|
©Mingguan Malaysia
(Digunakan dengan kebenaran)
Oleh Zulkiflee Bakar
Apabila Pengerusi DAP, Karpal Singh dengan lantang mengadakan sidang akhbar di
lobi Parlimen, baru-baru ini bagi mempersoalkan bidang kuasa Sultan Perak, ramai
orang Melayu terkejut dan marah. Mereka tertanya-tanya apa sudah jadi dengan
senario politik negara apabila ada ahli politik mempertikaikan institusi raja?
Buat permulaan, mereka hanya mendengar kecaman demi kecaman ke atas kebiadapan
Karpal tetapi belum ada tindakan konkrit bagi membolehkan Ahli Parlimen Bukit
Gelugor itu disiasat di bawah Akta Hasutan.
Mungkin kerana tiada tindakan juga, Karpal seolah-olah mencabar lagi apabila
mempertikaikan pula titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.
Ketika itu timbul persoalan, apakah kebiadapan Karpal harus dibiarkan sedangkan
adalah jelas apa yang beliau lakukan mampu mencetuskan kemarahan kepada orang
Melayu?
Akhirnya, pada Khamis lalu, kemarahan yang membara diterjemahkan apabila UMNO
melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membuat
laporan polis ke atas Karpal di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur.
Pada hari yang sama, lima ahli Parlimen dan NGO turut mengambil langkah yang
sama dan ia dianggap amaran awal kepada Karpal bahawa beliau harus bersedia
untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan akibat kebiadapan yang ditunjukkan.
UMNO terpaksa membuat laporan polis setelah mendapati kenyataan Karpal mempunyai
kecenderungan menghasut dan menimbulkan kemarahan orang Melayu.
Setakat ini, Karpal masih berdegil dan tetap mempertahankan pendiriannya. Malah
beliau juga menegaskan, kenyataan beliau telah dipolitikkan oleh UMNO.
Tetapi persoalannya, dari satu segi kenapakah Karpal begitu berani membuat
kenyataan mempertikaikan tindakan Sultan Azlan Shah menitahkan Menteri Besar
Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menarik balik arahan penukaran
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury?
Apa yang perlu difahami, ketegasan UMNO dalam soal ini bukanlah kerana kenyataan
itu dibuat oleh Karpal yang merupakan anggota pembangkang dalam Parlimen tetapi
demi mengelakkan ia mencetuskan isu perkauman memandangkan institusi raja amat
dekat dengan kedaulatan Melayu.
berdolak-dalihMalah ketika mengulas perkara ini, Peguam terkemuka, Datuk
Muhammad Shafee Abdullah berkata, tindakan Karpal itu boleh dianggap
melaga-lagakan rakyat dan istana.
Menurut beliau tindakan boleh diambil sekiranya orang Melayu terluka dan marah
dengan kenyataan Karpal.
Oleh itu apabila Karpal mempertikaikan Sultan, ia bermakna beliau menyentuh soal
sensitiviti orang Melayu dan ia ibarat sengaja bermain api.
Dalam isu seumpama ini, bukan kata Karpal malah sesiapa juga yang cuba bermain
isu yang sama pasti akan berhadapan dengan risiko yang serupa.
Ini kerana terdapat tiga perkara yang melibatkan raja-raja Melayu yang sama
sekali tidak boleh dipersoalkan, pertama, individu tidak boleh mengeluarkan
sebarang kenyataan mengenai sultan dan raja sekiranya ungkapan itu berbau
perkauman.
Dua lagi perkara ialah hak keistimewaan orang Melayu dan agama Islam yang raja
adalah penjaga mutlak kedua-duanya.
Justeru Karpal tidak perlu lagi berdolak-dalih kerana zaman keterbukaan yang
melanda Malaysia sekarang bukan bermakna beliau boleh berkata apa sahaja.
Beliau juga harus memahami kejayaan DAP memenangi banyak kerusi di Parlimen,
menawan Pulau Pinang dan menjadi 'dalang' pemerintahan di Selangor dan Perak
bukanlah lesen untuk DAP atau beliau sendiri menunjukkan belang mereka sehingga
begitu berani mempertikaikan perkara yang tidak sepatutnya.
Tindakan Karpal itu menunjukkan bahawa walaupun baru mempunyai 'sedikit kuasa',
DAP cuba menjadi jaguh dan seolah-olah ingin membalas dendam terhadap apa yang
mereka tidak boleh sentuh selama ini terutamanya perkara yang berkaitan dengan
orang Melayu.
Mungkin juga keberanian Karpal itu berlandaskan kepada pegangan bahawa
rakan-rakan sekutu mereka iaitu Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan
berkata apa-apa kerana jika tersilap membuat kenyataan, ia boleh mendatangkan
kesan buruk dalam hubungan antara mereka.
Pas dan PKR seolah-olah lebih rela untuk menjaga hati Karpal.
Ini terbukti apabila beberapa pemimpin Pas yang diminta mengulas kebiadapan
Karpal pada mulanya enggan berbuat demikian. Mereka termasuklah Mursyidul Am
Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa.
Sikap tidak mahu memberi ulasan atau mengkritik kenyataan Karpal itu jelas
menunjukkan di Perak, pemerintahan Pas yang diketuai oleh Ir.Mohamad Nizar tidak
lebih daripada boneka semata-mata. Pas ternyata tidak berani berkata apa-apa
apabila timbul isu yang melibatkan DAP dan PKR.
Apa yang lebih malang, walaupun Sultan Perak dipertikaikan, Ir. Mohamad Nizar
sendiri mengambil jalan selamat dengan tidak mengulas kenyataan Karpal.
Ir.Mohamad Nizar amat memahami jika beliau mengkritik Karpal, ia ibarat sengaja
menempah jalan keluar dari pejabat Menteri Besar.
Ini kerana Pas menjadi teraju kerajaan Perak atas 'simpati' DAP. Pas tiada
kekuatan di negeri itu. Atas sebab itulah selain Kelantan dan Kedah, Pas tidak
pernah mendakwa bahawa mereka memerintah Perak. Pas amat memahami mereka hanya 'menumpang
kebahagiaan' orang lain.
Adalah sesuatu yang aneh Pas begitu berlembut dengan Karpal biarpun selama ini,
Pengerusi DAP itulah yang paling lantang menentang sebarang usaha melaksanakan
pemerintahan Islam oleh Pas.
Malah Karpal pernah menyatakan meminta pemimpin Pas melangkah mayatnya dahulu
kalau mahu melaksanakan pemerintahan Islam.
bersuaraMenyedari tindakan tidak 'mengecam' Karpal boleh mendatangkan sedikit
masalah kepada politik Pas, Nik Abdul Aziz akhirnya bersuara di Kuala Krai pada
Jumaat lalu. Beliau dengan tegas menyifatkan, tindakan Karpal adalah tidak betul
dan boleh dianggap derhaka.
Bagaimanapun pemimpin-pemimpin Pas yang lain membisu seribu bahasa. Mereka
mungkin akan terus dibelenggu dengan teori bahawa segala yang berlaku adalah
permainan politik UMNO.
Pemimpin Pas tidak boleh bersikap demikian kerana apa yang dilakukan oleh UMNO
bertujuan memastikan tidak akan ada mana-mana pihak memperlekehkan institusi
raja.
Kelantangan Karpal juga seharusnya menjadi ingatan kepada orang Melayu bahawa
jika mereka tidak berhati-hati, lebih banyak pihak akan mempertikaikan hak dan
keistimewaan mereka.
Kita bukanlah ingin mencetuskan isu perkauman tetapi di zaman yang dikatakan
segala-galanya telus dan terbuka ini, rasa hormat terhadap hak orang Melayu
semakin berkurangan.
Semua ini berlaku kerana pihak berkenaan amat memahami bahawa orang Melayu sudah
tidak boleh bersatu lagi biarpun institusi raja yang menjadi lambang kedaulatan
Melayu dipertikaikan.
Perpecahan di kalangan orang Melayu dan semakin kurangnya kuasa politik
berikutan keputusan pilihan raya umum lalu seolah-olah menjadi kesempatan
terbaik untuk pihak tertentu memperkotak-katikkan kaum itu.
Dalam isu Karpal contohnya, hanya UMNO dan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN)
sahaja dilihat tegas.
Keadaan itu tentulah menimbulkan persepsi bahawa parti-parti politik yang
dianggotai orang Melayu terlalu sukar disatukan, biarpun hak, kepentingan dan
keistimewaan mereka diganggu.
Apapun adalah wajar 'kes Karpal' ini dijadikan pengajaran kepada orang Melayu
untuk bersatu bagi mengelakkan lebih ramai pihak 'bermain dengan api'.
|