|
©Utusan Malaysia
(Digunakan dengan kebenaran)
Oleh Saifulizam Mohamad
• Jawatankuasa sivil-syarie tangani isu keluarga Islam
• Saudara baru: Forum sia-sia
• Polis siasat menyeluruh
• Runding, bukan demonstrasi
• Boleh mudaratkan keamanan negara – Samy Vellu
• Kita lupa apa yang diperjuang?
• SMS
• Guna ISA atau Akta Hasutan terhadap Majlis Peguam
• Jangan cabar kerajaan – Syed Hamid
• Suspek diburu
• Kesabaran, HAK umat islam BUKAN UNTUK DIUJI
• Bisik-bisik Awang Selamat
• Apa sebenarnya motif Majlis Peguam
KUALA LUMPUR 10 Ogos - Semua pihak diingatkan tidak cuba
mengungkai perkara yang telah menjadi asas dalam Perlembagaan Persekutuan
terutama menyentuh isu sensitif kerana ia boleh menggugat kestabilan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kedegilan Majlis
Peguam untuk membatalkan Forum Memeluk Islam semalam merupakan bukti bahawa
program itu telah mengundang tindak balas di kalangan masyarakat Islam kerana
berang dengan tindakan badan tersebut.
Beliau berkata, kerajaan sendiri telah menjangka keadaan seperti itu akan
berlaku apabila Majlis Peguam berkeras untuk terus membincangkan isu sensitif
berkenaan secara terbuka.
''Saya sudah katakan, jangan buat secara terbuka. Apabila ini yang mereka
putuskan, tentu akan ada reaksi daripada kumpulan yang lain tetapi mereka
berdegil. Mereka teruskan juga.
''Perkara seperti ini memang sensitif dan kita telah jangka keadaan seperti ini
akan berlaku,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran dan
Konvensyen Hartanah Bumiputra 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini
hari ini.
Beliau mengulas mengenai forum kontroversi Memeluk Islam anjuran Majlis Peguam
yang diteruskan juga semalam.
Forum itu terpaksa ditamatkan kira-kira pukul 10 pagi iaitu tiga jam lebih awal
daripada jadual bagi mengelakkan kejadian tidak diingini ketika bantahan keras
daripada pelbagai pihak semakin memuncak.
Forum yang bermula pukul 8.45 pagi di ibu pejabat Majlis Peguam di Lebuh Pasar
Besar di sini, pada awalnya berlangsung dalam suasana tenang dengan sesi pertama
melibatkan tiga wakil keluarga bukan Islam dengan penuh emosi menceritakan 'penderitaan'
mereka.
Di luar bangunan, kira-kira 1,000 ahli Majlis Angkatan Antara Pertubuhan Bukan
Kerajaan Islam (Mapan), UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengadakan
demonstrasi dengan membawa sepanduk menentang program berkenaan.
Pada sepanduk berkenaan tertera perkataan 'Hidup Islam, Batal Forum', 'Jangan
Cabar Islam' dan 'Majlis Peguam Jangan Bermain Api'.
Mereka juga mengancam untuk menyerbu masuk ke dalam dewan sekiranya forum itu
tidak ditamatkan segera.
Najib berkata, sebagai sebuah negara pelbagai kaum, asas yang menjadi kekuatan
hingga berjaya mengelakkan permusuhan dan salah faham adalah wujudnya sifat
toleransi dan hormat-menghormati.
Beliau berkata, dengan adanya sifat sedemikian telah membuatkan rakyat di negara
ini hidup rukun dan damai.
''Hubungan (pelbagai kaum) juga berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu, jika ada cubaan mempertikaikan perkara-perkara asas (dalam
Perlembagaan) sudah tentu akan timbul timbal balas dan reaksi daripada kumpulan
lain.
''Usaha untuk mengungkai balik (Perlembagaan) hanya akan mencetuskan satu
perbalahan yang akhirnya boleh menggugat kestabilan dalaman negara,'' katanya.
Ketika ditanya sama ada tindakan Majlis Peguam itu boleh dikenakan Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Najib berkata: ''Itu terpulang kepada polis dan
Kementerian Dalam Negeri.''
Jawatankuasa sivil-syarie tangani isu keluarga Islam
Oleh Faizah Izzani Zakaria
KUALA LUMPUR 10 Ogos - Jabatan Perdana Menteri (JPM) menubuhkan Jawatankuasa
Bersama Peguam Sivil dan Syarie bagi menangani masalah yang dibangkitkan oleh
Majlis Peguam berhubung isu perundangan keluarga Islam.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau sudah berbincang
mengenai penubuhan jawatankuasa tersebut bersama seorang lagi menteri di JPM,
Senator Datuk Zaid Ibrahim baru- baru ini.
"Kalau mereka (Majlis Peguam) ikhlas, kita sedia buka pintu untuk bincangkan
perkara yang dibangkitkan dan bukan dengan cara mengadakan forum sendiri
sehingga menyentuh sensitiviti penganut agama Islam,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Jalinan
Mesra dan Anugerah Anakku Cemerlang di Kompleks Anak Yatim Darul Kifayah di sini
hari ini.
Pada majlis itu Ahmad Zahid menyampaikan anugerah kepada Pelajar Cemerlang Sijil
Pelajaran Malaysia 2007, Noor Farahain Jahar, Pelajar Cemerlang Ujian Penilaian
Sekolah Rendah 2007, Siti Nor Fakhina Mohd. Husaini dan Pelajar Cemerlang
Penilaian Menengah Rendah 2007, Muhammad Razi Musa.
Ahmad Zahid mengulas tindakan Majlis Peguam yang menganjurkan forum bertajuk
Memeluk Islam semalam yang mencetuskan perasaan tidak puas hati umat Islam di
negara ini.
Forum tersebut membincangkan beberapa kes membabitkan masyarakat bukan Islam
yang mendakwa teraniaya dan terbiar apabila pasangan mereka memeluk Islam.
Menurut Ahmad Zahid, pihaknya juga sudah berbincang dengan Persatuan Peguam
Muslim Malaysia dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mengenai hal ehwal
perundangan keluarga Islam seperti yang dibangkitkan oleh Majlis Peguam dalam
forum berkenaan.
"Jadi, saya tidak fikir perlunya ada campur tangan daripada Majlis Peguam untuk
menyelesaikan masalah sedemikian.
"Apa pun sistem perundangan ada kelemahannya, tetapi tidak mustahil kita boleh
perbaiki. Mereka boleh beri pandangan, tetapi pada saya bukan dengan cara
mengadakan forum yang menyentuh sensitiviti agama Islam,'' katanya.
Beliau berkata, jawatankuasa tersebut juga boleh menyelesaikan kes melibatkan
tuntutan harta sepencarian, penjagaan anak atau tuntutan terhadap isu berkaitan
perceraian.
"Penyelesaian kes seumpama itu hendaklah dibuat di luar kamar dan perundingan
dibuat antara peguam syarie dan peguam sivil. Ia juga tidak boleh didedahkan
pada masyarakat umum bagi mengelak salah faham dan didebatkan secara terbuka,''
katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berharap pihak polis mendapatkan pandangan daripada
pihaknya terlebih dahulu sebelum memberi permit kepada mana-mana pihak untuk
menganjurkan forum dan seminar berkaitan agama Islam.
"Kita sedia memberi pandangan kepada polis dan kita akan sebutkan apa
undang-undang yang tertakluk kepadanya,'' kata beliau.
Mengenai Kompleks Anak Yatim Darul Kifayah di sini, Ahmad Zahid berkata,
pengambilan anak yatim akan ditambah daripada 370 orang kepada 500 menjelang
tahun depan.
Katanya, penambahan itu selari dengan peningkatan kemudahan yang disediakan di
situ yang menggunakan sepenuhnya wang zakat umat Islam di negara ini.
Saudara baru: Forum sia-sia
KUALA TERENGGANU 10 Ogos - Golongan saudara baru menganggap
tindakan Majlis Peguam menganjurkan forum Memeluk Islam sebagai cubaan
menghalang syiar Islam di negara ini.
Bagaimanapun, langkah itu sia-sia kerana mereka yang memeluk Islam melakukannya
secara sukarela dan bukannya melalui paksaan.
Mereka berpendapat, cubaan untuk menghalang syiar Islam tidak akan berjaya
kerana daripada pengalaman mereka sendiri, keindahan ajaran Islam itu merupakan
daya tarikan utama yang menyebabkan seseorang itu memeluk Islam.
Malah, kecintaan dan keyakinan terhadap Islam menyebabkan tiga saudara baru;
Mohd. Fitri Abdullah, Husaini Abdullah dan Ann Wan Seng berusaha mendalami
ajaran tersebut sehingga kini bergelar pendakwah di Perkim.
Mohd. Fitri Abdullah berkata, beliau lega apabila forum itu ditamatkan
lebih awal kerana ia jelas merupakan cubaan Majlis Peguam untuk menghalang orang
ramai memeluk Islam.
Beliau berkata demikian dalam forum Perbandingan Agama di sini malam tadi
sempena perasmian Kelab Perkim Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) yang
dirasmikan oleh Naib Yang Dipertua Perkim Kebangsaan, Prof. Emeritius Datuk Dr.
Aripin Suhaimi.
Bagi Husaini Abdullah yang telah 10 tahun memeluk Islam, ketaatan
keluarga angkatnya terhadap ajaran agama itu membuka hatinya untuk memeluk Islam
sedangkan sebelum itu beliau berazam untuk mengkristiankan mereka.
Ahli Majlis Perkim Kebangsaan, Ann Wan Seng pula berkata, salah faham
tentang Islam ialah agama itu sering dikaitkan dengan orang Melayu.
Beliau yang telah 12 tahun memeluk Islam menjelaskan, salah faham itu perlu
diperbetulkan supaya kaum lain tidak beranggapan agama itu hanya untuk kelompok
tertentu.
Polis siasat menyeluruh
KUALA LUMPUR 10 Ogos - Polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh ke atas
Majlis Peguam berhubung kekecohan yang timbul semasa forum Memeluk Islam yang
diadakan di sini semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menegaskan, sebarang tindakan yang akan
diambil terhadap mana-mana pihak adalah bergantung kepada hasil siasatan kes
tersebut.
Sehubungan itu, beliau tidak menafikan akan memanggil Presiden Majlis Peguam,
Datuk S. Ambiga jika difikirkan perlu berbuat demikian.
"Kita akan panggil semua yang terlibat,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini
hari ini.
Semalam, tindakan Majlis Peguam menganjurkan forum Memeluk Islam di ibu
pejabatnya di sini mendapat bantahan keras daripada pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) Islam.
Ekoran bantahan itu, forum yang bermula pada pukul 8.45 pagi itu ditamatkan
lebih awal atas nasihat polis bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar semalam berkata, polis akan
mengambil tindakan tegas termasuk menggunakan akta pencegahan terhadap Majlis
Peguam kerana meneruskan penganjuran forum itu yang menyinggung perasaan umat
Islam.
Beliau berkata, undang-undang pencegahan yang boleh digunakan ialah Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Hasutan jika siasatan mendapati ia
sesuai digunakan.
Mengulas kenyataan Syed Hamid itu, Musa memberitahu, tindakan mengikut kedua-dua
akta tersebut adalah bergantung kepada hasil siasatan yang merangkumi pelbagai
aspek.
"Buat masa ini kita tidak boleh menentukan sama ada tindakan bakal diambil
mengikut ISA atau Akta Hasutan... biarlah polis siasat perkara ini dulu,''
tambahnya.
Runding, bukan demonstrasi
ALOR STAR 10 Ogos - Barisan Nasional (BN) Kedah mahu sebarang pendapat yang
boleh menyentuh sensitiviti kaum di negara ini dibincangkan menerusi rundingan
dan bukan melalui forum terbuka atau demonstrasi jalanan yang boleh menggugat
keharmonian negara.
Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata, kaedah forum terbuka dan
demonstrasi jalanan boleh mengguris hati sesuatu kaum sehingga membawa kepada
keadaan negara yang tidak tenteram.
"Kita tidak mahu sebarang perkara diambil di luar undang-undang. Begitu juga
kalau tidak puas hati, jangan adakan demonstrasi jalanan kerana ia boleh
membangkitkan isu sensitif, berkaitan emosi dan akan jadi masalah serius.
"Sebenarnya kita ada cara lain (rundingan), tak kan kita hendak duduk dalam
negeri yang kacau bilau, perang, jadi jangan timbulkan masalah," katanya.
Beliau mengulas mengenai forum kontroversi Memeluk Islam anjuran Majlis Peguam
yang berlangsung di ibu pejabat Majlis Peguam di Lebuh Pasar Besar, Kuala
Lumpur, semalam.
Boleh mudaratkan keamanan negara – Samy Vellu
TAIPING 10 Ogos – Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, forum Memeluk
Islam secara terbuka yang dianjurkan oleh Majlis Peguam di ibu negara semalam
boleh memudaratkan keamanan negara jika ia tetap diteruskan.
Beliau berkata, kekecohan yang berlaku ekoran forum berkenaan juga sepatutnya
boleh dielakkan kerana setiap masalah yang dihadapi oleh rakyat boleh diatasi
dengan perbincangan yang lebih baik.
“Kita tidak perlu mengadakan forum kerana kesannya boleh memudaratkan antara
kaum.
“Kalau forum itu diteruskan ia boleh merumitkan keadaan kerana setiap masalah
yang timbul boleh dibincangkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan
kursus penjenamaan MIC di Bukit Merah Lake Town Resort dekat sini hari ini.
Samy Vellu berkata, setiap rakyat negara ini yang mempunyai masalah membabitkan
orang Islam, Hindu, Kristian dan Buddha boleh berbincang sesama sendiri bagi
mengatasi segala masalah yang mereka hadapi.
Kita lupa apa yang diperjuang?
SEKALI lagi rakyat Malaysia berada dalam semangat bulan
sambutan ulang tahun kemerdekaan.
Baik pemimpin sehinggalah kepada segenap lapisan masyarakat pelbagai peringkat
usia akan menyatakan mereka rasa bertuah dan amat mencintai satu-satunya negara
tumpah darahnya ini.
Namun, adakah ucapan itu selari dengan cara hidup, sikap, dasar dan tindakan
kita dalam menunjukkan apa yang dipanggil rasa cintakan negaranya?
Lupakah kita akan perjuangan generasi terdahulu bermula daripada bertarung nyawa
menentang penjajah seawal tahun 1511 iaitu Portugis diikuti Belanda, British dan
Jepun serta ancaman komunis (1948-1960); menuntut kemerdekaan sehinggalah 'mengisi'
kemerdekaan dengan pelaksanaan dasar-dasar berkaitan bahasa kebangsaan,
kebudayaan, pendidikan, perpaduan dan ekonomi?
Kita seperti lupa akan signifikan pembunuhan Residen British pertama di Perak,
J.W.W. Birch pada 1875. Jika seabad lalu, nenek moyang kita begitu berani
menghalau malah membunuh penjajah tetapi hari ini apa sahaja nilai dari Barat
dibiarkan menerjah masuk meracuni seterusnya membunuh jati diri generasi muda
hari ini.
Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pula gagal mengajak
majoriti golongan muda dan remaja untuk memanfaatkannya. Apa yang berlaku,
jendela dunia itu digunakan untuk hal yang hanya menampilkan rendahnya moral dan
patriotisme bangsa kita seperti klip video Negarakuku tahun lalu.
Ramai juga mungkin sengaja buat lupa bahawa bahasa kebangsaan itu adalah asas
peradaban negara bangsa ini bukannya bahasa Inggeris apatah lagi bahasa Mandarin
atau Tamil. Globalisasi sepatutnya dianggap sebagai satu fenomena yang menuntut
kita seperti ikan di laut iaitu meskipun dikelilingi air masin tetapi isinya
tetap tawar.
Namun, apabila melihatkan satu demi satu 'nahas' yang menimpa kedudukan dan
fungsi bahasa kebangsaan bermula sejak tahun 2003, tidakkah kita seperti mahu
menjadi bangsa 'ikan kering' yang telah dimasinkan?
Babak seniman P. Ramlee dalam filem Seniman Bujang Lapuk yang mengucapkan 'bahasa
menunjukkan bangsa' nampaknya kian dilupakan oleh rakyat Malaysia.
Begitu juga apabila menyentuh soal kebudayaan. Selepas lebih tiga dekad Dasar
Kebudayaan Kebangsaan dilaksanakan, jurang antara kaum tetap melebar lantaran
nilai kebudayaan dari negara asing seperti China dan India begitu diberi
penekanan.
Di Universiti Malaya (UM) misalnya, adakah penubuhan terlalu banyak badan
pelajar berteraskan kebudayaan kaum seperti yang dapat dilihat di luar Dewan
Tunku Canselor sempena istiadat konvokesyen baru-baru ini membantu merapatkan
interaksi pelajar tanpa batas kaum?
Kita juga lupa selagi sistem pendidikan di negara ini tidak di bawah bumbung
yang sama tanpa ada bumbung-bumbung 'jenis' kebangsaan selagi itulah bangsa
Malaysia sebenar gagal dibentuk.
Malangnya, pihak yang galak menyalak mahu membentuk bangsa Malaysia itulah juga
yang cenderung menjadikan pendidikan sebagai modal politik perkauman sempit
mereka.
Akhirnya, impian Tun Abdul Razak untuk melihat pendidikan kebangsaan sebagai
alat membentuk perpaduan negara bangsa tidak juga tercapai sehingga kini.
Malah, sejak mutakhir ini ada sahaja pihak tertentu yang mempersoalkan apa yang
termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya yang berkaitan orang Melayu
dan agama Islam seperti siri-siri forum anjuran Majlis Peguam seperti kontrak
sosial, institut mahkamah syariah serta perihal agama Islam.
Adakah mereka lupa bahawa tanpa tolak-ansur orang Melayu sejak sebelum merdeka
sehingga kini tentunya mereka tidak beroleh kekayaan dan keselesaan hidup
seperti hari ini?
Lebih penting lagi, selepas 50 tahun tanah air ini merdeka, bilakah giliran
mereka pula sedar diri untuk sedia bertoleransi dan berkongsi dengan tidak
terlalu mementingkan diri sendiri?
MOHD. ARIF ATAN
Universiti Malaya
SMS
APA hak Majlis Peguam menganjurkan Forum Memeluk Islam? Sepatutnya tumpukan
tugas dalam hal undang-undang.
- X-MEN
PEGUAM boleh berfikir dengan waras tetapi kenapa Majlis Peguam tidak hiraukan
sensitiviti agama?
- 012-2637XXX
TARIK balik gelaran Datuk daripada mereka yang anjur forum hina Islam dan cetus
ketegangan antara agama.
- ANTIPURA-PURA
MAJLIS PEGUAM perlu menanggung apa sahaja akibat daripada perbuatannya selepas
ini.
- DR. SOSIAL
UNTUK pertahankan orang tertentu ribuan orang datang. Untuk pertahankan agama
depan pejabat Majlis Peguam, tidak sampai 1,000 orang.
- MALU
ORANG Melayu mesti bangun dari tidur yang lena kerana orang lain semakin menekan
kita.
- JAKA SEMBUNG
MAJLIS Peguam sama macam DAP sering mempertikaikan Islam dan Melayu di Malaysia.
- 012-2637XXX
AMERIKA hanya berminat dan membela seseorang yang mereka yakin boleh menjadi
boneka. Fikirkanlah.
- N06P042
SETUJU tulisan Mufti Perlis tentang kegilaan kuasa politik, golongan
bertopengkan agama dan konco-konco Amerika Syarikat.
- SYAFIQ
PEMIMPIN boleh menipu sekali dua tentang moral mereka tetapi tidak boleh selalu
menipu kerana akhirnya kebenaran akan mengatasi segalanya.
- JAWAHIR
IMEJ Wan Azizah lebih disenangi di Permatang Pauh berbanding Anwar Ibrahim.
- PENGUNDI
HAIRAN kenyataan Nik Aziz bahawa Islam benarkan kronisme. Kenapa cepat berubah?
- YUSOFF RASHID
MAHU polis bertindak tangani gejala ponteng sekolah di Wangsa Melawati, KL.
Ramai yang lepak waktu sekolah di kawasan perumahan sambil merokok.
- PESARA
KECEWA ada pimpinan bahagian UMNO yang menghalang cawangan bermesyuarat kerana
mahu menang cara kotor.
- AHLI SETIA
GURU perlu prihatin terhadap pelajar, bukannya mengetepikan pelajar yang lemah.
Harap guru mengambil berat tentang isu ini.
- PELAJAR J
Guna ISA atau Akta Hasutan terhadap Majlis Peguam
KUALA LUMPUR 10 Ogos - Kerajaan diminta bertegas menggunakan
sepenuhnya Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas Majlis
Peguam yang menganjurkan forum bertajuk Memeluk Islam sehingga mencetuskan
kekecohan.
Pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dihubungi di sini hari
ini bersetuju agar kedua-dua akta itu digunakan kerana sikap berlembut dan
toleransi yang diambil kerajaan dalam isu sensitif keagamaan dan perkauman boleh
membahayakan perpaduan kaum di negara ini.
Secara umum mereka berpendapat, sikap yang ditunjukkan oleh Majlis Peguam adalah
ekstrem kerana badan guaman itu menolak permintaan banyak pihak termasuk
daripada kerajaan sendiri agar forum tersebut dibatalkan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, ISA perlu digunakan
sebelum keadaan menjadi terlalu lambat untuk diperbaiki.
"Kalau terjadi apa-apa hal (kekecohan), siapa yang hendak bertanggungjawab,''
katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Beliau mengulas kenyataan Majlis Peguam yang melihat kehadiran lebih 100 orang
pada Forum Memeluk Islam di ibu kota semalam sebagai satu kejayaan dan mahu
mengadakan lagi forum yang sama pada masa hadapan.
Mohd. Ali menjelaskan, tindakan Majlis Peguam semalam telah mencampur aduk soal
berkaitan Perlembagaan dengan ajaran Islam dengan niat untuk memperlihatkan
agama itu sebagai agama yang tidak adil.
Tambahnya, sikap Majlis Peguam itu memperlihatkan ciri-ciri anti-Islam.
"Jika tidak dikawal, ia boleh mengundang rasa tidak puas hati dalam masyarakat
pelbagai kaum di negara ini," katanya.
Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub pula berkata, saluran perundangan
seperti Akta Hasutan boleh digunakan jika Majlis Peguam masih berdegil dan mahu
meneruskan forum yang dilihat boleh membangkitkan kemarahan.
"Undang-undang sedia ada seperti Akta Hasutan atau yang berkaitan boleh
digunakan,'' katanya.
Beliau bagaimanapun menolak penggunaan ISA bagi menangani sebarang tindakan
tidak berhemah seperti yang ditunjukkan oleh Majlis Peguam.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian juga menyarankan Majlis Peguam
agar bertemu dengan Pas jika mahu mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu
keislaman.
Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Nika Ujang berkata,
Majlis Peguam masa kini bertindak sebagai satu badan yang degil, angkuh dan
penuh ego.
"Ini satu petanda yang tidak baik,'' katanya.
Beliau berkata, tindakan Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga meneruskan
forum itu sebenarnya membelakangkan pandangan ahli-ahli Majlis Peguam sendiri
yang terdiri daripada 40 peratus peguam Melayu dan Islam.
Menurut Abu Zahar, tindakan tegas perlu diambil untuk memastikan Majlis Peguam
tidak lagi memainkan sentimen orang Melayu dan Islam di negara ini.
"Kalau perlu diambil tindakan di bawah Akta Hasutan, teruskan,'' katanya.
"Saya juga seorang ahli Majlis Peguam. Saya mendapat tahu ada juga peguam bukan
Islam yang kurang bersetuju dengan tindakan Ambiga itu,'' katanya.
Ketua Penerangan Puteri UMNO, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, perpaduan di
Malaysia tidak boleh dibiarkan musnah hanya disebabkan wujud satu kumpulan kecil
yang merasakan diri mereka jaguh dalam memperjuangkan kebebasan bersuara.
"Kerajaan harus bertindak tegas untuk memastikan kepentingan majoriti penduduk
terbela,'' katanya.
Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Pembelaan Rakyat, Datuk Abdul Azeez Abdul
Rahim berkata, tindakan berlembut terhadap pihak-pihak yang membangkitkan
sentimen berbahaya akan hanya merugikan negara.
Kata beliau, undang-undang sedia ada seperti ISA dan Akta Hasutan bertujuan
untuk mencegah perkara yang membahayakan masyarakat.
"Justeru, ia hendaklah digunakan tanpa rasa was-was apabila tiba masanya," ujar
beliau.
Forum Memeluk Islam yang diadakan di bangunan Majlis Peguam di sini semalam
terpaksa dihentikan pada pukul 10 pagi, iaitu tiga jam lebih lebih awal daripada
yang dirancang, selepas polis menasihatkan Majlis Peguam agar berbuat demikian
atas faktor keselamatan.
Akhir Jun lalu, Majlis Peguam turut menganjurkan satu forum sensitif yang
membincangkan mengenai hak-hak keistimewaan orang Melayu.
Jangan cabar kerajaan – Syed Hamid
KOTA TINGGI 10 Ogos – Sebarang ketegangan ataupun insiden tidak akan timbul
sekiranya Majlis Peguam mendengar nasihat kerajaan supaya menghentikan
penganjuran forum itu lebih awal.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, perbincangan secara
terbuka mengenai keagamaan tidak berkesudahan dan seterusnya akan
memecahbelahkan masyarakat dan menaikkan sensitiviti rakyat.
“Ia tiada noktah. Kalau hari ini Majlis Peguam buat forum peluk Islam, mungkin
nanti kumpulan Islam pula buat forum pasal rumah ibadat dan agama lain.
“Majlis Peguam jangan terus mencabar kerajaan dan kita kena hormat sejarah dan
perlembagaan negara,” katanya kepada pemberita pada mesyuarat UMNO Cawangan
Sungai Sembilang di sini, hari ini.
Mengenai kejadian bom petrol dilontar ke rumah Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk
Seri Shahrizat Abdul Jalil di Jalan Setiakasih 1, Bukit Damansara, semalam, Syed
Hamid menganggap kejadian itu sebagai tindakan baru ekoran tidak puas hati
dengan penganjuran Forum Memeluk Islam oleh Majlis Peguam.
Rumah itu sebelum ini pernah dihuni oleh keluarga Presiden Majlis Peguam, Datuk
Ambiga Sreenevasan sebelum dijual kepada Shahrizat.
‘‘Ini perkembangan yang tidak sihat sebab itu kita sudah nasihat dan bagi kata
dua kepada Majlis Peguam supaya tidak meneruskan forum itu,” katanya.
Suspek diburu
KUALA LUMPUR 10 Ogos – Polis sedang mengenal pasti sama ada bom petrol yang
dilontarkan ke kediaman Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan diletakkan di depan
bangunan Majlis Peguam Malaysia di sini semalam adalah perbuatan individu yang
sama.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II, Ku
Chin Wah berkata, isi kandungan nota dalam bom petrol yang ditemui di dua lokasi
tersebut menyatakan bantahan terhadap penganjuran Forum Memeluk Islam yang
diadakan semalam.
“Malah siasatan awal mendapati bom itu tidak ditujukan kepada Naib Ketua
Pergerakan Wanita UMNO itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengapa perlekeh Islam?
Oleh Zulkiflee Bakar (Wartawan Utusan)
penganjuran Forum Memeluk Islam oleh Majlis Peguam kelmarin mencetuskan
kemarahan umat Islam di negara ini.
WALAUPUN Majlis Peguam menganggap forum bertajuk 'Memeluk Islam' yang diadakan
pada Sabtu lalu berjaya, namun ia boleh dianggap satu kenyataan yang semata-mata
untuk menyedapkan hati sahaja.
Hakikatnya majlis itu sudah mendapat isyarat yang jelas bahawa seandainya mereka
terus mengadakan forum yang menyentuh kepentingan dan kedudukan Islam maka
mereka akan berhadapan dengan penentangan daripada orang Islam.
Kehadiran lebih 1,000 umat Islam di hadapan bangunan Majlis Peguam di mana forum
berkenaan berlangsung sudah jelas membuktikan bahawa umat Islam tidak akan duduk
diam seandainya ada pihak yang cuba memperkotak- katikkan agama suci tersebut.
Justeru apa yang berlaku seharusnya menjadikan pengajaran kepada pihak-pihak
lain agar jangan terlalu melampaui batas dalam tindakan mereka.
Sebelum ini sudah ada beberapa isu yang mengguris perasaan umat Islam tetapi
umat Islam masih bersabar demi menjaga keselamatan dan keharmonian antara kaum.
Mungkin pihak yang berbuat demikian tersalah tafsir mengenai kekuatan perpaduan
umat Islam apabila melihat keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu yang
menyaksikan kedudukan kuasa politik Melayu agak tergugat.
Bagaimanapun mereka terlupa politik adalah politik tetapi dalam soal agama semua
umat Islam di negara ini mengadap kiblat yang sama, oleh itu mereka pasti akan
bersatu jika kedudukan itu diganggu gugat.
Hakikatnya, umat Islam bukanlah kelompok yang ganas atau sengaja hendak mencari
fasal dengan kaum bukan Islam. Sejarah sudah membuktikan perkara ini, di mana
umat Islam biarpun majoriti tetapi tidak pernah menindas kaum lain.
Tetapi malangnya sekarang ini ada pihak tertentu apabila sudah mendapat sedikit
kuasa, sudah mula hendak menunjuk belang dengan menganggu gugat kedudukan orang
Islam.
Bagi mereka, tindakan yang akan dilakukan tidak akan mampu ditentang oleh orang
Islam yang dilihat berpecah belah akibat ideologi politik.
Namun apa yang berlaku pada majlis forum Majlis Peguam itu dengan jelas
membuktikan bahawa perpaduan Islam tetap utuh biarpun fahaman politik antara
umat Islam berbeza.
Kita bukanlah berhasrat untuk memanjangkan isu yang berlaku tetapi adalah
diharapkan selepas ini semua pihak sama ada Islam atau bukan Islam akan lebih
berhati-hati dalam tindakan mereka.
Kita sudah diajar sejak 50 tahun lalu bahawa dalam negara majmuk seperti
Malaysia, persoalan mengenai agama dan bangsa adalah dua topik yang cukup
berbahaya kalau diganggu gugat.
Ia boleh mencetuskan rusuhan antara kaum dan agama. Rakyat negara ini tanpa
mengira siapapun mereka harus mengambil iktibar daripada peristiwa di beberapa
negara yang menyaksikan bagaimana apabila isu agama dan bangsa disentuh maka
tercetus perbalahan kaum yang tidak dapat dikawal. Keadaan itu akhirnya hanya
merugikan negara berkenaan.
Justeru kita di Malaysia juga harus benar-benar memahami perkara ini. Janganlah
cuba menjadi jaguh dalam isu yang menyentuh kedudukan bangsa dan kaum lain
kerana ia pasti mengundang padah.
KebebasanSemua pihak perlu menghormati perjanjian yang dipersetujui ketika kita
mencapai kemerdekaan dan bukannya cuba mencabulinya atas alasan kebebasan
bersuara, demokrasi atau mencari titik penyelesaian.
Kebebasan bersuara bukan bererti kita harus mencampuri urusan agama lain,
demokrasi bukan bermakna kita perlu bertindak melampaui batas perkauman dan
mencari titik penyelesaian bukan bermaksud kita boleh membincangkan sesuatu yang
sensitif sehingga menggugat keselamatan awam.
Berdasarkan hakikat itu adalah perlu Majlis Peguam atau mana-mana juga pi- hak
yang sejak kebelakangan ini semakin ingin menunjukkan belang atau kuasa mereka
belajar untuk mengamalkan demokrasi secara berhemah dan bukannya berasaskan
kepada apa-apa sentimen.
Adalah tidak munasabah jika mana- mana pihak mendakwa apa yang mereka lakukan
tidak salah sedangkan mereka tahu isu atau perkara yang mereka bangkitkan adalah
sesuatu yang boleh mendatangkan kemudaratan dari segi hubungan kaum dan
keharmonian antara agama.
Tidak payahlah hendak menunjukkan kuasa dengan bermain dengan isu-isu seumpama
itu kerana tindakan sedemikian hanyalah mengundang bahaya.
Kepada orang Melayu pula, mereka perlu menjadikan apa yang dilakukan oleh Majlis
Peguam sebagai iktibar bahawa inilah akibatnya jika kita dilihat tidak bersatu
dan berpecah belah.
Bagaimanapun perpaduan Islam yang ditunjukkan Sabtu lalu boleh dianggap sesuatu
yang menggembirakan kerana selepas pilihan raya umum lalu ada pandangan sinis
bahawa umat Islam tidak akan bersatu kerana berpecah belah akibat politik.
Sebenarnya, Islam sendiri membenarkan kita berbeza pendapat malah berbeza
fahaman politik bukanlah satu dosa tetapi apabila ada perkara yang memerlukan
kita bersatu, maka kita harus berada di saf yang sama, tanpa perbalahan, tanpa
pertikaian.
Kita perlu berada di barisan hadapan demi mempertahankan agama dan kepentingan
bangsa kita agar ia tidak diperolok-olokkan oleh mana-mana pihak.
Mungkin benar, kita dilihat begitu bertegang leher dalam soal politik, malah
akibat daripada perbezaan politik inilah juga ia memberi kesempatan kepada pihak
lain untuk 'bermaharajalela' dan mengambil kesempatan bagi mencapai cita-cita
politik mereka.
Tetapi apa yang diharapkan kita tidak mengorbankan ukhuwah Islamiah yang
diperintah oleh Allah melalui firman- Nya dalam surah Ali Imran ayat 103 yang
meminta semua umat Islam berpegang teguh dengan tali (agama) Allah dan jangan
bercerai berai.
Semoga semangat yang ditunjukkan oleh umat Islam dalam isu forum 'Memeluk Islam'
itu akan terus kekal kerana kita yakin 'kebenaran luar biasa' yang cuba
ditunjukkan oleh pihak-pihak tertentu pasti tidak akan berakhir di situ sahaja.
Selepas ini kita yakin ada lagi pihak yang akan terus berusaha menguji kesabaran
orang Melayu dan umat Islam tetapi dalam masa yang sama mereka juga perlu
diperingatkan, 'sarang tebuan jangan dijolok' kerana padahnya amat buruk.
Kesabaran, HAK umat islam BUKAN UNTUK DIUJI
BANYAK yang boleh dijadikan iktibar ekoran penganjuran Forum Memeluk Islam oleh
Majlis Peguam biar pun kelangsungannya cuma separuh jalan.
Paling nyata kedegilan pertubuhan yang mewakili pengamal undang-undang di negara
ini untuk meneruskan forum tersebut telah mencetuskan pelbagai reaksi di
kalangan umat Islam di negara ini.
Rasa tidak puas hati, marah hampir sahaja mencetuskan keganasan itu boleh sahaja
dibendung jika Majlis Peguam bersetuju membatalkan penganjuran forum bagi
membincangkan isu sensitif di negara pelbagai kaum ini.
Sememangnya satu kepelikan apabila Majlis Peguam beria-ia mahu meneruskan forum
tersebut di sebalik kata dua termasuk berbau amaran dan bantahan daripada
kalangan pemimpin negara supaya ia dibatalkan.
Adakah orang penting di dalam pertubuhan itu mahu mencabar keharmonian kaum di
negara ini atau ada tangan-tangan di belakang Majlis Peguam yang ingin menjolok
sarang tebuan - menguji sejauh mana umat Melayu beragama Islam di negara ini
bersatu jika perihal Islam diperlekehkan.
Atau mungkinkah perpecahan di kalangan umat Melayu yang dilihat secara mata
kasar menjadi sandaran untuk Majlis Peguam membahaskan isu- isu sensitif secara
terbuka dengan hasrat akan tampil banyak pihak memberikan sokongan.
Jika Majlis Peguam ikhlas dan jujur untuk mencari jawapan tentang isu Memeluk
Islam, mengapa mereka hanya menjadikan 'cerita-cerita luka dan sedih' mualaf
sebagai rujukan.
Bukankah tujuan mereka hanya satu iaitu untuk menggambarkan betapa Islam itu
zalim dan umatnya tidak berperikemanusiaan sehingga melahirkan individu-individu
yang 'tersingkir' daripada ke- luarga dan terabai.
Salahkah jika Majlis Peguam membariskan saudara baru yang berjaya dan kaum
keluarga beragama lain yang merelakan anak-anak memeluk Islam tanpa perlu
memutuskan hubungan kekeluargaan.
Bahawa paparan Majlis Peguam semalam hanyalah menyentuh kes-kes terpencil yang
berlaku bukan disebabkan wujudnya kekurangan dalam Islam.
Sebaliknya kesemuanya itu berpunca daripada kegagalan segelintir umat Islam
untuk menghayati ajaran agama yang mencakupi semua aspek kehidupan.
Kita boleh sahaja membayangkan apa perasaan penganut agama lain jika ada yang
tampil menceritakan betapa hancurnya hidup mereka sejak berkahwin dengan
pasangan dari agama tersebut.
Bukan tidak ada perempuan Islam yang berkahwin dengan bukan Islam hidup
menderita, diabaikan atau disepak terajang.
Cuma cerita-cerita yang meruntun jiwa itu disimpan demi menjaga keharmonian
hidup masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Kita semua mesti ingat dalam keadaan masyarakat Malaysia masih dibelenggu syak
wasangka dan rasa kurang selamat hanya kerana umat Melayu dominan di negara ini,
isu-isu sensitif belum selayaknya dibahaskan secara terbuka.
Kedegilan untuk terus berbuat demikian hanya akan mengundang padah dan
melebarkan jurang sesama kaum.
Bisik-bisik Awang Selamat
AWANG kesal dengan tindakan Majlis Peguam yang tetap menganjurkan Forum Memeluk
Islam, kelmarin di sebalik menerima banyak bantahan umat Islam dan amaran
daripada kerajaan.
Nampaknya badan profesional peguam itu mahu menguji masyarakat Islam dan sejauh
mana ketegasan kerajaan.
Jika itu tujuannya, mereka sudah berjaya mencapai kejayaan menerusi forum itu.
Biarpun forum tersebut ditamatkan lebih awal berikutan bantahan lebih 1,000
orang yang mewakili pelbagai NGO Islam, ia menampakkan Majlis Peguam berani
mencabar kerajaan dan tidak menghiraukan sensitiviti umat Islam.
Awang melihat apa yang dicetuskan oleh Majlis Peguam sudah menjadi isu
keselamatan nasional yang jika tidak ditangani dengan tegas, akan meledakkan
krisis agama dan kaum.
Maka Majlis Peguam perlu dipertanggungjawabkan dan wajar dikenakan tindakan.
Kerajaan tidak lagi boleh sekadar memberi nasihat dan amaran kerana ia ternyata
boleh dipermainkan.
Lagipun mengapa Majlis Peguam lebih berminat menyentuh isu sensitiviti
melibatkan kepentingan Melayu dan Islam kebelakangan ini. Apa muslihat mereka?
Awang – Jiwa meronta.
Apa sebenarnya motif Majlis Peguam
Sobri Sudin, Sentul, Kuala Lumpur
AHLI falsafah undang-undang Roscoe Pound menyatakan 'tujuan undang-undang ialah
membentuk keamanan dan menjamin kesejahteraan sosial masyarakat'. Namun apabila
undang-undang, interpretasinya dan semangat keluhuran dimanipulasi oleh pihak
yang dianggap sebagai pakar maka akan berlakulah kacau bilau dalam konteks
kehidupan bernegara.
Demikianlah betapa degilnya Majlis Peguam yang terus menganjurkan Forum Memeluk
Islam kelmarin. Sungguhpun dibantah, diberi amaran oleh pelbagai pihak termasuk
pihak kepimpinan negara dan pihak berkuasa.
Ironinya, undang-undang tidak lagi dihormati, sensitiviti kaum langsung
dipinggirkan, cetusan rasa masyarakat Islam yang mewakili lebih 65 peratus
penduduk negara ini diremehkan. Lantas Majlis Peguam yang sepatutnya menjadi
contoh di mana semangat undang-undang disuburkan, usaha mendidik rakyat untuk
memahami kerangka Perlembagaan, muafakat hidup antara masyarakat berbilang kaum
seolah-olah mahu menjadi juara yang tidak kena pada tempatnya.
Forum terbuka, melibatkan perbincangan agama lain haruslah dihuraikan oleh pakar
bidang agama berkenaan. Soal agama tidak boleh ditafsirkan hanya berdasarkan
akal logik, emosi atau luahan perasaan kerana pengalaman hidup yang lampau.
Sebab itu di dalam ajaran Islam yang suci penganutnya ditegah daripada mencerca
Tuhan agama lain. Apa perasaan Majlis Peguam jika umat Islam selepas ini
menganjurkan forum 'mana lebih logik, agama Islam atau agama lain'.
Lalu forum terbuka ini secara terang- terangan memperlekehkan betapa tahyul dan
tidak signifikannya agama lain berbanding Islam. Sudah tentulah pakar
perundangan, peguam profesional di dalam Majlis Peguam dengan menggunakan sumber
rujukan undang-undang membantah dengan apa jua cara.
Namun dalam masa yang sama usaha Majlis Peguam yang sebelum ini menganjurkan
Forum Kontrak Sosial diikuti Forum Memeluk Islam, dan dengan bangganya Presiden
Majlis Peguam menyatakan perasaan egonya bahawa forum ini berjaya. Ini jelas
membuktikan sifat dan mentaliti sesetengah peguam yang merasakan diri mereka
hebat, kebal daripada sebarang tindakan undang-undang dan tafsiran undang-undang
hanya hak eksklusif mereka sahaja.
Memeluk Islam dan mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya adalah dua perkara yang
berbeza. Kenapa harus disempitkan pemikiran dan menyalahkan Islam bagi segala
pengabaian tanggungjawab yang gagal dilaksanakan oleh si pemeluknya?
Apakah penganut agama lain juga sama ada Kristian, Hindu, Buddha sudah terjamin
melaksanakan peranan dan fungsi mereka sepenuhnya sebagai penganut agama
berkenaan dan tanggungjawab sebagai ayah, ibu, suami dan ketua keluarga dengan
sempurna.
Sebab itu, agama dan suruhannya serta ajarannya tidak hanya boleh didebatkan
mengikut rasa hati, perasaan amarah hanya kerana beberapa kes duluan yang
berlaku.
Saluran perundangan terbuka luas, kerangka perundangan juga telah menggariskan
adab dan tatasusila apa yang boleh apa yang tidak boleh diperkatakan. Jangan
kerana mahu memaksakan sistem nilai, menegakkan pandangan sebelah pihak,
menyuntik elemen kebencian kepada agama tertentu, maka beberapa kes terpencil
dibawa sebagai wahana perbincangan, yang natijah akhirnya mampu mengundang
permusuhan, salah tafsiran dan syak wasangka penganut agama lain.
Alangkah baiknya jika Majlis Peguam berperanan secara yang lebih konstruktif.
Mengindoktrinasikan masyarakat agar menghormati ruang lingkup undang-undang,
menghayati semangat Perlembagaan Persekutuan yang telah dibina atas muafakat dan
kontrak sosial antara masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Bukan terus menerus mempertikaikannya menggunakan alasan dan bidang kuasa
perundangan, dan pemikiran logik atau emosi semata-mata. Itupun sekadar
membawakan beberapa kes duluan, bukannya melihat dalam perspektif yang holistik.
Majlis Peguam juga adalah manusia biasa, yang sebahagian besarnya mampu
mentafsir undang-undang dan memahami sekadar apa yang tersurat, namun belum
tentu apa yang tersirat.
Sebab itu Majlis Peguam tidak boleh menjadi orang yang serba pandai, dan
mendominasi hak eksklusif bidang perundangan negara.
Sepatutnya setiap pihak yang mendakwa diri mereka badan profesional melakukan
tugas dengan realiti kemajmukan masyarakat, berbilang bangsa, agama dan budaya
diletakkan sebagai teras rujukan sebelum sesuatu tindakan diambil. Membincangkan
sesuatu dengan andaian akan dianggap sebagai pejuang, hero masyarakat, atas
perkiraan hak asasi, dan demi untuk mengangkat kepada pembelaan sekelompok kecil
komuniti namun dalam masa yang sama boleh meresahkan sebahagian besar komuniti
masyarakat yang lain, pada pengamatan penulis bukanlah satu tindakan yang adil.
Barangkali dalam konteks inilah Majlis Peguam harus menginsafi semangat
undang-undang iaitu 'mencegah lebih baik daripada mengubati'.
Barangkali juga ahli Majlis Peguam perlu diberi kursus kembali tentang prinsip
Rukun Negara, sejarah dan semangat asal Perlembagaan Persekutuan dan juga
realiti pelaksanaan undang-undang dalam sebuah negara majmuk.
|