Home
Committees
Constitutional Law Committee
Cinta bernilai lebih daripada RM20 juta
Committees
Constitutional Law Committee
Cinta bernilai lebih daripada RM20 juta | Cinta bernilai lebih daripada RM20 juta |
|
|
|
| Friday, 20 August 2010 09:59am | |
©The Malaysian Insider (Used by permission)by Yvonne Young Ai Peng (As published in The Malaysian Insider on 16 August 2010) 16 OGOS — Apabila dilihat sepintas lalu, berita tentang Pakatan Rakyat (PR) melancarkan Tabung Impian Rakyat (TIRAM) di mana RM20 juta telah diperuntukkan “bagi mempersiapkan diri mereka ke Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13” mungkin mendapat sambutan baik daripada rakyat yang mengalu-alukan perubahan. Namun demikian, timbul pula banyak persoalan tentang berita ini. Perasaan penuh harapan bercampur-aduk dengan berwaspada. Maklumlah rakyat telah berkali-kali dihampakan.
Apakah perbezaan antara perlancaran TIRAM dengan membayar APCO berjuta-juta ringgit? Apakah perbezaannya dengan melaungkan retorik slogan “1 Malaysia”? Tidak lama kemudian, berita dalam The Malaysian Insider pula memaparkan bahawa perlancaran TIRAM adalah untuk mendidik dan membangkitkan kesedaran di kalangan masyarakat tentang tanggungjawab mereka sebagai warganegara serta pengetahuan tentang Perlembagaan Persekutuan, pilihanraya dan pentadbiran yang baik. Sebenarnya langkah sedemikian untuk membangkitkan kesedaran rakyat tentang hak-hak dan tanggungjawab seperti yang tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan telah lama dimulakan oleh badan-badan seperti Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM) dan Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam (ConstiLC). Ia bukannya sesuatu yang tidak pernah dilakukan walaupun media melaporkan bahawa ia dibangkitkan pertama kali oleh Datuk Husam Musa yang juga merupakan pengerusi kepada tabung tersebut. Yang paling menghairankan saya ialah mengapa PR tidak boleh berkerjasama dengan badan-badan tersebut? Adakah ia perlu untuk menuntut bahawa TIRAM adalah hasil titik-peluh PR demi rakyat? Adakah ini satu lagi sandiwara politik semata-mata untuk memperolehi sokongan rakyat? Saya terkenang ketika ConstiLC dilahirkan pada 19 Jun 2009. Pertama kali dalam sejarah Majlis Peguam di mana sebuah jawatankuasanya membuka pintu kepada ahli-ahli bukan peguam. Majlis Peguam dengan murah hati memperuntukkan bajet permulaan sebanyak RM60,000.00 kepada ConstiLC untuk aktiviti-aktiviti setahun. Peruntukan ini merupakan sebahagian daripada sumbangan oleh ahli-ahli Badan Peguam iaitu peguam-peguam di Semenanjung Malaysia. Dengan semangat berkobar-kobar, ahli-ahli jawatankuasa ini mengorbankan masa serta kepentingan sendiri dan bekerjasama tidak mengira kaum mahupun status untuk menjayakan kempen “PerlembagaanKu/MyConstitution”. Video Pesanan Khidmat Rakyat dan Buku Panduan Rakyat adalah hasil titik-peluh ConstiLC. Mesej yang ConstiLC memaparkan kepada rakyat bukan sekadar laungan slogan yang menarik perhatian. Malah perlancaran pertama Kempen ini pada 13 November 2009 mendapat pujian dari pelbagai pihak. Setiap ahli jawatankuasa ini telah menunjukkan teladan kepada rakyat tentang maksud sebenar cinta kepada rakyat dan tanahair ini. ConstiLC telah membawa kesedaran bahawa sistem demokrasi dan pentadbiran yang tulus serta adil akan membawa kepada pembangunan negara. Pembangunan negara ini bukan dicapai dengan menghabiskan berbilion-bilion ringgit untuk mendirikan bangunan-bangunan mencakar langit yang indah. Bangunan-bangunan hanyalah hasil dari pembangunan. ConstiLC telah membawa kesedaran bahawa keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman adalah tiang-tiang keadilan. Bukannya bangunan yang digelar sebagai “Istana Kehakiman”. ConstiLC telah membuktikan bahawa kempen ini adalah kempen oleh semua lapisan masyarakat dengan membawa kempen ini ke merata-rata tempat di Kuala Lumpur, Perak, Sarawak, Johor, Kedah dan banyak lagi pada masa depan. Dari bandaraya sehingga ke perkampungan orang asli. Dari institusi-institusi pengajian tinggi sehingga ke gereja-gereja. ConstiLC bekerjasama dengan pihak kerajaan pusat, pihak kerjaan negeri, institusi-institusi pengajian dan badan-badan bukan kerajaan. Setakat ini, ahli-ahli ConstiLC berjaya melakukan kesemuanya itu bukan melalui tabung berjuta-juta ringgit. Kempen “PerlembagaanKu/MyConstitution” berjaya atas semangat ahli-ahlinya yang cinta kepada rakyat dan tanahair ini. Cinta yang bernilai lebih daripada RM20 juta. Pada pendapat saya, semangat ahli-ahli ConstiLC tidak ada bezanya dengan semangat wira-wira dahulu yang memperjuangkan kebebasan dan kemerdekaan negara ini. Saya percaya adalah harapan ConstiLC semoga PR benar-benar memahami keperluan rakyat dan mengunakan tabung tersebut dengan bijaksana demi kepentingan rakyat. Jikalau tidak, apakah perbezaan antara TIRAM dengan kempen “1 Malaysia”? Kami berharap setiap rakyat akan meneruskan perjuangan kami dengan merakyatkan Perlembagaan kerana Kempen ini adalah sebuah kempen oleh rakyat demi rakyat. * Rencana di atas merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Majlis Peguam Malaysia. Penulis juga merupakan ahli Jawatankuasa Undang-Undang Perlembagaan, Majlis Peguam Malaysia yang pada masa ini sedang menganjurkan Kempen PerlembagaanKu. * This is the personal opinion of the writer or the publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified. Set as favourite Share Email This Comments (0)
![]() Write comment
You must be logged in to a comment. Please register if you do not have an account yet.
|
| < Prev | Next > |
|---|









©
















