website statistics
feed
Home arrow About Us arrow Committees arrow National Young Lawyers arrow YL Personality: Noreen Ahmad Ariff
Advertisement
YL Personality: Noreen Ahmad Ariff PDF Print E-mail
Thursday, 28 December 2006 08:01am

Noreen Ahmad Ariff “Dialog keagamaan bertujuan untuk menggalakkan interaksi untuk memupuk toleransi dan saling hormat-menghormati”

Contributed by the National Young Lawyers Committee

Noreen Ahmad Ariff memperolehi Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya dan telah didaftaraikan sebagai peguambela dan peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya pada tahun 2003.

Beliau baru sahaja berpindah dari Johor Bahru dan kini mengamal undang-undang di Kuala Lumpur. Peguam muda ini telah berkongsi pendapat beliau dengan Dara Waheda Binti Mohd Rufin baru-baru ini.

Bolehkah anda ceritakan serba sedikit bagaimanakah timbulnya minat untuk menceburkan diri dalam bidang guaman?

Sejak kecil lagi saya gemar membaca buku-buku karya Charles Dickens di mana ada di antara karya-karyanya yang diselitkan satu karektor peguam. Karektor peguam di dalam novel-novelnya seperti “Bleak House” dan “Great Expectations” menceritakan tentang profesion ini dalam pelbagai perspektif.

Misalnya, watak peguam dalam “Great Expectations” iaitu Mr Jaggers adalah seorang peguam yang banyak berurusan dengan penjenayah tetapi beliau tidak pernah sekalipun membiarkan dirinya dipengaruhi oleh mereka.

Walau bagaimanapun, novel yang telah membuat saya benar-benar tertarik untuk menjadi seorang peguam adalah “To Kill a Mockingbird” karya Harper Lee. Saya amat menyukai tema yang diketengahkan oleh novel ini iaitu mengenai sikap prejudis yang wujud antara orang kulit putih dan orang kulit hitam, dewasa dengan kanak-kanak, si waras dan kurang siuman juga antara orang yang tenang dengan pemabuk. Saya tertarik dengan babak dalam mahkamah dan petikan kata-kata di dalam novel ini contohnya;

“The one place where a man ought to get a square deal is in a courtroom, be he any color of the rainbow, a Rockefellar or a pauper, a genius or a dunce….”

Ironisnya, mahkamah di dalam novel ini gagal memartabatkan keadilan dan undang-undang kerana sikap perkauman yang sangat tebal. Saya amat mengagumi watak hero dalam novel ini yang sanggup menggadaikan reputasi dan keselamatannya untuk membela si miskin iaitu seorang hamba berkulit hitam yang dituduh merogol seorang wanita kulit putih. Saya membaca novel ini semasa berusia 17 tahun dan pada waktu itu, saya mahu menjadi seorang peguam seperti watak novel ini iaitu Atticus Finch.

Setelah beberapa tahun mengamal undang-undang, apakah pengalaman-pengalaman yang telah anda perolehi?

3 tahun adalah suatu tempoh yang cukup singkat untuk menempuh pelbagai pengalaman tetapi semasa mengamal undang-undang dalam bidang litigasi di firma terdahulu, saya telah menempuhi pelbagai pengalaman dan yang paling kerap ialah bertemu dengan pelbagai ragam manusia.

Pengalaman mengajar saya bagaimana hendak menangani sikap manusia yang terdesak kerana dibelenggu masalah dan beban hutang, sikap hakim dan rakan peguam yang kadangkala sukar diramal.

Adakalanya saya terpaksa berdepan anakguam yang gemar memperlekehkan kemampuan saya kerana saya masih muda dan sifat saya yang pendiam. Saya juga terpaksa menahan diri saya dari cepat tertekan atau mudah kesian dengan anakguam atau rakan peguam yang menjadi lawan saya.

Setiap kali saya melalui situasi sebegini, saya akan selalu ingat pada nasihat mentor saya di firma terdahulu; “If you have something to say, just say it, don’t be afraid or hesitant, just be confident” dan “Jangan cepat kasihankan orang”. Dan setiap kali kami mengendalikan kes beliau akan memberitahu saya, “I’m going to keep quiet, you will have to do all the talking”. Lama kelamaan saya jadi lebih berani untuk berdepan dengan karenah manusia.

Setelah melalui pengalaman-pengalaman tersebut sekiranya diberikan peluang untuk mengembalikan masa silam adakah bidang ini masih menjadi pilihan anda?

Ya. Saya masih mahu menjadi seorang peguam tetapi jika diberi peluang untuk menjadi seorang DJ radio atau pengacara untuk rancangan berkaitan pelancongan saya pasti tidak akan menolak (sambil ketawa).

Saya sebenarnya teringin untuk menerbitkan sebuah buku yang mengumpulkan puisi-puisi nukilan saya tetapi siapalah yang mahu membaca dan membeli karya-karya tersebut. Jika anda mahu membacanya, rujuk blog saya, “Purple Submarine” (sambil ketawa).

Selain daripada penghormatan yang diberikan oleh masyarakat terhadap profesion ini, terdapat juga stigma mengenai peguam-peguam bahawa “peguam adalah penipu yang berlesen”. Pada pandangan anda, jika anda diberikan kuasa untuk mengubah sesuatu, apakah yang akan anda lakukan untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa stigma tersebut hanyalah omongan kosong belaka?

Saya bersimpati dengan mereka yang pernah ditipu oleh mana-mana peguam. Saya tidak hairan jika ia pernah berlaku tetapi kita semua tahu bukan semua peguam adalah penipu. Oleh itu, stigma “peguam adalah penipu yang berlesen” tidak harus menjadi mantra yang sentiasa dilaungkan masyarakat.

Adakalanya anakguam kurang faham tentang tugas peguam atau mengapa peguam tersebut mengenakan bil yang tinggi dan sebagainya. Kadang-kadang pendapat peguam berlainan dari orang biasa kerana peguam melandaskan pendapatnya dengan fakta dan undang-undang, bukannya dengan mengikut kata hati semata-mata.

Saya juga merasakan bil guaman tidak harus menjadi isu kerana saya pasti peguam tersebut tahu apa yang mereka lakukan tetapi dalam masa yang sama peguam juga harus melaksanakan budi-bicara dengan tidak mengenakan kos guaman yang tidak munasabah sehingga membebankan anakguam.
Penyelesaian paling mudah untuk membersihkan imej peguam dari label “penipu berlesen” ini terletak pada peguam itu sendiri. Sekiranya semua peguam menjalankan tugasnya dengan baik, jujur dan ikhlas lama-kelamaan saya pasti tanggapan ini hanya akan tinggal tanggapan dan masyarakat akan pasti menarik semula label hodoh tersebut dari profesion ini.

Baru-baru ini, seorang peguam telah menerima ugutan bunuh akibat kelantangan beliau mempertahankan hak asasi dan pegangan Majlis Peguam yang mana bertentangan dengan pendirian dan kefahaman sesetengah pihak khususnya dalam isu murtad.

Ini adalah salah satu contoh kegagalan masyarakat dalam memahami tugas seorang peguam. Pada saya, peguam tersebut hanyalah melaksanakan tugasnya. Jika kita berbicara tentang peguam yang sama, saya percaya kes yang beliau kendalikan berkaitrapat dengan isu undang-undang perlembagaan mengenai kebebasan beragama.

Oleh kerana peguam juga adalah pemelihara Perlembagaan, saya tidak faham mengapa beliau harus dikutuk kerana melaksanakan apa yang benar. Kes tersebut berkaitan dengan Perlembagaan dan beliau adalah seorang yang arif dalam bidang undang-undang berkenaan; jadi mengapakah beliau dipandang rendah semata-mata isu itu mungkin tidak sah di sisi agama. Saya teringat kepada petikan dialog dari filem Godfather, “It’s business Sonny, nothing personal.

Kes-kes murtad seperti Moorthi, Nyonya Tahir dan Rayappan mendapat perhatian meluas di dada akhbar dan mendapat banyak kritikan daripada pelbagai pihak sehingga ada yang berpendapat bahawa Jabatan Agama Islam hanya berminat memelihara jenazah daripada iman umat Islam yang masih hidup. Seterusnya cadangan penubuhan “Interfaith Commission (IFC)” yang mendapat tentangan dari ramai Muslim. Adakah banyak lagi persoalan berkaitan kepercayaan dan agama yang mengganggu kehormanian negara?

Saya ada beberapa pandangan tentang perkara ini.

Pertamanya, isu murtad tidak sepatutnya dipandang ringan oleh kerajaan. Suka atau tidak, akan ada lebih banyak kes seperti ini pada masa akan datang.

Tetapi saya hairan mengapa Jabatan Agama Islam hanya mengambil berat tentang pengebumian dan tidak ketika semasa si mati masih hidup? Saya juga tertanya-tanya bagaimanakah kehidupan para mualaf ini selepas memeluk Islam. Adakah terdapatnya usaha untuk melihat sama ada mereka bersedia dari segi emosi dan mental sebelum memeluk Islam kerana bagi saya memeluk atau keluar dari sesuatu agama bukanlah semudah yang difikirkan. Ia perlu dilakukan dengan alasan yang kukuh dan dalam keadaan sedar.

Saya juga tidak setuju dengan mana-mana pihak yang memeluk Islam sebagai usaha untuk lari dari alimoni, untuk mendapat hak penjagaan anak, untuk berkahwin lebih daripada satu, tujuan perniagaan atau semata-mata kerana cinta. Malah saya juga amat tidak bersetuju dengan mana-mana pihak yang memeluk Islam kerana cinta tanpa sebarang usaha dari pasangannya untuk membantu dan menyokong peralihan dari bukan Muslim kepada Muslim.

Keduanya, melihat apa yang berlaku sekarang ini, di mana cadangan untuk menubuhkan IFC ditentang oleh pelbagai pihak, saya rasa niat ini harus dihentikan dahulu sehingga masyarakat kita menjadi lebih terbuka. JIka ia diteruskan pada waktu ini, saya khuatir akan berlaku lebih banyak masalah dari penyelesaian. Pada waktu ini, orang awam nampaknya gusar dengan penubuhan IFC yang dilihat seolah-olah satu usaha menggalakkan murtad di kalangan Muslim dan meluaskan kebebasan beragama di bawah Artikel 11 Perlembagaan.

Perkara ini sangat menyedihkan, kerana kebanyakan dialog keagamaan bukan hanya melibatkan agama Islam tetapi agama-agama lain juga. Lagipun, jika masyarakat membuat sedikit pembacaan dan kajian, mereka akan dapat memahami bahawa dialog antara agama adalah bertujuan untuk menggalakkan interaksi antara individu atau institusi yang berlainan agama dan tradisi dengan harapan dapat memupuk toleransi dan saling hormat-menghormati.

Sikap prejudis tentang agama lain berlaku kerana kurangnya persefahaman antara suatu sama lain. Kurangnya persefahaman ini mungkin berlaku kerana kurang interaksi antara suatu penganut agama dengan agama lain ataupun mereka bercampur tetapi tidak bercakap mengenai agama. Sikap masyarakat yang adakalanya melihat isu agama sambil lewa juga turut memainkan peranan.

Contohnya dalam soalan pemelukan agama, ada yang menukar agama seperti menukar baju, masalah timbul bila mereka meninggal dunia. Akhirnya yang susah adalah waris-waris mereka. Prejudis tentang agama juga mungkin berlaku kerana dipengaruhi dengan sejarah, budaya dan idealogi politik.

Oleh demikian, sekiranya IFC ditubuhkan, ia haruslah diterajui oleh individu-individu yang pakar. Pakar-pakar ini juga mestilah terdiri dari mereka yang adil, berkaliber, dan tidak ada kepentingan politik, barulah masyarakat akan menerima dan menghargai badan seperti ini. Dalam kata lain yang lebih mudah, “the person must be an expert who knows what they are talking about and able to satisfy all”.

Ketiganya ialah imej yang menakutkan tentang Islam yang sering dipropagandakan oleh sesetengah pihak. Terdapat satu propaganda yang terkenal bahawa Nabi Muhammad menyebarkan Islam dengan sebelah tangan memegang Al-Quran dan sebelah lagi memegang pedang. Bayangkan jika anda seorang yang tidak pernah bertemu seorang Muslim dan tiba-tiba mendengar propaganda sebegini tentu akan membuatkan anda berasa takut.

Satu perkara yang dapat dilihat dengan jelas di kalangan umat Islam terutamanya para ulamak adalah mereka gemar “Berdakwah Dengan Hukuman” dan taksub dengan perkara yang remeh temeh. Tentunya sesiapa sahaja tidak kira umat Islam atau tidak, akan takut sekiranya mereka terus-terusan diberitahu di dalam Islam, sekiranya anda tidak melakukan sesuatu tuntutan agama anda akan dihukum dan diseksa di neraka tanpa mengira bahawa anda adalah seorang yang baik atau tidak.

Misalan yang terbaik yang boleh membuat orang takut dengan Islam adalah kes dakwaan khalwat terhadap pasangan rakyat Amerika yang menunjukkan kepincangan pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam.

Walaupun begitu, sejak kebelakangan ini, terdapat pendapat-pendapat seperti dari Mufti Perlis yang cuba menonjolkan agama Islam secara suatu agama yang “tidak menakutkan”.

Saya bersetuju dengan pendapat Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang mana beliau telah menyarankan Jabatan Agama setiap negeri mengeluarkan garispanduan mengenai serbuan khalwat. Serbuan dan tangkapan tidak harus dilakukan dengan cara yang memalukan pasangan yang disyaki berkhalwat itu. Islam melarang kita mengaibkan dan memfitnah orang lain kerana khuatir kita pula akan diaibkan. Ini terjadi kepada penguatkuasa Jabatan Agama Islam di dalam kes khalwat pasangan rakyat Amerika tersebut. Akhirnya Jabatan Agama Islam sendiri yang malu.

Jadi, bagaimanakah caranya bagi Muslim untuk meyakinkan orang-orang bukan Muslim bahawa umat Islam adalah umat yang penuh dengan kasih sayang? Saya rasa setiap Muslim perlu memainkan peranan membuktikan bahawa Muslim secara majoritinya adalah suka bertolak ansur serta faham-memahami sedangkan bilangan mereka yang bersikap melampau adalah sangat kecil.

Kita juga memerlukan lebih ramai ulama seperti Mufti Perlis. Saya berharap ulama seperti Dr Asri yang akan sanggup membawa perubahan kepada imej Islam yang lebih baik dari sekarang.

Terdapat beberapa surat-surat layang yang telah ditemui baru-baru ini berkenaan ahli-ahli Majlis Peguam. Apakah pendapat anda tentang surat layang dan apakah yang patut kita lakukan terhadap penulis-penulis surat layang ini?

Pertama sekali, kita hendaklah mengkaji mengapa perkara seperti ini berlaku. Perkara seperti mungkin tidak akan berlaku jika saluran yang tepat dan berkesan disediakan untuk orang-orang seperti ini meluahkan perasaan mereka yang terpendam. Mungkin, dan mungkin sahaja jika ada saluran yang berkesan, mereka yang terlibat dalam surat layang sudah pasti dapat menyuarakan perasaan mereka dalam cara yang baik dan bertamadun.

Walau bagaimanapun, daripada kita membuang masa mencari dalang disebalik sesuatu surat layang itu, adalah lebih baik kita menumpukan perhatian kepada kandungan dan mesej dalam surat berkenaan supaya pihak-pihak yang didakwa dapat mencuba memperbaiki keadaan. Adalah menjadi satu peringatan kepada semua orang bahawa tiada sesiapa pun yang boleh terlepas dari undang-undang atau boleh merasa puas hati dengan apa yang mereka ada pada masa kini.

Tetapi saya juga berpendapat bahawa sesuatu tindakan perlu di ambil terhadap penulis surat-surat layang yang dengan sengaja menulis dengan tujuan untuk membangkitkan kemarahan, perpecahan atau untuk menjayakan agenda peribadi mereka.

Walau bagaimanapun saya kurang pasti apakah kaedah atau hukuman terbaik bagi mengurangkan “minat” masyarakat terhadap penulisan surat layang. Walau apapun surat layang tidak sepatutnya digalakkan.

Apakan pandangan anda berkenaan Majlis Peguam tahun ini?

Yang paling penting - sama ada ahli jawatankuasa Majlis Peguam atau ahli biasa – kita harus bersatu dan berpegang kepada prinsip bahawa “what they are doing in the Bar Council is a service to all members of the Bar and not just to service themselves”.

Kesempurnaan sesuatu sistem itu bergantung kepada sikap orang yang melaksanakan sistem tersebut.

Akhir sekali, pada ketika ini, adakah anda rasa selesa dan seronok menjadi seorang peguam?

Sepanjang menjadi peguam saya dapati ada hari-hari malang dan hari-hari yang lebih malang (sambil ketawa). Secara keseluruhan, saya suka belajar perkara baru dan ada banyak perkara yang saya masih mahu belajar dalam bidang ini.

Pada saya, profesion ini tidaklah semudah yang disangka. Seorang peguam mempunyai banyak tanggungjawab dan harus bijak mengimbangi kehidupan profesional dan peribadi mereka.

Sama ada seronok dan selesa bagi saya untuk peguam muda banyak bergantung dengan bidang amalan guaman, mentor dan tempat anda bekerja. Sekiranya ketiga-tiga kriteria ini dapat anda tandakan dengan positif, anda akan suka dengan profesion ini. Sekiranya semuanya negatif, anda pasti akan mengalami trauma dan tidak mahu menjadi peguam lagi.

Semasa saya di Johor Bahru, beberapa rakan peguam saya telah meninggal dunia kerana serangan jantung. Sememangnya kita tidak boleh pilih bagaimana dan bila untuk mati tetapi selagi kita masih hidup, kita harus bijak memilih cara hidup yang sesuai untuk diri kita.

Saya mencadangkan peguam untuk menyertai gim dan bersenam di masa lapang, jika tiada masa sekalipun carilah masa. Anda tidak akan menyesal kerana anda akan dapat merasakan diri anda lebih sihat. Anda juga akan mampu melakukan aktiviti-aktiviti yang anda tidak sangka anda mampu lakukan.

Contohnya, baru-baru ini saya telah mencuba “whitewater rafting”, satu pengalaman yang sangat menyeronokkan dan mencabar minda dan ketahanan fizikal saya. Saya cadangkan rakan-rakan peguam juga mencuba aktiviti-aktiviti riadah seperti ini. Anda pasti tidak akan menyesal.


Other YL Personalities:

YL Personality: Noreen Ahmad Ariff
YL Personality: Nadia Ashikin binti Maduarin
YL Personality: David Dinesh Mathew
YL Personality: Nizam Bashir Bin Abdul Kariem Bashir
YL Personality: Amer Hamzah Bin Arshad
YL Personality: Ernie Suffiani Binti Salim
YL Personality: Ahmad Syukri Bin Yusoff
YL Personality: Dipendra Harshad Rai
YL Personality: Soo Wee Loon
YL Personality: Tracy Hah
YL Personality: Aminuddin bin Abdullah

Comments (1)Add Comment
Canggih
written by Kiang Jau Sang, Thursday, December 28 2006 11:00 am

Noreen,

Peguam muda yang bijak lagi menawan.

Sungguh tertarik apabila membaca luah hati saudari Noreen.

Bolehkah saudari membawa saya pergi gim ataupun "whitewater rafting" kerana saya meleleh membaca pengalaman saudari yang cukup pandai mengimbangi masa untuk "live the life".

Syabas. Jika sudi bolehlah bertukaran SMS melalui talian saya [Deleted by MBW] untuk membantu saya menambat "tummy" saya yang saban hari saban besar ini.

Sekian


Write comment
You must be logged in to a comment. Please register if you do not have an account yet.

busy
 
< Prev   Next >
Username Password
Remember Me | Register | Lost Password?

Q & A with Razak



View Full Calendar