|
©Utusan Malaysia
(Digunakan dengan kebenaran)
KETIKA negara meraikan ulang tahun kemerdekaan yang ke-50, renung pesanan
daripada Perdana Menteri pertama Malaysia, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra
yang diluahkannya 25 tahun lalu melalui wawancara dengan wartawan Bernama,
Zakaria A. Wahab (kini Datuk) sempena sambutan Jubli Perak kemerdekaan negara.
Kami siarkan kembali wawancara bertajuk ‘Kenangan Seorang Negarawan’ yang
dirakam pada Ogos 1982. – Pengarang
GENAPLAH 25 tahun negara mencapai kemerdekaan dan sudah suku abad ia bebas
daripada belenggu penjajahan. Sambutan Jubli Perak kemerdekaan negara tentu
disambut megah, bermakna dan secara besar-besaran.
Tetapi bagi seorang anak pribumi yang lahir dalam negara merdeka sambutan itu
tidak ubah seperti perayaan lain jua. Tidak ada bezanya. Rasa kemerdekaan
mungkin tidak pernah bertapak dalam hatinya.
Sebaliknya, pada yang pernah melalui detik-detik perjuangan untuk mengembalikan
maruah negara, bangsa dan agama akan tercuit perasaannya, betapa besar dan
berharganya nilai kemerdekaan negara.
Padanya segala peristiwa pahit getir dalam perjuangan menuntut kemerdekaan tanah
air akan terus tersemat dalam sanubarinya dan menjadi kenangan selagi hayat
dikandung badan.
Bekas Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj
yang berusia 80 tahun (ketika itu) adalah orang yang paling bahagia. Dalam
dirinyalah tercatat segala sejarah kelahiran sebuah negara merdeka, maju, bebas
dan bahagia.
Bapa Kemerdekaan inilah yang dapat menceritakan segalanya mengenai negara, dari
sebelum, pada dan selepas Hari Kemerdekaan yang kini sudah menjadi sejarah tanah
air. Untuk ini, beliau telah sudi diwawancara di kediamannya di Pulau Pinang.
Dalam wawancara tersebut Tunku secara terbuka mengeluarkan pendapat dan
pandangannya terhadap soal-soal yang menyentuh kemerdekaan dan betapa besar
ertinya kepada beliau dan rakyat negara ini.
Beliau menyorot segala perubahan yang dialami negara seperti mengenai perpaduan
kaum, keselamatan, dasar memandang ke timur, hubungannya dengan British, agama,
raja-raja Melayu, bangsa dan berbagai-bagai peristiwa suka duka yang kini
menjadi kenangannya.
Apakah perasaan Tunku setelah 25 tahun negara mencapai kemerdekaan dan
sambutannya hari ini?
TUNKU: Hari Kemerdekaan adalah hari yang bermakna kepada kita kerana
negara kita amat berlainan dengan negara-negara lain yang ada di dunia.
Sejarah Tanah Melayu telah menunjukkan bangsa kita sentiasa dijajah sejak dari
zaman Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun serta Siam yang menjajah
negeri-negeri di utara Semenanjung.
Pihak Inggeris (British) memandang negara kita sebagai sebuah “negara yang
dilimpahi susu dan madu” yang bermakna kita selama- lamanya sudah tentu akan
dijajah.
Dalam keadaan negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum, pihak Inggeris telah
pernah berkata selagi rakyat Tanah Melayu tidak boleh bersatu dan bekerjasama
sesama sendiri selagi itulah kamu dijajah.
Kemerdekaan yang kamu tuntut tidak akan tercapai. Hinggakan pintu UMNO hendak
dibukakan kepada kaum lain yang sudah tentu berlanggar dengan perlembagaannya.
Dengan keadaan demikian, siapa yang jadi pemimpin sudah tentu berperasaan yang
negaranya, yang dipimpinnya tidak akan boleh mencapai kemerdekaan. Tetapi dengan
berkat usaha dan kegigihan perjuangan rakyat yang bersatu menuntut kemerdekaan
semasa itu dikabulkan juga oleh Tuhan.
Semuanya kini menjadi sejarah, sebab itu saya nampak sambutan yang dibuat bagi
mengingati hari tersebut menunjukkan betapa kerajaan dan rakyat telah memulakan
Hari Kemerdekaan, hari kebesaran negara kita itu.
Satu perkara yang saya hendak timbulkan di sini ialah masih belum terdapat
catatan sejarah yang lengkap menunjukkan peringkat-peringkat perjuangan kita
hingga mencapai kemerdekaan.
Atas kekurangan itulah saya telah meluangkan masa untuk menulis apa yang saya
ingat semasa berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan supaya rakyat sendiri dapat
membaca dan memahaminya dengan sebenar walaupun tidak sepenuhnya.
Apakah pencapaian yang paling penting atau yang meninggalkan kesan selama 25
tahun selepas negara mencapai kemerdekaan?
TUNKU: Pencapaian yang paling penting pertamanya ialah sekarang sudah
wujudnya persefahaman yang baik di antara rakyat berbilang kaum di negara ini.
Keduanya ialah rancangan-rancangan pembangunan yang telah kerajaan jalankan
untuk memberi kesenangan kepada rakyat jelata, yang ketiganya ialah dengan
tercapainya kemajuan pembangunan itu keadaan keamanan dan keselamatan negara
turut tercapai dengan gilang-gemilang hingga dikagumi oleh negara-negara lain,
ini yang utamanya.

Bagaimana pandangan Tunku terhadap soal perpaduan kaum,
apakah ia sudah mencapai tahap yang memuaskan atau boleh dibaiki lagi?
TUNKU: Apa yang telah kita capai sekarang sudah begitu baik, tetapi
hendak mencapai perpaduan sepenuhnya agak sukar. Tetapi kalau kita buat secara
beransur-ansur memang boleh, asalkan niat hendak berbaik- baik di kalangan kita
itu ada. Kalau tidak ada, kacau.
Perasaan kebimbangan antara kaum itu memanglah ada, sebab itulah saya kata kita
mesti jujur dan bertimbang rasa semasa pemerintahan saya.
Saya dapati ramai orang Cina begitu juga orang India berbelah bagi taat setia
mereka iaitu antara negeri asal mereka dan Tanah Melayu, tetapi saya menarik
hati mereka supaya taat dan memberi keyakinan bahawa mereka akan selamanya di
negara ini walaupun kuasa politiknya dikuasai oleh orang Melayu.
Menimbulkan
Jadi memanglah ada selalu kebimbangan itu bahawa kaum-kaum dalam negara ini
boleh berpecah, tetapi asalkan kita tidak membuat perkara-perkara yang boleh
menimbulkan pergaduhan, negara kita sudah tentu akan selamat. Saya masih
teringat semasa peristiwa 13 Mei, 1969 di Kuala Lumpur dulu bukan main
dahsyatnya Allah s.w.t. sahaja yang tahu.
Kalau timbulnya pergaduhan dari Perlis, Kedah hingga Johor sampai ke
negeri-negeri sebelah Pantai Timur itu, apa hendak jadi pada negara ini saya
tidak tahulah, macam saya ni bolehlah melarikan diri tetapi rakyat miskin dalam
kampung hendak selamatkan diri di mana? Yang duduk di pekan hendak lari ke mana?
Siapa yang boleh menjaga setiap orang atau mereka semua? Jadi apa yang saya
perhatikan selama 25 tahun merdeka ini, saya dapati perasaan terutama
orang-orang muda atau generasi baru dan lebih-lebih lagi mereka yang keluar dari
sekolah-sekolah yang dibantu oleh kerajaan, mereka ini sudah banyak memandang ke
Malaysia sebagai tanah ibu pertiwi mereka.
Malah, mereka sudah belajar bahasa Melayu dan pandai bertutur dalam bahasa
Melayu.
Sampai dalam taman didikan kanak-kanak sendiri saya dapati kanak-kanak kaum lain
begitu juga keadaannya, pernah anak saudara Adikong (Aide De Camp) yang belajar
di tadika membaca al-Fatihah di depan saya, dari mula sampai habis. Jadi saya
tanyalah tidakkah ibu bapa mereka marah kerana tadika itu bukan sekolah agama
dan mengajar mereka membaca al-Quran pula.
Mereka memberitahu saya sebenarnya mereka tidak pernah mengajar membaca al-Quran
kepada kanak-kanak bukan Islam.
Hanya kanak-kanak Melayu sahaja yang diajar membaca al-Quran, manakala
kanak-kanak keturunan lain diajar mengenai adat dan tatatertib sahaja mungkin
mereka pandai membaca al-Quran kerana banyak bergaul dengan kanak-kanak Melayu
serta selalu mendengar mereka membaca kitab dan turut membaca bersama.
Jadi sampai begitu sekali keadaannya sekarang. Itulah saya berpegang kepada satu
iaitu kita hidup dengan persefahaman yang baik, di antara satu sama lain dan
harus bersyukur kepada hadrat Ilahi.
Tetapi kita mesti jaga keamanan itu agar tidak berlaku huru-hara atau perpecahan.
Kalau sudah berpecah memanglah akan berpecah terus.
Kita dapat lihat sendiri seperti di Lebanon, penduduknya yang terdiri daripada
satu bangsa tetapi kerana berlainan agama telah bergaduh sesama sendiri dari
satu masa ke satu masa dan tidak pernah dapat hidup senang kecuali menanggung
penderitaan akibat perbuatan sendiri.
Inilah perkara yang kita mesti awasi, saya pasti memang ada orang Melayu yang
cuba hendak gunakan agama untuk memecahbelahkan antara satu sama lain.
Mereka tahu kalau digunakan cara lain sudah tentu agak sukar bagi mereka hendak
mempengaruhi orang Melayu. Sebaliknya dengan menggunakan Islam orang Melayu akan
lebih cepat tertarik hati. Kerana itu timbullah peristiwa sembahyang sampai dua
imam dalam satu masjid. Inilah yang kita mesti jaga.
Agama Islam sebenarnya bertujuan memberi kebahagiaan kepada hambanya bukan untuk
berpecah belah dan bergaduh antara satu sama lain. Sebab itu saya berusaha
‘simpangkan’ Perkim daripada kejadian seperti itu. Allah tidak melarang kita
berbaik-baik dengan kaum lain. Inilah yang membimbangkan.
Bagaimana pula dengan ancaman komunis?
TUNKU: Ancamannya tidak begitu besar lagi seperti di zaman darurat dulu.
Mereka sekarang tidak punya haluan lagi, mereka sudah tahu negara China tidak
begitu memberi sokongan kepada perjuangan mereka, mereka pula sentiasa diburu
oleh pasukan keselamatan baik di hutan Malaysia mahupun di Thailand.
Saya rasa seelok-eloknya lebih baik mereka menyerahkan diri sahaja kepada
kerajaan daripada meneruskan perjuangan yang sia-sia itu. Sekiranya mereka
menyerah diri dengan rela hati bolehlah kita berikan kebebasan kepada mereka
setelah nyata mereka telah insaf dan sedar.
Apa pula pandangan Tunku tentang perubahan-perubahan yang dibawa oleh
pemimpin-pemimpin dulu kepada negara dalam tempoh 25 tahun lalu?
TUNKU: Memang ada banyak perubahan, tetapi pembaharuan yang dibawa oleh para
pemimpin itu tidak lari daripada dasar-dasar yang sedia ada. Dasar-dasarnya sama
sahaja dari mula hingga hari ini. Perubahan-perubahan yang dibawa itu dibuat
dalam rangka Perlembagaan negara, jadi dalam tempoh 25 tahun itu banyak
perubahan telah berlaku tetapi ia didasarkan kepada asas-asas kemerdekaan
seperti rancangan kemajuan tanah, pembangunan ekonomi dan pelajaran.
Para penduduk diberi tanah beberapa ekar untuk dimajukan. Pada masa itu sedikit
sangat orang Melayu yang ada kerja dan miskin pula. Orang Melayu yang bekerja
pada masa itu ialah kalangan pegawai kerajaan yang makan gaji. Kerajaan juga ada
memberi peluang untuk orang Melayu berniaga.
Sekarang siapa saja, sama ada dia anak orang kaya atau pegawai besar atau
pekerja rendah sama saja, masing-masing mempunyai peluang yang sama untuk
belajar.
Saya tengok mereka yang belajar di universiti dan yang sudah bekerja sekarang
bukan lagi anak-anak orang besar atau anak-anak raja macam saya, itulah kemajuan
yang kita dapat lihat sendiri.
Malaysia telah dianggap dan selalu disebut sebagai sebuah negara yang lebih
maju dari negara-negara yang sudah merdeka. Jadi adakah betul anggapan itu?
TUNKU: Ya, memang betul sungguh anggapan itu, mana ada negara yang boleh
dibandingkan dengan Malaysia? Bukan di rantau ini atau Asia Barat sahaja malah
dalam dunia. Singapura tidak boleh dibandingkan dengan kita kerana ia merupakan
sebuah “negeri bandar raya”.
Mencapai
Tidak pernah saya melihat negara yang maju seperti Malaysia semasa saya membuat
lawatan-lawatan ke luar negeri. Cuba saudara tanya mana-mana orang Cina
sekalipun yang pernah ke luar negara sama ada untuk makan angin atau sebagainya,
tanya mereka negara manakah yang telah mencapai kemerdekaan yang lebih maju
daripada negara kita.
Kalau kita tengok negeri-negeri di benua Afrika, lemah segala badan kita
dibuatnya. Kesusahan dan penderitaan rakyat di negara-negara itu hanya Allah
s.w.t. saja yang tahu. Kita lihat sahaja orang Islam yang terpaksa lari dari
negara mereka.
Betapa deritanya mereka. Saya tahu perkara ini semua kerana saya sendiri yang
bela pelarian Kampuchea. Siapa pun tidak ambil tahu, cuba kita dengar cerita
penderitaan mereka. Mendengar sahaja sudah tidak tertahan.
Sekarang saya sedang cuba hendak mengambil kira-kira 20,000 orang Islam dari
Vietnam. Sebab itulah sekarang saya masih lagi mengambil berat terhadap kerajaan,
agama dan perkembangan politik dalam negara. Seboleh-bolehnya saya hendak
memelihara keamanan dan kesenangan yang dinikmati oleh rakyat dan negara ini.
Bagaimana soal Singapura?
TUNKU: Soal Singapura, saya yang bagi kemerdekaan kepada negara itu
bukannya orang lain, saya menghadapi berbagai tentangan, kritikan mahupun
daripada kawan atau lawan kerana itu. Tetapi saya tahu kalau kita tidak lepas
Singapura sudah tentu akan berlaku perkara yang tidak diingini. Jadi apabila ia
diberi kemerdekaan keluar dari Malaysia, Singapura menjalankan halnya dan negara
kita dengan urusannya, ramai orang kata saya penakut.
Bagaimana pula dengan perkembangan kepimpinan terutama dalam UMNO?
TUNKU: Masa Datuk Onn Jaafar meninggalkan UMNO dulu tidak ada siapa pun
yang mahu pegang jawatan ketua UMNO itu. Jawatan itu ditawarkan pula kepada
ahli-ahli UMNO lain tetapi seorang pun tidak mahu menerimanya kecuali Tun Sardon
Jubir (bekas Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang) dulu.
Tetapi mereka minta saya jadi ketuanya. Saya kata tidak mengapalah saya boleh
jadi ketua UMNO. Pendek kata tidak ada siapa yang mahu jadi ketua pada masa itu.
Semuanya menyuruh saya. Tetapi selepas saya berhenti memegang jawatan itu ramai
pula yang hendak berebut tempat itu hingga sekarang. Ini menunjukkan
perkembangan dan kejayaan kepimpinan semasa saya jadi ketua.
Bagaimana pula dengan kedudukan raja- raja Melayu?
TUNKU: Kedudukan raja-raja Melayu kita dalam negara memang tidak ada
tolok bandingnya dengan raja-raja di lain-lain negara mereka.
Apakah pandangan Tunku terhadap masa depan negara?
TUNKU: Itu serah kepada Allah s.w.t., tidak ada siapa pun yang pandai dan
boleh meramalkan masa depan mereka. Cuma apa yang dapat kita lihat sekarang
negara berada dalam selamat.
Rakyat dapat hidup bersama dengan baik. Alhamdulillah... anak cucu cicit kita
dapatlah hidup aman sikit, tetapi apa yang akan terjadi pada negara hanya Allah
s.w.t. saja yang tahu.
Bagaimanapun kalau kita ini jujur, baik hati dan sentiasa berikhtiar mencari
kebahagiaan Tuhan akan selamatkan kita, sebab itu saya tidak bimbang. Saya
percaya sangat kepada kuasa Allah s.w.t.
Apakah sikap yang perlu ada pada rakyat untuk mencapai kemajuan negara dengan
keadaan yang ada sekarang?
TUNKU: Selain daripada yang telah dibuat oleh kerajaan, kita sendiri
mesti tumpukan usaha untuk memajukan negara, bangsa, keluarga dan diri sendiri.
Rebutlah segala peluang yang disediakan kerajaan.
Adakah rakyat Malaysia akan mencapai tahap bangsa yang boleh dimegah dan
dihormati oleh orang lain seperti yang diidamkan oleh Datuk Seri Dr. Mahathir?
TUNKU: Ya, sekarang pun kalau kita pergi mana-mana negara seperti negara
Arab bila disebut saja dari Malaysia, mereka terus memuliakan kita, mereka akan
layan kita dengan baik dan penuh hormat.
Apa nasihat Tunku kepada rakyat Malaysia sempena sambutan Jubli Perak
kemerdekaan negara?
TUNKU: Saya berharap rakyat berbilang kaum dapat hidup dan berbaik-baik
antara satu sama lain. Letakkan taat setia kita kepada negara. Baik buruk pun,
Malaysia tetap negara kita.
Tidak ada tempat lagi yang kita hendak pergi kerana ini sajalah tanah air kita.
Jadi kita harus bersatu padu.
Berdoalah kepada Allah s.w.t. supaya dilimpah kurnia-Nya harapan kita untuk
hidup dan berada dalam keadaan selamat selama-lamanya.
|