|
©Utusan Malaysia
(Digunakan dengan kebenaran
Oleh Rozaman Ismail dan Habibah Omar
PUTRAJAYA 25 Sept. – Kerajaan menubuhkan sebuah panel khas bagi menyiasat
kesahihan rakaman video perbualan telefon kononnya antara seorang peguam
terkenal dengan seorang hakim kanan mengenai urusan pelantikan hakim.
Panel bebas itu dipengerusikan oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar
Mohd. Noor dan dianggotai Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara, Tan Sri Lee
Lam Thye serta bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan
penubuhan panel itu berkata, keputusan tersebut diambil memandangkan wujud
dakwaan dan spekulasi berhubung rakaman video itu yang boleh menimbulkan
keraguan terhadap kredibiliti dan integriti sistem kehakiman negara.
“Setelah berunding dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi,
kerajaan memutuskan untuk menubuhkan panel bebas khas bagi menyiasat kesahihan
rakaman video itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Sebuah parti politik pembangkang baru-baru ini mendedahkan satu rakaman video
yang kononnya menunjukkan seorang peguam kanan sedang berbual menerusi telefon
tentang usahanya membantu pelantikan beberapa hakim pada 2002.
Rakaman video selama lapan minit itu melibatkan peguam berkenaan membincangkan
kemungkinan hakim itu dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan kemudian
sebagai Ketua Hakim Negara selain pelantikan beberapa hakim lain.
Perdana Menteri sebelum ini menegaskan, kerajaan memandang serius isu klip video
itu kerana ia boleh menjejaskan nama baik sistem kehakiman negara dan polis akan
menyiasat bagi memastikan kesahihannya sebelum tindakan diambil.
Menurut Najib, panel khas itu akan memulakan tugasnya dalam waktu terdekat dan
akan menyediakan laporan terperinci secepat mungkin kepada kerajaan setelah
penyiasatan selesai.
Bagi tujuan itu, kata beliau, agensi-agensi yang berkaitan akan memberi
kerjasama dan sokongan sepenuhnya kepada panel berkenaan.
“Laporan panel ini dijangka diketahui dalam tempoh beberapa minggu dan akan
diumumkan kepada orang ramai,” katanya.
Menjawab satu soalan, Najib berkata, pada masa ini kerajaan tidak berhasrat
untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat perkara itu.
Ditanya mengapa Haidar, Lam Thye dan Mahadev dipilih menganggotai panel itu,
Najib memberitahu, beliau telah bercakap dengan ketiga-tiganya dan mereka
didapati sesuai untuk menganggotai panel berkenaan.
Anggota panel itu, kata Timbalan Perdana Menteri, akan menganalisis rakaman
video tersebut serta perkara-perkara yang berkaitan.
“Jika perlu, mereka boleh membuat keputusan untuk memanggil orang dalam rakaman
berkenaan,” katanya.
Mengenai perarakan peguam yang dirancang oleh Majlis Peguam dari Istana
Kehakiman ke Kompleks Perdana Putra di sini esok bagi menyerahkan memorandum
bantahan kepada Pejabat Perdana Menteri, Najib berkata, terpulang kepada Majlis
Peguam dan pihak berkuasa untuk mengadakan perarakan itu.
“Apa pun, polis boleh mengawal sebarang keadaan dan kita yakin polis mampu
mengawalnya,” kata beliau.
|