ketenteraman awam tergugat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kota Tinggi dan Seminar Kecemerlangan PIBG di Sekolah Agama Bandar Kota Tinggi di sini hari ini.

Forum Memeluk Islam anjuran Majlis Peguam di Kuala Lumpur yang dijadual berlangsung pukul 8.45 pagi sehingga pukul 1 petang ini terpaksa ditamatkan pada pukul 10.10 pagi atas nasihat polis.

Syed Hamid berkata, Majlis Peguam perlu mengambil iktibar dan memahami mesej bantahan umat Islam terhadap forum tersebut kerana ia jelas menimbulkan ketegangan antara kaum.

"Kita harap orang terpelajar dalam Majlis Peguam mengambil perhatian hal ini supaya kerajaan tidak perlu ambil tindakan ISA atau OSA.

"Mereka perlu memahami bahawa dalam membicarakan soal kebebasan lebih-lebih lagi berkaitan masuk Islam atau keluar Islam. perlu ada had dan peraturan yang perlu dipatuhi," katanya.

Beliau berkata, polis mengarahkan forum itu ditamatkan awal kerana orang yang membantah dan berdemonstrasi di luar bangunan jauh lebih ramai bilangannya daripada peserta forum itu.

Menurutnya, walaupun polis berjaya mengawal keadaan dengan baik bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini dan mengganggu ketenteraman namun Majlis Peguam perlu menghormati 'majoriti senyap' yang turut marah dengan forum itu.

"Saya dimaklumkan polis nasihatkan supaya habiskan cepat supaya tidak timbul ketegangan," katanya.


AS tidak layak persoal perundangan Malaysia

KOTA TINGGI 9 Ogos - Amerika Syarikat (AS) hari ini ditempelak kerana mengamalkan sikap seperti ketam mengajar anak berjalan lurus apabila menyuarakan keraguan terhadap tuduhan liwat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, Washington tidak layak mempersoalkan sistem perundangan negara ini kerana beberapa tindakan negara itu sendiri termasuk di Kem Teluk Guantanamoa adalah sesuatu yang membelakangkan hak asasi manusia.

"Jangan campur tangan dalam perundangan Malaysia kerana ia merupakan tanggungjawab kita yang boleh diselesaikan sendiri," katanya di sini hari ini.

Semalam, negara kuasa besar itu menyuarakan keraguannya berhubung tuduhan liwat terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu apabila Jabatan Negara AS telah memanggil Kuasa Usaha Malaysia, Ilango Karuppanan berhubung kes tuduhan liwat bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, dunia semakin marah dan jelak dengan campur tangan Amerika Syarikat (AS) yang menganggap diri mereka sebagai 'polis dunia' terhadap kes-kes dalaman sesebuah negara.

Katanya, laungan demokrasi dan keadilan yang disuarakan oleh AS juga sudah menjadi retorik kepada kes-kes tertentu yang menarik minat mereka sahaja.

"Kalau sesuatu kes itu sudah disiasat mengikut lunas yang betul, apa pula AS nak pandai-pandai suarakan sesuatu? Kalau sebelum ini pihak lain tidak menyuarakan keraguan tetapi dalam kes tertentu, mereka nak campur tangan," katanya di sini hari ini.

Di MELAKA, Majlis Peguam dicabar untuk berdepan dengan campur tangan AS sekiranya mereka bersungguh-sungguh memperjuangkan hak keadilan dan kebebasan bersuara yang didakwa pihak itu melalui penganjuran Forum Memeluk Islam.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar berkata, ini kerana Majlis Peguam yang dianggotai oleh golongan yang arif tentang undang-undang sudah semestinya maklum bahawa tindakan AS mempersoalkan undang-undang negara jelas tidak menghormati kedaulatan Malaysia.

Atas dasar itu tegasnya, Majlis Peguam dicabar untuk bertindak sebagai pendahulu membantah campur tangan AS yang dilihat seperti meragui sistem undang-undang negara dalam dakwaan liwat yang dihadapi oleh Anwar.

''Saya cabar Majlis Peguam buat memorandum kepada Kedutaan AS untuk membantah campur tangan negara itu dalam soal undang-undang negara, bukannya menjadi pencetus kekacauan dalam negara," katanya di sini hari ini.


Rumah Shahrizat dilontar bom petrol

KUALA LUMPUR 9 Ogos – Banglo kediaman Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (gambar) di Jalan Setia Kasih 1, Bukit Damansara di sini dilontar dengan dua bom petrol awal pagi ini tetapi hanya mengenai tempat letak kereta.

Dalam kejadian antara pukul 2.30 hingga 3 pagi itu, bom petrol tersebut dipercayai dilontar dari luar pagar rumah berkenaan oleh dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.

Mingguan Malaysia difahamkan kejadian itu ada kaitan dengan tindakan Majlis Peguam Malaysia menganjurkan Forum Memeluk Islam di pejabat majlis tersebut hari ini.

Ini kerana rumah itu pernah diduduki oleh Datuk Dr. Sreenevasan, bapa kepada Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga yang menganjur forum tersebut.

Ambiga ketika dihubungi mengesahkan banglo itu pernah dimiliki oleh bapanya dan mereka sekeluarga pernah tinggal di situ.

Shahrizat berkata, ini adalah kes pertama rumahnya dilontar bom sejak kediaman itu dibeli lima tahun lalu dan menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan rapi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid yang kejadian itu berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 7.15 pagi setelah insiden itu disedari oleh pengawal keselamatan di situ yang terdengar bunyi letupan kecil.

Katanya, polis menemui salah satu bom yang pecah dan di dalamnya mengandungi sekeping nota berbau hasutan.

‘‘Bom itu jatuh di bahagian hujung tempat letak kereta dan polis menemui kesan terbakar serta serpihan kaca di atas lantai simen. Polis belum dapat mengenal pasti motif perbuatan itu dan sedang mengesan suspek terlibat,” jelasnya.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman pula mengesahkan penemuan dua botol yang dipercayai bom petrol di hadapan pejabat Majlis Pegiam di Jalan Lebuh Pasar Besar di sini, kira-kira pukul 7.30 pagi.


Forum berjaya - Ambiga

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Majlis Peguam menganggap Forum Memeluk Islam anjurannya telah mencapai kejayaan apabila dihadiri lebih 100 orang dan mahu program yang sama diteruskan pada masa depan.

Presidennya, Datuk S. Ambiga berkata, kejayaan forum sedemikian membuktikan konflik penjagaan anak dan perebutan jenazah yang berpunca daripada tindakan seorang daripada ahli keluarga yang memeluk Islam boleh dibincang secara terbuka tanpa sebarang masalah.

''Saya secara jujur berharap kita dapat belajar sesuatu daripada kejayaan kita mengadakan forum ini yang telah membuktikan isu ini boleh dibincangkan secara terbuka dan bukan semata-mata dianggap hal peribadi keluarga terbabit,'' katanya di sini hari ini.


Bukan sebab Islam

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Konflik penjagaan anak dan perebutan jenazah yang sering berlaku apabila seseorang memeluk agama Islam tiada kena mengena dengan agama itu tetapi berpunca daripada kelemahan pihak yang melaksanakan undang-undang. Seorang peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang merupakan wakil tunggal Islam dalam forum Memeluk Islam anjuran Majlis Peguam hari ini berkata, perceraian sesama agama juga sering melibatkan masalah perebutan anak.

Menurut beliau, dalam perceraian di kalangan pasangan seagama pun masalah perebutan anak dan penderitaan tetap berlaku.

''Jadi ini bukan masalah agama, ia adalah masalah bagaimana manusia melaksanakan undang-undang,'' jelasnya.

Mohamed Haniff berkata demikian pada sesi perbincangan kedua forum Memeluk Islam anjuran Majlis Peguam beberapa minit sebelum ia ditamatkan lebih awal daripada jadual asal.


Kecoh Forum Memeluk Islam tamat lebih awal bagi elak kejadian buruk

Oleh Nizam Yatim, Rohani Ibrahim dan Sharilfuddin Saari


KUALA LUMPUR 9 Ogos - Forum kontroversi ‘Memeluk Islam’ anjuran Majlis Peguam yang diteruskan juga hari ini ditamatkan kira-kira pukul 10 pagi iaitu tiga jam lebih awal daripada jadual bagi mengelakkan kejadian tidak diingini ketika bantahan keras daripada pelbagai pihak semakin memuncak.

Forum yang bermula pukul 8.45 pagi di ibu pejabat Majlis Peguam di Lebuh Pasar Besar di sini, pada awalnya berlangsung dalam suasana tenang dengan sesi pertama melibatkan tiga wakil keluarga bukan Islam dengan penuh emosi menceritakan ‘penderitaan’ mereka.

Dua daripada wakil berkenaan sambil menangis teresak-esak menceritakan masalah yang timbul apabila bapa mereka memeluk Islam dan mengabaikan tanggungjawab memberikan nafkah kepada keluarga.

Wakil ketiga yang merupakan wanita Jerman yang mengaku tidak percaya kepada mana-mana agama melahirkan rasa kesal kerana mendakwa dua lelaki Islam yang pernah dinikahi tidak bertanggungjawab apabila menceraikannya dan mengabaikan tanggungjawab untuk menjaga tiga anak mereka.

Sesi pertama yang sepatutnya diteruskan dengan soal jawab daripada kira-kira 150 hadirin terpaksa dibatalkan apabila Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga bangun kira-kira pada pukul 9.40 pagi untuk memaklumkan bahawa beliau telah dinasihati oleh polis supaya menamatkan majlis itu lebih awal atas faktor keselamatan.

Pada ketika itu, kira-kira 1,000 ahli Majlis Angkatan Antara Pertubuhan Bukan Kerajaan Islam (Mapan), UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengadakan demonstrasi di pekarangan bangunan Majlis Peguam dengan membawa sepanduk menentang program berkenaan.

Pada sepanduk berkenaan tertera perkataan ‘Hidup Islam, Batal Forum’, ‘Jangan Cabar Islam’ dan ‘Majlis Peguam Jangan Bermain Api’.

Mereka juga mengancam untuk menyerbu masuk ke dalam dewan sekiranya forum itu tidak ditamatkan segera.

Selepas pengumuman Ambiga itu, forum berkenaan diteruskan dengan sesi panel membabitkan tiga peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, Ravi Nekoo dan K. Shanmuga.

Mereka membincangkan tentang Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa Mahkamah Tinggi tidak boleh membuat sebarang keputusan yang melibatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan umat Islam di negara ini.

Ahli panel juga membincangkan kes R. Subashini dan S. Shamala yang menghadapi pelbagai masalah setelah suami mereka memeluk Islam dan mendapatkan hak penjagaan anak-anak melalui Mahkamah Syariah.

Mohamed Haniff mewakili Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dalam kes Subashini manakala Shanmuga adalah peguam kepada wanita itu sementara Ravi pula mewakili Shamala di mahkamah.

Pengantara bagi sesi panel dan forum berkenaan ialah wakil Pusat Bagi Perubahan Wanita, Zarizana Abdul Aziz.

Dua lagi ahli panel ialah Pengarah Pusat Syariah Undang-Undang dan Sains Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr. Wan Azhar Wan Ahmad dan bekas Hakim Syarie, Dr. Naim Mokhtar yang sepatutnya memberi penjelasan mengenai aspek perundangan Islam menarik diri pada saat-saat akhir.

Sesi kedua forum itu bagaimanapun, hanya dapat berlangsung selama 10 minit sahaja apabila kira-kira 15 orang yang terdiri daripada wakil Mapan dan parti politik yang diiringi pegawai polis masuk ke dalam dewan dan menggesa forum itu ditamatkan tepat pukul 10 pagi.

Tindakan mereka yang berkumpul di hadapan pentas, menyebabkan berlaku pertikaman lidah antara hadirin dan wakil-wakil NGO yang membantah forum berkenaan.

Keadaan itu menyebabkan pegawai polis terpaksa bertindak tegas meminta semua pihak diam bagi membolehkan Ambiga membuat ucapan penutupan.

Presiden Majlis Peguam itu dalam ucapannya menjelaskan pihak penganjur menghormati pandangan semua pihak dan hak setiap individu untuk bersuara.

‘‘Kami tidak bergaduh dengan sesiapa dan saya mengumumkan forum ini ditutup,” katanya.

Katanya, beliau juga tidak akan membuat laporan polis terhadap pihak-pihak yang telah bertindak mengganggu forum itu.

Sementara itu, demonstrasi yang diadakan di luar pekarangan bangunan pejabat Majlis Peguam sejak pukul 8.30 pagi itu semakin ‘panas’ apabila bilangannya meningkat kepada 1,000 orang pada pukul 9 pagi.

Lebih 100 anggota polis termasuk dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berkawal di tempat kejadian sementara Jalan Lebuh Pasar Besar di hadapan pejabat majlis itu terpaksa ditutup atas faktor keselamatan.

Keadaan itu memaksa Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman mengambil keputusan untuk berbincang dengan pihak Majlis Peguam pada pukul 9.15 pagi.

Turut bersama Zulkarnain masuk ke pejabat Majlis Peguam ialah Ketua Penerangan Alumni Kelab UMNO Luar Negara, Mohd. Nazari Ahmad; Naib Presiden GPMS, Jais Abd. Karim; Setiausaha Pekida, Sharil Aziz dan Ahli Exco Peguam Pembela Islam Malaysia, Zulkifli Nordin.

Pada pukul 9.30 pagi, Zulkarnain dan wakil-wakil NGO terbabit turun dari pejabat Majlis Peguam itu dan kelihatan berbincang sekali lagi di dalam sebuah kereta.

Kira-kira setengah jam selepas itu, Jais mengumumkan pembatalan forum berkenaan di hadapan para peserta piket dan disambut dengan bacaan doa.

“Kita akan pastikan semua peserta forum ini pulang dan tidak lagi mengulangi forum yang menyentuh agama Islam pada masa depan,” tegasnya.

Zulkarnain ketika ditemui berkata, kawalan keselamatan di sepanjang piket itu berjalan dengan baik dan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

“Saya terpaksa adakan perbincangan antara kedua-dua belah pihak kerana ancaman (ugutan peserta piket untuk merempuh pintu pejabat) yang semakin meningkat.

“Pada pertemuan itu, saya nasihatkan agar forum ini dihentikan. Mereka (Majlis Peguam) menerima dengan baik serta bersikap profesional dan saya berterima kasih,” katanya.

Difahamkan, perbincangan itu diadakan dengan Ambiga dan Naibnya, Ragunath Kesavan.

Beliau memberitahu, semasa perbincangan itu diadakan, forum tersebut baru sahaja bermula.


Bunga-bunga bencana berputik

ISU agama merupakan sesuatu yang bermanfaat kepada politik. Ia boleh menjadi simbol yang menyatukan pelbagai kumpulan seagama dan pendorong kemajuan. Banyak pihak rela menyertai barisan yang berjuang untuk mengangkat kemuliaan agama. Dalam sudut yang ekstrem, ada kumpulan rela berkorban demi mempertahankan agama.

Pada masa yang sama, agama juga berupaya menjadi unsur yang membahayakan. Ia memberi identiti kepada penganut-penganutnya dan mengajar nilai-nilai yang eksklusif hanya kepada para penganutnya.

Identiti dan nilai itu membezakan mereka dengan penganut agama lain. Nilai dan identiti masing-masing sentiasa dirasakan lebih baik, dan perasaan itu berkembang menjadi satu dogma. Sebarang serangan dan kritikan terhadap identiti itu tidak dibiarkan begitu sahaja. Serangan dan kritikan tersebut lazimnya akan berbalas.

Sejak beribu-ribu tahun lalu, agama menjadi suatu kekuatan yang memberi kesan kepada tingkah laku manusia, negara dan pergolakan antarabangsa. Di banyak negara, isu agama mencetuskan manifestasi politik tertentu, telah menjatuhkan dan menaikkan pemimpin, pernah membangunkan masyarakat dan turut merosakkan bangsa.

Jika dikendalikan dengan baik, isu agama boleh menjadi simbolik keharmonian sebuah bangsa. Kalau ditangani dengan cara yang angkuh dan kasar, ia umpama minyak yang dicurahkan ke dalam api. Isu agama boleh membakar, marak apinya dapat meruntuhkan sebuah negara.

Atas kesedaran itulah isu-isu agama sentiasa perlu ditangani dengan berhati-hati. Bukan sahaja isu agama Islam, tetapi juga isu-isu agama lain. Agama adalah soal sensitif. Di negara tertentu, isu agama pernah mencetuskan perang dan membawa kemusnahan. Kita yang hidup berbilang kaum di Malaysia mungkin tidak pernah merasai pengalaman itu.

Apabila Majlis Peguam Malaysia mempertahankan forum Memeluk Islam yang diadakan semalam serta membangkitkan hak untuk membincangkan isu-isu berkaitan pertukaran agama, ia dibuat tanpa memikirkan sejarah yang pernah dilalui oleh sesetengah masyarakat dunia apabila membicarakan isu-isu agama.

Kes R. Subashini yang menjadi antara topik yang dibincangkan dalam forum itu adalah sesuatu yang menggelisahkan. Wanita beragama Hindu berkenaan berkahwin dengan lelaki bernama T. Saravanan pada tahun 2001. Sesetelah memeluk Islam pada 2006, Saravanan menukar namanya kepada Muhammad Shafi Saravanan Abdullah.

Muhammad Shafi dan Subashini mempunyai dua orang anak yang masih kecil, iaitu Dharvin Joshua, 3, dan Sharvind, 1. Muhammad Shafi mahu kedua-dua anaknya itu turut memeluk Islam bersamanya dan meminta Mahkamah Syariah membubarkan perkahwinannya. Subashini enggan membenarkannya.

Kes ini kemudian dipanjangkan kepada Mahkamah Rayuan di mana tiga orang hakim bersidang. Mahkamah itu memutuskan kes tersebut perlu dirujuk kepada Mahkamah Syariah, tetapi wanita itu tidak mahu tunduk kepada perbicaraan di Mahkamah Syariah.

Kes ini adalah antara kes-kes sensitif yang dibincangkan dalam forum awam Memeluk Islam anjuran Majlis Peguam di Kuala Lumpur semalam, yang majlisnya terpaksa ditamatkan lebih awal kerana para penyokong pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam berdemonstrasi di luar bangunan Majlis Peguam di Jalan Lebuh Pasar Besar di ibu kota.

TangisanDalam forum itu, Majlis Peguam turut membawa beberapa orang bukan Islam, termasuk seorang wanita berasal dari Jerman, yang memperihalkan pengalaman mereka. Dalam tangisan, hampir semuanya memberi gambaran negatif terhadap bapa, suami dan bekas suami masing-masing yang merupakan orang Islam.

Ada yang menceritakan bagaimana bapa mereka yang telah memeluk Islam kemudian meninggal dunia tetapi tetap dapat dikebumikan sebagai seorang Kristian walaupun berlaku perebutan mayat dengan jabatan agama Islam.

Sensitiviti orang Islam dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan tidak diambil kira langsung oleh Majlis Peguam. Tradisi di Malaysia, iaitu seorang penganut agama lain tidak mengulas mengenai agama orang lain, tidak dihormati. Akibatnya, para penyokong NGO Islam yang berkumpul di luar bangunan Majlis Peguam sejak pukul 8 pagi menghantar mesej kepada Majlis Peguam supaya menghentikan forum itu. Jika tidak, amaran mereka, tindakan yang lebih keras akan dilakukan.

Beberapa orang pemimpin NGO Islam juga menyerbu masuk ke dalam dewan tempat forum itu diadakan. Mereka mengganggu perjalanan forum tersebut. Berlaku pertikaman lidah yang diselang seli kata-kata kesat yang menyakitkan hati.

Sebenarnya, insiden yang berlaku semalam bukan terjadi secara tiba-tiba. Asap kegelisahan telah bermula beberapa tahun lepas.

Sejak empat lima tahun kebelakangan ini, kumpulan-kumpulan Islam merasakan kedudukan Islam di Malaysia sedang dicabar oleh beberapa kumpulan agama lain yang mendapat sokongan sesetengah pertubuhan yang didominasi oleh profesional bukan Islam, termasuk yang menjadi ahli Majlis Peguam.

Salah satunya adalah usaha sistematik mereka untuk mendesak kerajaan meminda Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan, iaitu peruntukan mengenai kebebasan agama. Kumpulan bukan Islam yang menyokong syor pindaan itu telah mengumpulkan tandatangan para penyokong mereka menuntut Artikel 11 dipinda.

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan yang ada sekarang, tiap-tiap orang di Malaysia berhak menganuti dan mengamalkan agamanya tetapi terdapat peruntukan khusus bahawa Persekutuan boleh menggunakan undang-undang untuk mengawal dan menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganut agama Islam.

Artikel inilah yang mahu dipinda. Ia mencetuskan kemarahan NGO Islam kerana kepada mereka pindaan itu akan memudahkan orang Islam dimurtadkan.

Kira-kira dua tahun lalu, pada 23 Julai 2006, ketika perdebatan kes murtad Lina Joy berada di kemuncaknya, kira-kira 8,000 aktivis Islam berkumpul di Masjid Wilayah Persekutuan untuk menunjukkan solidariti menentang gerakan untuk meminda Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan yang berada di tengah-tengah pertembungan itu telah memilih untuk menyelesaikan isu tersebut secara berhemah dan melalui perundingan diam-diam bagi memastikan keharmonian kaum dan agama terus dipupuk di Malaysia.

Pendekatan yang kerajaan gunakan dalam menentukan ketenteraman awam tidak sekeras seperti beberapa dekad lalu. Penangkapan penghasut-penghasut tidak dibuat di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Tiada juga pendakwaan di bawah Akta Hasutan walaupun keselamatan awam sedang diperjudikan.

Mungkin kerana memikirkan mereka sedang melalui zaman yang lebih liberal, terdapat kumpulan bukan Islam, khususnya yang diketuai beberapa peguam, tetap memilih untuk membincangkan isu-isu agama yang sensitif secara terbuka. Forum terbaru Memeluk Islam yang dianjurkan oleh Majlis Peguam semalam adalah bukti keberanian mereka.

Sebelum ini, Majlis Peguam turut melukakan hati orang Melayu apabila ia menganjurkan forum membincangkan satu lagi isu sensitif berkaitan kontrak sosial iaitu diskusi yang menyentuh keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kepada sesetengah pegawai Majlis Peguam, perbincangan tersebut adalah hak mereka yang dijamin oleh undang-undang, tetapi orang Melayu pula merasakan kedudukan kaum pribumi itu yang diberi legitimasi dalam perlembagaan kini dipersoalkan secara terang-terangan.

Jika mereka hidup pada zaman Malaysia diancam gerakan bawah tanah pengganas komunis dan pelampau kaum pada tahun 1960-an dan 1970-an, mungkin sebahagian daripada penganjur-penganjur forum itu sudah pun ditahan di bawah ISA.

Tindak balasApakah penyelesaian kepada masalah dan kecenderungan ini?

Sekumpulan peguam Islam kini menuduh Majlis Peguam sebagai anti-Islam, anti-kerajaan dan mereka sudah mula bercakap mengenai usaha menggembleng para peguam Melayu/Islam untuk mengambil alih kepimpinan badan guaman itu pada masa depan. Adakah ini jawapannya?

Adakah NGO Islam perlu bertindak balas dengan mengadakan pula diskusi 'Memeluk Kristian' atau 'Memeluk Hindu' bagi membincangkan mengenai kelemahan agama orang lain? Adakah api perlu dilawan dengan api serta keangkuhan harus ditentang dengan keangkuhan?

Adakah penyelesaiannya dengan kerajaan membiarkan sahaja perbincangan dan perdebatan terbuka seumpama itu diadakan, sambil berharap kewarasan akhirnya menjadi pertimbangan orang ramai, tidak kira Islam atau bukan Islam? Atau pada zaman ini, kerajaan masih lagi dibekalkan dengan peruntukan untuk menguatkuasakan undang-undang tetapi era yang telah berubah mungkin menyebabkan kerajaan memilih untuk menjadi popular dengan tidak menggunakan kuasa-kuasa itu. Adakah meneruskan polisi itu satu opsyen atau satu kesilapan?

Dalam komennya terhadap penganjuran forum Memeluk Islam, seorang pemimpin Melayu baru-baru ini mempersoalkan adakah suatu hari nanti akan ada kumpulan bukan Melayu dan bukan Islam sanggup pula mengadakan forum-forum lain yang membincangkan isu seperti kedudukan Raja-Raja Melayu. Beliau bimbang. Respons orang Melayu terhadap diskusi seumpama itu tidak dapat dibayangkannya.

Ketika itu, jika kerajaan memilih untuk tidak bertindak, adakah penyelesaian kepada isu itu hendak dibiarkan ditangani oleh kumpulan-kumpulan NGO Melayu/Islam melalui undang-undang jalanan? Dalam insiden di ibu kota semalam, kata-kata kesat yang melukakan hati telah dihamburkan oleh segelintir aktivis Islam terhadap kumpulan minoriti. Ia boleh merosakkan imej Islam pada mata orang bukan Islam, tetapi dalam keadaan tegang, dengan emosi sudah tidak terkawal, keadaan seperti itu boleh berlaku.

Dalam isu agama yang dipolitikkan ini, beberapa pihak di Malaysia secara jelas sedang membawa soal-soal sensitif ke satu tebing yang amat berbahaya. Di bawahnya ada gaung dalam. Jika tidak dikawal, ia mungkin menjerumuskan kita semua dalam perkelahian terbuka, yang bunga-bunganya telah pun berputik semalam.

Perbuatan membahaskan isu-isu agama orang lain secara terbuka dalam forum awam kena dihentikan, lebih-lebih lagi mengambil semangat menjelang Hari Kemerdekaan ke-51 yang akan disambut 31 Ogos ini. Rakyat memerlukan kemakmuran dan pada masa yang sama jaminan keselamatan. Tidak guna kita berdegar-degar mendakwa kita menganjurkan forum-forum tertentu atas nama kebebasan dan hak asasi, tetapi implikasinya dalam jangka masa panjang membuatkan rakyat -- Islam dan bukan Islam, Melayu dan bukan Melayu -- hidup dengan rasa takut, curiga dan syak wasangka.

Wujud pertalian yang erat antara keselamatan dan isu-isu agama. Dalam konteks penganjuran forum oleh Majlis Peguam, kepimpinan badan guaman itu patut menerima hakikat bahawa ia telah melanggar garis yang sepatutnya. Banyak pihak sedang diangkutnya ke garis itu yang terletak di atas satu tebing curam.

Kepada Majlis Peguam dan para penyokongnya, usahlah atas nama hak segelintir orang, kita ketepikan keselamatan berjuta-juta rakyat Malaysia yang lain. Belajarlah daripada sejarah konflik manusia atas nama agama sejak beribu-ribu tahun lalu.


Berubah atau ‘musnah’

Dr. Azaharudin Mohamad Dali, Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sosial Universiti Malaya.

SEPERTI diduga masalah politik wang masih terus melumuri UMNO. Ini terbukti apabila mesyuarat cawangan yang berlangsung sekarang menyaksikan fenomena itu masih berterusan.

Walaupun hakikatnya, pemilihan kali ini perlu dijadikan landasan bagi memperkukuhkan kembali parti berikutan keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 lalu, namun kesedaran di kalangan ahli-ahli UMNO berhubung perkara itu masih rendah.

Dalam hal ini, Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sosial Universiti Malaya, Dr. Azaharudin Mohamad Dali menganggap semua itu berlaku kerana ada sebahagian ahli UMNO tidak mengambil iktibar daripada sejarah.

Justeru dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan AMRAN AHMAD, beliau memberi peringatan bahawa gejala itu jika tidak dibendung boleh mendatangkan kesan yang amat buruk kepada UMNO.

Menurut beliau, UMNO kini berada di kitaran terakhir sama ada untuk bangkit semula atau terus menjunam.

‘‘Kalau politik wang tidak dihapuskan dalam parti itu, percayalah ia boleh membawa kehancuran kepada UMNO,’’ kata beliau.

Berdasarkan hakikat itu, Dr. Azaharudin berpendapat sesuatu perlu dilakukan bagi memulihkan UMNO kerana parti tersebut merupakan satu-satunya harapan survival orang Melayu.

Mingguan: Bagaimanakah Dr. melihat masalah politik wang yang terus melanda UMNO?

DR. AZAHARUDIN: Masalah politik wang yang berlaku di dalam UMNO saya anggap sebagai satu masalah yang begitu besar kerana ia masih berterusan dan belum ada keputusan muktamad bagaimana untuk menyelesaikannya sejak beberapa tahun lalu.

Pada tahun 1990-an, bekas Presiden UMNO, Tun Dr.Mahathir Mohamad ada bercakap mengenai perkara berkenaan tetapi ia kembali terjadi selepas itu dan isu tersebut berlanjutan sehingga ke hari ini. Terdapat perbezaan kalau kita banding era 90-an dengan era sekarang. Ia kerana di era 90-an UMNO dan Barisan Nasional (BN) sangat kuat. Isu dalaman UMNO ketika itu tidak menjejaskan kekuatan parti itu dalam pilihan raya tetapi sekarang ia sangat berbeza kerana UMNO berada dalam kepincangan kerana kesan pilihan raya dan apabila isu politik wang pula terjadi ia merupakan seolah-olah seperti mana kata Tan Sri Rafidah Aziz bahawa ia akan membawa kehancuran kepada UMNO.

Hakikatnya, pelbagai usaha dilakukan oleh UMNO sama ada secara dalaman iaitu melalui Jawatankuasa Disiplin atau bekerjasama dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) tetapi kelihatannya masalah politik wang ini tidak selesai. Bagi saya kenapa ia berterusan kerana ia seolah-olah menjadi darah daging dalam UMNO. Orang luar seperti mereka atas pagar yang memerhatikan politik UMNO melihat bahawa politik dan UMNO itu seolah-olah sudah sinonim. Gambaran itu bukan sahaja wujud di kalangan orang Melayu malah juga di kalangan bukan Melayu.

UMNO sudah menerima tamparan hebat dalam pilihan raya umum lalu tetapi kenapa sebahagian ahli-ahlinya masih belum sedar dan terus mengamalkan politik wang itu?

DR. AZAHARUDIN: Bagi saya, sebahagian ahli-ahli UMNO yang terus mengamalkan perbuatan berkenaan tidak mengingati dan belajar daripada sejarah.

Ini kerana sejarah telah membuktikan, sejak daripada kejatuhan Melaka lagi, elemen-elemen kebendaan sebegini menjadi perkara penting membawa kehancuran sebuah tamadun. Kalau dalam sejarah Melayu mungkin bukan wang atau emas yang penting, mungkin wanita. Tetapi dalam hal itu sendiri, ahli-ahli UMNO tidak melihat dan belajar daripada sejarah tersebut. Mereka belajar sejarah tetapi sekadar mengetahui siapa bapa UMNO, siapa membuka UMNO dan sebagainya tetapi tidak mengambil iktibar-iktibar itu. Keadaan ini dilanjutkan oleh generasi kedua dan ketiga dalam UMNO dan sebahagian daripada mereka mungkin tidak belajar sejarah pun kerana kelulusan mereka berasaskan kepada disiplin yang berbeza. Minat terhadap sejarah itu tidak wujud di kalangan mereka, jadi satu sudut penting mereka tidak belajar dan mengambil iktibar daripada sejarah menyebabkan hal itu berterusan. Jadi ini masalah bukan sahaja kepada isu politik wang tetapi juga banyak isu lain.

Orang Melayu terutamanya berhadapan dengan isu ketuanan Melayu yang dibangkitkan oleh Majlis Peguam dan sekarang mereka membangkitkan pula mengenai isu mengenai Islam. Ini cabaran untuk orang Melayu tetapi orang Melayu masih tidak sedar lagi. Kita masih lagi tidak mengambil iktibar, kita belajar sejarah tetapi sejarah yang tidak digunakan untuk menentukan perancangan di masa hadapan.

Apakah ini berkaitan dengan sistem atau individu?

DR. AZAHARUDIN: Kedua-dua boleh dijadikan sebagai faktor kepada kewujudan masalah politik wang.

Sistem merupakan salah satu faktor dan pada masa yang sama kita juga tidak menolak bahawa keinginan diri sendiri yang turut menjadi antara elemen penyumbang kepada politik wang. Dalam UMNO, apabila seseorang yang dipilih menjadi pemimpin bahagian maka berdasarkan sejarah yang ada ia akan menjadi pemimpin dalam pentadbiran kerajaan. Apabila berada pada kedudukan itu, maka ada banyak elemen bukan sahaja pentadbiran tetapi juga berkaitan tender dan sebagainya, keadaan ini juga menjadi faktor penting politik wang berlaku. Kuasa dan juga keinginan untuk menjadi seorang pemimpin. Ini bagi saya berbeza dengan 1990-an atau awal kemerdekaan di mana keinginan untuk menjadi pemimpin itu demi berfungsi untuk rakyat. Tetapi sekarang ini sebahagian besar terutamanya apa yang berlaku dalam UMNO kerana mereka sangat inginkan kuasa kerana ia boleh mendapat faedah pelbagai aspek.

Adakah perlu sistem tersebut ditukar?

DR. AZAHARUDIN: Mungkin kita boleh berbalik kepada sistem yang asal dalam UMNO kerana banyak rungutan dan sungutan telah disuarakan oleh banyak pihak sebelum ini. Bagaimanapun, perubahan sebenarnya tidak akan mengubah atau menghapuskan sama sekali politik wang sekiranya para pemimpin dan ahli-ahli UMNO sendiri yang tidak berubah.

Ini berlaku ekoran tekanan semasa kerana setiap penyumbang dan pengundi mempunyai mentaliti ‘Kalau aku bagi kau, aku dapat apa?’ sebagai balasan. Oleh itu walaupun sistem yang ada diubah macam mana sekalipun, jika asas iaitu pemimpin dan ahli itu sendiri tidak dapat membuang tabiat politik wang ini, UMNO akan dibebani ancaman dalaman dan luaran. Sebenarnya agak mudah untuk menghadapi ancaman dari luar dengan mengadakan debat, pilihan raya dan sebagainya tetapi ancaman dalaman yang sebenarnya meruntuhkan banyak parti politik dan organisasi di dunia ini.

Budaya politik wang wujud dalam UMNO kerana pemimpinnya memegang tampuk pemerintahan dan kuasa. Adakah parti-parti pembangkang akan turut menghadapi masalah yang sama jika mereka menerajui kerajaan?

DR. AZAHARUDIN: Berkemungkinan hal itu wujud memang ada. Seperti yang kita perhatikan, hal yang sama berlaku kepada pakatan pembangkang di Selangor. Sebaik sahaja mereka memegang kuasa, kita dengar isu-isu dan suara-suara yang sama seperti yang berlaku kepada UMNO Selangor suatu masa dahulu. Antara yang ketara ialah rasa tidak puas hati kerana kontrak dan tender diberikan kepada syarikat tertentu dan orang lama dalam pakatan tidak mendapat apa-apa kedudukan sedangkan ada orang baru yang dilantik menjadi ahli majlis tempatan. Kemungkinan jika BN tidak memegang tampuk pemerintahan dan kuasa, isu berkaitan politik wang akan mengendur sedikit tetapi keinginan untuk memegang kuasa ada dalam sanubari setiap pemimpin, maka bahana politik wang ini masih dan akan terus berlaku.

Apakah masalah politik wang yang dianggap ketara dalam UMNO kali ini ada kaitan dengan peralihan kuasa pada 2010?

DR. AZAHARUDIN: Sukar untuk kita lihat hubungan atau perkaitan secara langsung antara politik wang di peringkat cawangan UMNO ini dengan pelan peralihan kuasa pada 2010 untuk jawatan Presiden UMNO, bagaimanapun kita tidak boleh menolak begitu sahaja andaian bahawa ada kaitan berkenaan.

Kita semua faham kewujudan kelompok-kelompok tertentu dalam UMNO, ada kem yang memberi sokongan kepada pemimpin itu dan ini, keadaan tersebut tentunya boleh mempengaruhi pemilihan di peringkat cawangan sekaligus menyuburkan lagi politik wang, justeru dari sudut ini, mungkin ada perkaitan.

Bagaimana untuk mengatasi masalah politik wang ini setelah ia dianggap barah dalam UMNO?

DR. AZAHARUDIN: Prof Syed Hussien Al-Attas pernah menulis buku mengenai rasuah yang melihat bahawa politik wang atau rasuah ini bermula serentak dengan kewujudan sekumpulan manusia yang pandai berpolitik. Rasuah pada masa dahulu datang dalam pelbagai bentuk sama ada wang, wanita dan sebagainya. Sejarah juga membuktikan politik wang juga tidak dapat dihapuskan sama sekali. Rasuah tetap wujud, kepada semua pihak yang memegang kuasa termasuk polis, kalau dibanteraskan mungkin menyebabkan rasuah dalam skala yang kecil.

Politik wang dan rasuah ini kekal. Jika pakatan pembangkang menjadi pemerintah pun maka mereka juga akan berhadapan dengan politik wang dan hal ini sebenarnya diperkatakan oleh ramai pengkaji sejarah. Cuma sekarang ini, apa yang boleh kita lakukan ialah membanteras rasuah supaya penyebaran virus barah politik itu tidak sehingga menjejaskan organisasi atau pertubuhan dan negara.

Di dalam UMNO, politik wang sudah menjadi satu barah dan sukar untuk dicegah. Suatu revolusi mental harus dilakukan oleh semua ahli UMNO dan pemimpin di semua peringkat cawangan dan bahagian bagi menyedarkan mereka supaya tidak mengamalkan dan menolak sama sekali politik wang pada bila-bila masa terutama ketika pemilihan.

Meskipun sebuah jawatankuasa khas UMNO ditubuhkan bagi membanteras politik wang atau sistem pemilihan dirombak semula, jika individu dalam UMNO itu menjadi ketagih dengan politik wang, maka rasuah itu akan berterusan dan sangat sukar untuk ditegah.

Setiap pemimpin dan ahli biasa UMNO harus ada kesedaran, perjuangan yang mereka mahu lakukan bukan berasaskan kebendaan, maknanya bukan untuk membina rumah besar, beli kereta mewah, beri kontrak dan lesen tertentu tetapi mestilah perjuangan untuk bangsa dan negara. Namun, secara realiti, ia adalah sesuatu yang sangat sukar untuk dilaksanakan pada zaman moden seperti hari ini.

Masalahnya ada pemimpin UMNO sendiri yang naik menerusi amalan politik wang?

DR. AZAHARUDIN: Itu sebabnya gejala politik wang sukar untuk dihapuskan kerana sama seperti barah juga, ia telah meresap ke seluruh anggota badan, jika dipotong sekalipun, ia akan terus merebak ke bahagian-bahagian lain. Oleh itu jika UMNO mahu menghapuskan gejala itu, parti tersebut harus melaksanakan revolusi mental di kalangan ahli-ahlinya bagi menimbulkan kesedaran mengenai matlamat dan asas perjuangan parti. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan UMNO hancur kerana orang Melayu sendiri akan hilang kepercayaan kepada parti itu.

Walaupun begitu, mahu atau tidak, kita kena akui bahawa UMNO adalah parti yang sangat penting kepada survival orang Melayu, PKR bukan parti yang menjuarai isu-isu berkaitan orang Melayu kerana PKR ada banyak kaum terutama India yang begitu dominan, bangsa Cina yang kini banyak bercakap kerana dasar keterbukaan yang membuatkan mereka bersuara apa sahaja yang diinginkan termasuk isu sensitif.

Berlainan dengan BN, parti-parti komponen MCA dan MIC ada sekatan atau had-had tertentu dalam menyuarakan isu-isu sensitif, tidak berbincang isu-isu sensitif secara terbuka, sebaliknya berbicara dalam mesyuarat tertutup.

Bagaimana untuk menerangkan bahaya politik wang ini secara lebih berkesan kepada orang UMNO sendiri?

DR. AZAHARUDIN: Masalah UMNO secara asasnya terbahagi kepada tiga perkara utama iaitu barah politik wang, sikap tamak haloba untuk menjadi pemimpin berkuasa dan persengketaan sesama sendiri.

Sebelum ini, kita tidak pernah dengar ada baling kerusi dalam mesyuarat UMNO tapi sekarang ini, ada beberapa kes yang dilaporkan membabitkan perkara tersebut.

Kini, sudah wujud rasa tidak puas hati sehingga menyebabkan orang UMNO sanggup pukul orang UMNO seperti yang berlaku di Labuan dan Ipoh baru-baru ini. Kejadian sebegini adalah perkara baru buat pemimpin-pemimpin veteran dalam UMNO seperti Tan Sri Rafidah Aziz dan Tan Sri Aishah Ghani.

Saya percaya tiga masalah dalaman ini, jika tidak diatasi segera akan menghancurkan UMNO.

Apakah penglibatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) boleh mengurangkan politik wang dalam UMNO?

DR. AZAHARINA: Penglibatan BPR dalam UMNO penting bagi menunjukkan bahawa pertubuhan itu mengamalkan sikap terbuka untuk menghalang rasuah berlaku. Walaupun begitu, sikap individu masih tidak berubah dan mereka akan cari jalan untuk terus mengamalkan politik wang dalam UMNO.

Kita harus faham bahawa tujuan masuk UMNO bukan perjuangan untuk mendapatkan wang.

Sejarah menunjukkan Kongres Kebangsaan India yang merupakan antara parti tertua dalam politik dunia pernah kalah teruk dalam pilihan raya di India akibat isu dalaman terutama korupsi.

UMNO kini berada dalam proses transisi yang boleh membawa kepada dua keputusan akhir iaitu sama ada menguatkan semula UMNO jika politik wang hanya masalah sementara atau membawa kepada kejatuhan UMNO.

Comments (4)Add Comment
The absence of Leadership
written by Shamala Devi a/p Balasundaram, Sunday, August 10 2008 12:26 pm

The former Prime Minister ought to obtain more accurate information about the purpose of the Bar Council forum before making such statements. The forum did not challenge the role of Islam or the position of Malays. It sought to bring to light, and find a resolution to the practical problems arising from the unclear jurisdictional boundaries between the Syariah Courts and the High Court. These are real problems faced by Malaysian citizens and they ought not to be ignored.

The former Prime Minister could have attended the forum and he would have realised (I hope) that this was its purpose. Had the protesters camped outside the Bar Council making stentorian demands for the forum's closure attended the forum, they would have realised this too. Indeed, everyone would have benefited from these protesters’ views expressed in constructive discussion.

I suppose it was the Bar Council’s misplaced optimism in believing that a relatively innocuous issue of jurisdictional problems arising from conversion could be discussed without the ISA, Sedition Act, and the phantom issue of racial challenges being irresponsibly thrown about by our national and political leaders. Ultimately, I believe the forum was misconstrued and continues to be misconstrued (and misused) by those who purport to lead. Leaders should be more responsible. Of all people, they should share the Bar Council's faith in our fellow citizens.

I am particularly disappointed in our former Prime Minister. He seems to see racial threats in constructive discussion and speak only of racial divides from one perspective. What about others, of different races and religions, who are equally Malaysian citizens? Wasn’t he once meant to be a Prime Minister for us all?

Shamala Devi a/p Balasundaram

The nation needs the apologies of the leaders.
written by Tan Peek Guat, Sunday, August 10 2008 04:14 pm

No man is above the law.

ISA should therefore, first be instituted against the parties/person(s) who first mentioned about "the fire", and all those who had caused the Mob Psychology of Muslims to have been so unnecessarily and irrationally worked up on that day.

Use ISA, which is the threatening law of the land, and which is so strongly supported by Mahathir, upon all these leaders who had caused the poor muslims in the streets to have been so aroused and reacted, under their leadership, resulting in their using their unreasonableness rather than their reason - as shown to and seen by the whole nation.

These leaders had thrust their bad 'leadership' examples, and of their political 'power' over and upon the religious faith of our Muslims.

Allah would surely have NOT liked that to have happened!

Please apologise to the nation - all political and institutional leaders involved!

Tan Peek Guat

who threatened the national security?
written by Tong Kuan Ling, Monday, August 11 2008 10:38 am

Invoking ISA on Malaysian Bar?

I thought the same should be used against those who protest during the forum as they had inevitably threatened the national security by causing public disorder.

Futher, there were no such sensitive issues were discussed during the forum as we were merely discussing on the implication/complication which the a spouse might face in the event another spouse had converted to Islam and we never even touch about the religion itself and to be more precise, the said forum was addressing the issues of the implication/application and the lacuna between Federal Constitution and Syariah Laws.

Actually, those minister should be blamed for the protest during the commencement of the said forum and they should be charged under the ISA instead.

Tong Kuan Ling

I am still waiting !
written by Visvanathan Murugiah, Tuesday, August 12 2008 02:34 pm

I am still waiting for the former PM to be prosecuted with regards his role in the "Lingam tapes". His "questionable conduct" in the past makes him despicable to say the least.

Visvanathan Murugiah


Write comment
You must be logged in to a comment. Please register if you do not have an account yet.

busy
 
< Prev   Next >
  • 2012 Bar Council Subscription
    Click the link above to download Circular 072/2012 pertaining to the 2012 Bar Council subscription, including the payment guide and a set of Frequently-Asked-Questions.
  • 2012 Sijil Annual Application Form
    Click the link above to download the 2012 Sijil Annual and Practising Certificate Application Forms.
  • Having difficulty in finding a lawyer?
    Need to find a lawyer to represent you? Just click on the link for the law firms' advertisements.
  • 2012 Hotel Corporate Rates
    Attending seminars? Going for a holiday? Click on the link above to check out the list of hotel corporate rates for Members of the Bar, which is updated regularly.
  • Bar Council Bookshop
    Read MORE … but pay LE$$! Members enjoy a 20% discount on LexisNexis publications at the Bar Council Bookshop. Click on the link above for the list of available titles.
International Malaysia Law Conference (26 to 28 Sept 2012)
Hurry up! The countdown continues and the current promotion rate ends 30 June 2012. Don't miss what is going to be the best conference in the region! On top of that, if you sign up with 5 or more people from the same organisation, we will give you a 10% group discount. Click on the link above to register.
Your Login


We have 128 guests online

Malaysian Bar blasts police violence

Bar council: Police brutality worst in Bersih 3.0



show last 4hrs - 24hrs
April 2012 May 2012 June 2012
Su Mo Tu We Th Fr Sa
Week 18 1 2 3 4 5
Week 19 6 7 8 9 10 11 12
Week 20 13 14 15 16 17 18 19
Week 21 20 21 22 23 24 25 26
Week 22 27 28 29 30 31
Google