feed
Home arrow Committees arrow Constitutional Law Committee arrow Peri pentingnya proses pilihan raya
  • Malaysian Bar Web Ads
  • Malaysian Bar Web Ads
  • Malaysian Bar Web Ads
  • Malaysian Bar Web Ads
  • Malaysian Bar Web Ads
Peri pentingnya proses pilihan raya PDF Print E-mail
Tuesday, 23 November 2010 08:51am
Image ©The Malaysian Insider (Used by permission)
by Zulqarnain Lukman

22 NOV — Pilihan raya didefinisikan sebagai satu pemilihan umum yang diadakan untuk memilih wakil di Parlimen, Dewan Undangan Negeri dan sebagainya (Kamus Dewan Edisi Keempat). Perkataan ‘pilihan raya’ adalah tidak asing di kalangan rakyat Malaysia khususnya negara baharu sahaja menjalani dua proses pilihan raya kecil bagi memilih wakil rakyat baru setelah berlaku kekosongan luar jangka di DUN Galas, Kelantan dan Parlimen Batu Sapi, Sabah.

Semasa pembentukan Tanah Melayu yang merdeka, Suruhanjaya Reid telah ditugaskan untuk mendrafkan Perlembagaan Persekutuan, antara lain kandungannya adalah, untuk mencadangkan kewujudan sebuah negara persekutuan berasaskan sistem demokrasi berparlimen yang mempunyai dua peringkat badan penggubal undang-undang (bicameral legislature). Akhirnya, Perlembagaan Persekutuan telah mewujudkan Dewan Rakyat (House of Representative) dan Dewan Negara (Senate) untuk tujuan itu. Ahli-ahli Dewan Rakyat akan dipilih menerusi sistem pilihan raya yang perlu diadakan sekurang-kurangnya dalam tempoh 5 tahun dari tempoh terakhir Dewan Rakyat dibubarkan. Manakala, di peringkat negeri, Suruhanjaya Reid telah mengemukakan cadangan supaya ianya mempunyai satu badan penggubal undang-undang sahaja.

Apa yang nyata, Suruhanjaya Reid telah meyakini bahawa sistem pilihan raya di peringkat persekutuan adalah mekanisme terbaik untuk memilih pemimpin yang berwibawa bagi tujuan penggubalan undang-undang. Bahkan, sistem yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Reid ini sebenarnya telah diuji yang mana satu pilihan raya pertama telah diadakan pada tahun 1955. Sistem pilihan raya ini telah diyakini mampu untuk membawa Tanah Melayu pada ketika itu ke arah demokrasi yang sebenar yang mana melaluinya semua rakyat mampu memilih pemimpin sebagai suara mewakili mereka dalam menggubal perundangan negara.

Bahagian VIII Perlembagaan Persekutuan menjelaskan struktur sistem pilihan raya di Malaysia. Bahagian ini mempunyai 8 peruntukan asal dan 1 peruntukan tambahan iaitu Perkara 118A yang dimasukkan melalui pindaan perlembagaan pada tahun 1965. Antara peruntukan penting dalam bahagian ini adalah berkaitan penjalanan pilihan raya, penubuhan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) termasuk keanggotaan dan kuasa SPR, cara mencabar sesuatu pemilihan dalam pilihan raya dan   kelayakan pemilih. Selain dari Bahagian VIII, terdapat juga beberapa peruntukan lain yang berkaitan dengan pilihan raya ini seperti Perkara 54 yang menghendaki suatu pilihan raya diadakan dalam tempoh 60 hari jika berlaku kekosongan luar jangka dan Perkara 55(4) yang menghendaki suatu pilihan raya diadakan dalam tempoh 60 hari setelah Parlimen dibubarkan. Selain itu, beberapa akta dan peraturan lain juga telah digubal seperti Akta Pilihan Raya 1958, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Peraturan-Peraturan (Penjalanan Pilihan Raya) 1981, Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957 dan Peraturan-Peraturan (Pengundi Pos) 2003 untuk mengawal selia sistem pilihan raya di Malaysia.

Makalah ringkas ini ingin menekankan peri pentingnya sesuatu pilihan raya dan peranan institusi yang berhubungan dengan pilihan raya ini khususnya SPR di dalam Perlembagaan. Perlembagaan telah meletakkan SPR sebagai satu badan bebas yang tidak bertanggungjawab terhadap mana-mana pihak samada pihak kerajaan mahupun parti-parti politik. Perlantikan anggota-anggota SPR sendiri pun hanya boleh dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja. YDPA juga hendaklah semasa melantik anggota SPR itu mengambil perhatian tentang peri pentingnya bahawa SPR ini mendapat kepercayaan masyarakat awam. Tambahan lagi, anggota SPR ini tidak boleh dibuang sesuka hati dan proses untuk membuang mana-mana anggota ini sama sukar dengan proses membuang mana-mana hakim (Mahkamah Tinggi dan ke atas). SPR ini diibaratkan sebagai pengadil dalam pertarungan antara parti politik di dalam pilihan raya. Seseorang pengadil dalam suatu pertandingan harus bersikap berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana pemain. Jika pengadil telah berperanan untuk memenangkan pemain tertentu maka tentu sekali permainan itu hanya permainan suka-suka atau olok-olok sahaja. Atas sifat berkecuali itu, SPR diberikan amanah dan kuasa untuk memastikan penjalanan pilihan raya yang adil, bebas dan saksama. Selain itu, SPR juga diberikan kuasa untuk menyemak dan mendafttar pengundi, mengkaji persempadanan semula bahagian pilihan raya, menetapkan tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian setelah berlaku kekosongan kerusi atau pembubaran Parlimen.

Sesuatu pilihan raya yang adil dan bebas bukan sahaja mencerminkan kemahuan rakyat bahkan menjadi satu piawaian antarabangsa mengenai tahap keutuhan hak asasi manusia. Meskipun, hak untuk mengundi ini tidak dimasukkan dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan  (bab berkaitan hak asasi) namun hakikatnya hak mengundi ini juga adalah hak asasi seseorang warganegara dan perlembagaan memberikan secara nyata hak ini. Adalah menjadi satu kesalahan di sisi undang-undang untuk menyekat mana-mana pemilih berdaftar daripada mengundi calon pilihannya. Selain peruntukan yang nyata itu, hak ini juga selaras dengan Perkara 21 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 yang menyatakan bahawa kemahuan rakyat hendaklah menjadi asas kewibawaan kerajaan dan kemahuan ini hendaklah dibuktikan melalui pilihan raya berkala yang sejati yang mana hendaklah diadakan secara sejagat dan sama rata dan hendaklah diadakan secara undi sulit atau melalui acara pengundian bebas yang ketara.

Oleh itu tidak hairanlah jika kita melihat pilihan raya di Myanmar yang baru diadakan dalam tempoh 20 tahun pemerintahan junta tentera hanya menjadi bahan tertawa masyarakat antarabangsa kerana pilihan raya itu dilihat tidak telus dan hanya bersifat untuk menutup kelemahan pemerintahan junta tentera. Tambahan lagi, pihak pembangkang telah memboikot pilihan raya itu bila mana mereka dihalang untuk mengambil bahagian secara adil dan bebas dalam pillihan raya berkenaan. Kita juga melihat bagaimana kepercayaan umum terhadap Presiden Amerika, Barack Obama telah merosot dengan kekalahan parti Democrat kepada parti Republican dalam pilihan raya separuh penggal bagi kerusi Dewan Perwakilan dan hampir tewas dalam kerusi Senat. Ini membuktikan dasar yang diperkenalkan oleh Obama adalah tidak popular di kalangan pengundi.

Pada masa yang sama, jika diperhatikan, proses pilihan raya di Malaysia ini tidak banyak berubah. Meskipun, secara umumnya masyarakat memandang bahawa pilihan raya di Malaysia ini bebas (free) namun, proses tersebut masih lagi dianggap tidak adil (fair). Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) sendiri pernah menganjurkan satu perbincangan pada tahun 2007 berkaitan sistem pilihan raya di Malaysia dan kesimpulan yang diperolehi adalah bahawa beberapa aspek pilihan raya di Malaysia adalah tidak adil. Antaranya,

* semua parti bertanding tidak mendapat akses kepada media secara sama rata.

* hak untuk berhimpun khususnya kepada parti pembangkang terikat kepada sekatan yang tidak munasabah seperti kesukaran untuk mendapatkan permit polis.

* senarai daftar pemilih masih tidak dibersihkan daripada pengundi hantu.

* keperluan untuk pendaftaran sebagai pemilih secara otomatik bila mana mereka mencapai umur 21 tahun patut dilaksanakan.

* proses persempadanan semula yang tidak telus.

* tempoh berkempen yang terlalu pendek.

* keperluan mewujudkan kerajaan sementara (caretaker government).

* perlaksanaan undang-undang pilihan raya yang saksama dan adil.

* SPR perlu bebas dan berkecuali.

* pindaan perlu dibuat berkaitan kuasa Mahkamah untuk memutuskan petisyen pilihan raya secara adil tanpa terlalu terikat dengan prosedur.

* calon pilihan raya perlu lebih bertanggungjawab semasa berkempen dan mana-mana calon yang melanggar peraturan pilihan raya patut dibicarakan dan dihukum dalam kadar segera sebelum berlalu tempoh penggal pilihan raya itu.

Anehnya segala cadangan yang diberikan oleh SUHAKAM ini bagai mencurah air ke daun keladi. Pihak berkuasa hanya memandang sepi terhadap cadangan yang dikemukakan tanpa ada apa-apa inisiatif khusus untuk melaksanakannya. Pihak pembangkang masih terpaksa berhadapan dengan pihak ‘establishment’ di padang yang tidak sama rata. Peruntukan undang-undang masih belum dipinda. Sehingga kini, proses persempadanan semula yang sepatutnya dibuat dalam tahun 2010 ini juga tidak diketahui samada akan dibuat atau tidak. Penggunaan agensi rasmi kerajaan dalam membantu calon-calon tertentu juga tidak menjadi rahsia lagi. Bahkan, sebahagian pemimpin tanpa rasa segan dan malu menggunakan pentas pilihan raya sebagai tempat untuk mengumumkan projek yang bernilai ratusan juta ringgit.

Akhirnya, cadangan itu hanya tinggal di atas kertas sahaja sedangkan duit rakyat yang digunakan untuk membiayai SUHAKAM ini berjumlah kira-kira RM10 juta setahun (Laporan Tahunan 2009). Adakah rakyat memperolehi sebarang manfaat daripada perbelanjaan besar ini sekiranya segala cadangan yang dikemukakan tidak diberikan perhatian oleh pihak berwajib? Hanya anda selaku pengundi dan pemilih berdaftar mampu menjawab persoalan ini.

*Rencana di atas merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Majlis Peguam Malaysia. Penulis merupakan ahli Jawatankuasa Undang-Undang Perlembagaan, Majlis Peguam Malaysia yang pada masa ini sedang menganjurkan Kempen PerlembagaanKu. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang kempen ini, ikuti kami di www.perlembagaanku.com 

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

Comments (0)Add Comment

Write comment
You must be logged in to a comment. Please register if you do not have an account yet.

busy
 
< Prev   Next >
  • 2012 Bar Council Subscription
    Click the link above to download Circular 072/2012 pertaining to the 2012 Bar Council subscription, including the payment guide and a set of Frequently-Asked-Questions.
  • 2012 Sijil Annual Application Form
    Click the link above to download the 2012 Sijil Annual and Practising Certificate Application Forms.
  • Having difficulty in finding a lawyer?
    Need to find a lawyer to represent you? Just click on the link for the law firms' advertisements.
  • 2012 Hotel Corporate Rates
    Attending seminars? Going for a holiday? Click on the link above to check out the list of hotel corporate rates for Members of the Bar, which is updated regularly.
  • Bar Council Bookshop
    Read MORE … but pay LE$$! Members enjoy a 20% discount on LexisNexis publications at the Bar Council Bookshop. Click on the link above for the list of available titles.
International Malaysia Law Conference (26 to 28 Sept 2012)
Hurry up! The countdown continues and the current promotion rate ends 30 June 2012. Don't miss what is going to be the best conference in the region! On top of that, if you sign up with 5 or more people from the same organisation, we will give you a 10% group discount. Click on the link above to register.
Your Login


We have 75 guests online

Malaysian Bar blasts police violence

Bar council: Police brutality worst in Bersih 3.0



show last 4hrs - 24hrs
Google