|
©Utusan Malaysia
(Digunakan dengan kebenaran)
Oleh Hata Wahari
• Pemuda BN ikrar taat setia kepada raja-raja Melayu
• Jangan percaya SMS
KUALA LUMPUR 12 Mei – Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh menegaskan,
walaupun 2,000 laporan polis dibuat terhadapnya, beliau akan terus berpegang
kepada kenyataan bahawa Sultan Perak tidak mempunyai bidang kuasa terhadap
pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury.
Ketika membahaskan usul terima kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada sidang
Dewan Rakyat hari ini, Karpal mendakwa laporan-laporan polis terhadapnya yang
kini mencecah 20 kes didalangi oleh UMNO.
“Saya tidak lakukan perbuatan melanggar undang-undang, tetapi ada 20 laporan
polis mengenai isu Sultan Perak. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad
Badawi sendiri mengarahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku
Mansor untuk membuat laporan polis.
“Apa kredibiliti Ahli Parlimen Putrajaya (Tengku Adnan) untuk buat laporan polis
terhadap saya?” katanya.
Tindakan Karpal yang menyentuh mengenai peribadi ahli Dewan Rakyat yang lain
ditegur oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ronald Kiandee di bawah
Peraturan Mesyuarat 36(9).
Ahli Parlimen veteran itu bagaimanapun mendakwa isu tersebut penting disebut
kerana terdapat 20 laporan polis dibuat terhadapnya yang merupakan satu sejarah
di Malaysia.
“Saya tidak mempersoalkan atau mencabar kedudukan Sultan Perak sebagai Ketua
Agama Islam di Perak tetapi baginda tidak ada kuasa dalam hal untuk menarik
balik pertukaran seseorang pegawai kerajaan,” katanya.
Karpal mempertikaikan mengapa beliau dituduh derhaka oleh sesetengah pihak
sedangkan para pemimpin UMNO pada tahun 1993 membuat pindaan Perlembagaan
Persekutuan dengan mewujudkan mahkamah khas dan menjadikan sultan sama taraf
dengan rakyat.
Tindakan Karpal yang menyentuh sifat dan peribadi Yang di-Pertuan Agong dan
Raja-Raja Melayu dalam perbahasannya menyebabkan Razali Ibrahim (BN-Muar) bangun
mencelah menggunakan Peraturan Mesyuarat 36, 37 dan 38.
Menurut Razali, isu yang dibangkitkan oleh Karpal itu perlu dihentikan
memandangkan jika seseorang ahli Dewan Rakyat hendak membahaskan mengenai Raja-
Raja Melayu ia perlu dibuat melalui satu usul khas.
Bantahan Razali itu dipersetujui oleh Ronald yang mengarahkan Karpal agar tidak
membangkitkan isu Yang di-Pertuan Agong dan Raja- Raja Melayu kerana ia
bercanggah dengan peraturan Parlimen.
Namun, Karpal tidak mengendahkannya dan terus memperkatakan perkara itu sehingga
Razali terpaksa bangun sekali lagi menggunakan peraturan mesyuarat yang sama.
Akhirnya Karpal akur dengan keputusan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, dalam ucapannya selepas itu beliau menyentuh pula mengenai
pelantikan Menteri Besar Terengganu dan Perlis yang ditentang oleh UMNO tetapi
tiada tindakan untuk menuduh para pemimpin UMNO derhaka terhadap Raja-Raja
Melayu.
“Mengapa ada double standard, mengapa saya menjadi mangsa?'' tegasnya.
Sehubungan itu, beliau meminta Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail membuat
keputusan yang adil dan tidak dipengaruhi oleh Perdana Menteri dalam menentukan
bentuk tindakan susulan kepada laporan-laporan polis yang dibuat terhadapnya.
Razali, yang merupakan seorang peguam, kemudian bangun menjelaskan mengenai
Perkara 34(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Raja-Raja Melayu
ialah Ketua Agama Islam di negeri masing-masing.
Beliau bertanya: “Jika Raja-Raja Melayu tidak boleh membuat keputusan (mengenai
kedudukan pegawai jabatan agama Islam) bagaimana (baginda) hendak menjalankan
fungsi tersebut?”
Bagaimanapun, dalam jawapannya, Karpal bertegas mengatakan Jamry ialah pegawai
kerajaan dan Sultan Perak tidak ada hak untuk mengarahkan pertukaran Jamry
dimansuhkan.
Razali sekali lagi bangun untuk bertanya siapa yang akan menjalankan tugas
Jabatan Agama Islam Perak kalau Sultan Perak tidak ada kuasa.
Karpal tidak menjawab soalan itu, sebaliknya mengulangi kenyataannya: “Gaji
Jamry bukan dibayar oleh JAIP tetapi oleh kerajaan, jadi dia ialah pegawai
kerajaan.”
Pemuda BN ikrar taat setia kepada raja-raja Melayu
Oleh Azman Ibrahim
Hishammuddin Tun Hussein bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, Azman Ibrahim
selepas menghadap Raja Nazrin Shah di kediaman baginda di Seksyen 16 Petaling
Jaya, semalam.
PETALING JAYA 12 Mei - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
berkata, pertemuan keduanya dengan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari
ini adalah untuk membincangkan isu berkaitan orang Melayu selain menyatakan taat
setia Pemuda UMNO kepada raja-raja Melayu.
Menurut beliau, dalam pertemuan tersebut, isu perpaduan dan ketuanan Melayu yang
dilihat semakin dipertikaikan oleh pihak tertentu turut dibincang.
Kata Hishammuddin, beliau turut menyampaikan mesej daripada Pemuda UMNO dan
Pemuda Barisan Nasional (BN) yang menyatakan taat setia tidak berbelah bahagi
terhadap raja-raja Melayu.
Beliau berkata, dua perkara yang menjadi kepantangan dan sensitiviti orang
Melayu di negara ini adalah mengenai agama dan raja-raja di negara ini.
''Maka dalam hal ini, Pemuda UMNO tidak pernah berkompromi dan tidak akan
bertolak ansur. Kita tahu apa amanah kita, kita tahu tanggungjawab kita, kita
tahu apa kesetiaan kita.
''Kita juga tahu apa yang diperlukan untuk menyatupadukan orang Melayu. Ini
sedikit sebanyak merupakan satu perkara yang penting di dalam jiwa perjuangan
saya sendiri secara peribadi untuk menyampaikan kepada Raja Dr. Nazrin yang juga
Raja Muda Perak,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di luar kediaman
Raja Muda Perak di sini hari ini.
Turut mengiringi Hishammuddin di kediaman rasmi Raja Muda Perak itu ialah Ketua
Pemuda UMNO Bahagian Gerik, Wan Azizi Wan Mohamed dan Ahli Jawatankuasa Putera
UMNO, Mohd. Faizul Mohd. Dahan.
Kelmarin, beliau menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Raja Muda, Raja
Dr. Nazrin Shah selama hampir dua jam di Istana Changkat, Bukit Persekutuan di
sini.
Hishammuddin menambah, pihaknya menyatakan sokongan kepada Raja Dr. Nazrin
supaya Raja Muda Perak itu terus-menerus menjadi penaung dan payung kepada semua
orang Melayu terutamanya kepada orang Melayu di negeri Perak.
''Saya percaya tanggungjawab dan juga amanah yang dipikul Raja Dr. Nazrin itu
merupakan tanggungjawab yang dipikul dengan bersungguh sungguh.
''Saya berasa begitu terharu kerana kita mempunyai pemimpin-pemimpin kita yang
boleh terus menjadi payung untuk kita bernaung di bawahnya,'' ujarnya.
Ketika ditanya adakah beliau turut membincangkan mengenai isu Pengerusi DAP,
Karpal Singh yang mempertikaikan kuasa sultan dan raja Melayu, Hishammuddin
sambil ketawa menafikan berbincang mengenai perkara berkenaan.
Jangan percaya SMS
Oleh Muzdalifah Mustapha
KUALA LUMPUR 12 Mei - Orang ramai terutama rakyat Sabah dinasihati jangan mudah
mempercayai dakwaandakwaan mengenai politik yang disampaikan dalam apa-apa
bentuk termasuk khidmat pesanan ringkas (SMS).
Ahli Parlimen Semporna, Datuk Shafie Apdal berkata, masalah percaya-mempercayai
sering berlaku di kalangan masyarakat sekarang terutama bersangkut paut dengan
khidmat SMS.
Beliau yang juga Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan berkata,
jangan percaya sangat apa yang orang perkatakan melalui SMS kerana ia tidak
semestinya benar.
''Tetapi kita tetap mengambil perhatian kerana kita di Sabah dan Sarawak
sentiasa melihat dari segi keseimbangan," katanya kepada pemberita selepas
mengadakan lawatan kerja di Istana Budaya di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad
Nazri Aziz yang menerima khabar angin melalui SMS kononnya 16 wakil rakyat dari
UMNO Sabah akan melompat parti pada Rabu ini.
Shafie berkata, pihaknya tidak menolak wujudnya suara tidak puas hati di
kalangan masyarakat Sabah terhadap kemudahan prasarana yang masih tidak
mencukupi.
Bagaimanapun, ujar beliau, ia telah dibincangkan dengan pucuk pimpinan mengenai
perkara tersebut dan pada masa ini kerajaan Barisan Nasional (BN) sedang
berusaha untuk menanganinya.
''Apa yang penting, kita memang memerlukan reaksi daripada kalangan rakyat
supaya dapat memberikan yang terbaik untuk mereka.
''Oleh itu, kini di Sabah terdapat beberapa perubahan pembangunan dan kemudahan
lain yang telah diperbaharui,'' katanya.
Terdahulu, Shafie mencadangkan Istana Budaya mewujudkan tapak penjualan barang
kraftangan untuk syarikat-syarikat swasta dan persendirian bertujuan menarik
lebih ramai pelancong datang ke Istana Budaya.
Beliau berkata, langkah itu dapat membantu pihak Istana Budaya mempromosikan
lagi pusat itu dan dalam masa yang sama, menarik minat masyarakat tempatan dan
luar tentang persembahan-persembahan yang diadakan di situ.
''Jika langkah itu diambil serius, kita bukan sahaja dapat mempromosikan Istana
Budaya tetapi memberi peluang kepada orang ramai mengenali seni budaya dengan
lebih dekat," jelasnya.
Dewan Diraja Selangor bidas Karpal
KUALA LUMPUR 12 Mei - Majlis Ahli Dewan Diraja Selangor membidas Pengerusi DAP,
Karpal Singh yang memberi gambaran Sultan Selangor 'campur tangan' dalam urusan
eksekutif negeri tersebut.
Majlis tersebut dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, kenyataan tidak
berasas dan tidak bertanggungjawab seumpamanya telah mendatangkan kebimbangan
dan tidak senang kepada majlis.
Menurut majlis itu, Sultan Selangor berhak memberikan pandangan baginda,
menasihati dan memberi peringatan kepada kerajaan negeri, berkenaan hal-hal
kesejahteraan rakyat.
''Perkara itu telah termaktub di bawah Perlembagaan Negeri.
''Kami juga berpandangan bahawa tiada undang-undang yang menyebut atau
menghalang Sultan Selangor mengutarakan sebarang pendapat dan teguran di bawah
kuasanya, iaitu mengenai hal ehwal negeri.
''Keutamaan baginda hanyalah untuk memastikan rakyat di negeri ini dapat terus
hidup dalam keadaan aman dan harmoni," kata kenyataan itu.
Antara ahli-ahlinya adalah Tan Sri Mohd. Azmi Kamaruddin, Tan Sri Abu Hassan
Omar, Jeneral (B) Tan Sri Mohd. Hashim Mohd. Ali, Tan Sri Syed Yusof Tun Syed
Nasir dan Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pa'Wan Teh.
Kenyataan itu dibuat mereka bagi menegur kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh
dalam laporan akhbar The Malay Mail pada 6 Mei lalu, yang mengatakan
baginda Sultan Selangor telah mencampuri urusan para eksekutif negeri tersebut.
Menurut majlis itu lagi, adalah menjadi amalan baginda Sultan Selangor untuk
memberikan pandangan dan peringatan kepada Menteri Besar dalam setiap pertemuan
mingguan mereka.
''Sultan Selangor tidak memihak mana-mana parti politik di negara ini,'' kata
majlis tersebut.
Trackback(0)
|