|
Contributed by the National Young Lawyers
Committee
“Jangan tersalah memilih cara hidup”
Siri Personaliti Peguam Muda diteruskan dengan temuduga bersama Nasdrul Umur Bin
Shamsulhuda yang beramal di Kota Bahru, Kelantan. Lebih dikenali sebagai ‘Mat Yo’
di kalangan rakan-rakannya, beliau dilahirkan di Kota Bharu, anak sulung dari
lima beradik, telah berkahwin, dan sangat aktif dalam kegiatan peguam muda
terutamanya sukan bolasepak dan futsal. Beliau berbual dengan Rezalman Bahran
baru-baru ini.
Mat Yo, boleh ceritakan kenapa terlibat dengan NYLC dan apakah bentuk
sumbangan yang dapat diberikan kepada NYLC.
Sebagai satu pendedahan kepada diri saya berkenaan hubungan atau gerak kerja
berkumpulan dalam satu persatuan yang besar dan yang melibatkan ramai ahli
dengan pelbagai buah pendapat. Sumbangan yang boleh diberikan adalah untuk
sama-sama berusaha memberikan kesedaran kepada peguam-peguam muda terutamanya di
Kelantan supaya bergiat aktif dan peka terhadap agenda dan halatuju Majlis
Peguam serta sama-sama bergiat aktif berpersatuan.
Merujuk kepada isu 50% ekuiti bumiputera untuk layak menjadi panel peguam
sebuah institusi kewangan baru-baru ini, apa pendapat anda?
Bagi saya, adalah menjadi hak mutlak pihak ‘assignor’ seperti bank, pemaju,
syarikat korporat, mana-mana pertubuhan atau mana-mana individu - sebagai
penyumbang penting dalam bidang kepeguaman - untuk memilih dan menentukan
syarat-syarat atau kriteria peguam yang akan dilantik olehnya. Tambahan pula,
jika isu ‘keistimewaan bumiputera’ dipertikaikan, maka kenapa harus ada dan
telah wujud sekian lama selepas merdeka ‘keistimewaan’ tersebut? Sebagai
contohnya tanah rezab Melayu dan sebagainya?
Apa pula komen anda berkenaan gesaan pihak-pihak tertentu termasuk Kerajaan
supaya institusi kewangan tersebut melupuskan syarat tersebut.
Semua pihak hendaklah menghormati keputusan institusi kewangan tersebut kerana
merekalah yang akan menerima akibat dan kesan kepada keputusan yang telah dibuat
mereka sendiri. Adalah juga tidak wajar bagi mana-mana pihak di luar dari
institusi kewangan tersebut untuk campurtangan dalam hal ehwal dalaman sesebuah
institusi. Pandangan boleh diberikan tetapi pada akhirnya pihak institusi
tersebutlah yang perlu membuat keputusan. Analogi mudah, orang lain tidak boleh
menentukan apakah yang hendak kita makan hari ini, namun pandangan berkenaan
khasiat, tempat, harga, rasa dan sebagainya boleh diambil untuk kita timbangkan
sebelum membuat keputusan.
Adakah bidang kepeguaman di Malaysia pada masa ini bersedia untuk menerima
globalisasi dan kemasukan peguam-peguam dari luar?
Sudah pastinya tidak.
Apakah cabaran terbesar sebagai ‘junior partner’ dan peguam di Kota
Bharu, Kelantan?
Sebagai peguam muda yang baru memulakan hidup dan orang baru dalam bidang
perniagaan di bandar kecil Kota Bharu, cabaran terberat adalah untuk menembusi
pasaran kepeguaman yang telah tepu dan juga menangani persaingan dengan
peguam-peguam yang telah lama bertapak serta peguam-peguam baru yang tumbuh
bagai cendawan.
Pada pendapat anda, adakah cabaran dan tekanan ini yang telah menyebabkan
sebilangan peguam melakukan pecah amanah?
Saya berpendapat cabaran dan tekanan tersebut tidak akan menyebabkan
seseorang peguam melakukan pecah amanah kerana ia adalah lumrah dalam dunia
perniagaan tetapi sebaliknya ia lebih kepada tekanan luaran apabila telah
tersalah memilih cara hidup. Contohnya, kita selalu disogokkan dengan fakta
bahawa bidang kepeguaman memberikan pulangan kewangan yang lumayan. Namun
hakikat sebenarnya pulangan tersebut adalah hasil dari usaha keras dan jimat
cermat serta bukannya datang bergolek; justeru, peguam yang terpedaya akan
tersalah memilih cara hidup dengan memilih untuk hidup di luar kemampuan sendiri
dengan bermewah dan bergaya. Apabila telah tersepit maka mereka akan terdesak
dan akan melakukan apa-apa sahaja untuk melepaskan diri.
Berdasarkan contoh tersebut, adakah benar tuduhan atau cakap-cakap bahawa
mereka yang melakukan pecah amanah adalah kebanyakan peguam muda sehinggakan
terdapat cadangan untuk mengetatkan lagi peraturan untuk menubuhkan sesebuah
firma baru termasuk memantau firma-firma guaman yang baru dibuka?
Cakap-cakap sebegitu adalah tanpa asas dan fakta yang kukuh, sesiapapun yang
telah tersalah memilih cara hidup yang salah tersebut berkemungkinan untuk
melakukan pecah amanah baik peguam muda mahupun peguam ‘senior’. Saya tidak
bersetuju apabila dikatakan hanya peguam muda yang terlibat dengan pecah amanah
tersebut. Mana-mana orang dalam bidang profesional yang lain pun yang telah
tersilap memilih cara hidup tersebut dan kemudiannya tidak mampu untuk berada di
tahap tersebut dan terdesak akan berbuat apa sahaja untuk melepaskan diri
termasuklah melakukan pecah amanah.
Apakah kesan kenaikan gaji kakitangan Kerajaan kepada bidang kepeguaman?
Ia akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh dan dengan kuasa
membeli yang lebih besar akan meningkatkan lagi pergerakan tunai di pasaran. Ini
secara automatik akan meningkatkan lagi pelaburan dan peluang perniagaan di
bidang kepeguaman dan ini juga akan mengurangkan jumlah anakguam yang enggan
membayar fi guaman.
Jawatankuasa Peguam Muda Negeri Kelantan (JPMNK) - apakah pelan dan harapan
anda?
Sebagai sebuah jawatankuasa paling ramai ahli di sebuah bandar kecil, harapan
saya adalah semoga suasana amalan kepeguaman harmoni dan hubungan baik yang
telah sedia terbina di kalangan pengamal-pengamal undang-undang dapat diteruskan
dan dikekalkan. Pelan saya adalah untuk meningkatkan interaksi dan hubungan
antara peguam-peguam muda Kelantan dan negeri-negeri lain bagi mengembangkan
pengetahuan, pengalaman dan untuk membawa JPMNK ke satu tahap lagi iaitu memberi
khidmat dan impak kepada masyarakat supaya lebih celik undang-undang.
Sebagai ahli peguam di Kelantan dan wakil Kelantan ke NYLC di Majlis Peguam,
apakah pandangan anda berkenaan penglibatan seseorang peguam dalam aktiviti Bar?
Saya cukup menghargai dan menghormati sumbangan yang diberikan oleh ahli-ahli
melalui penglibatan dalam aktiviti Bar samada menyertai atau menganjurkan yang
mana tentunya ada pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit tanpa mengharapkan
balasan material. Kesemua yang terlibat tersebut adalah pihak yang ingin menjadi
sebahagian dari agen penambahbaikan dan untuk kemajuan semua pengamal-pengamal
undang-undang di Malaysia.
Adakah ada apa-apa pesanan lain yang ingin disampaikan?
Sebagai satu komuniti pengamal undang-undang yang faham sepenuhnya berkenaan
undang-undang - marilah sama-sama menggunakan kemahiran yang ada untuk menangani
apa jua isu dalam negara kita untuk kebaikan bersama secara kolektif dan bersatu
dengan syarat suara-suara dan pandangan-pandangan dari semua peringkat hendaklah
diambil atau didengar dan ditimbang terlebih dahulu. Pengamal-pengamal
undang-undang juga adalah satu elemen penting dalam sistem ‘check and balance’
untuk kestabilan dan halatuju negara yang tercinta, justeru tanggungjawab yang
dipikul adalah sangat berat sebenarnya. Jika kita leka maka kepincangan, rasuah
atau salahguna kuasa dan sebagainya akan berlaku dan ini akan memberi kesan yang
amat buruk.
Other YL Personalities:
Elaine Daly
Devkumar
Kumaraendran
Sandesh Kabir
Singh
Edelina Sophia
Binti Sophian Pulle
Mohd Busyairy
Bin Che Muda
Wong Fook Meng
Fadiah Nadwa
Fikri
Lee Chooi Peng
Angeline Cheah
Yin Leng
Mishant a/l
Thiruchelvam
Shahrizal Bin
Mohd Zin
Rezalman B.
Bahran
Gavin Tang Cheng
Loong
Noreen Ahmad
Ariff
Nadia Ashikin
binti Maduarin
David Dinesh
Mathew
Nizam Bashir
Bin Abdul Kariem Bashir
Amer Hamzah
Bin Arshad
Ernie
Suffiani Binti Salim
Ahmad Syukri
Bin Yusoff
Dipendra
Harshad Rai
Soo Wee Loon
Tracy Hah
Aminuddin bin
Abdullah
|