|
©Berita Harian
(Digunakan dengan kebenaran)
Oleh Zulkofli Jamaludin dan Hanneeyzah Bariah Baharin
Terengganu pinda enakmen pentabiran hal-ehwal Islam elak jadi
pertikaian
PERTAMBAHAN empat wakil rakyat pembangkang kepada lapan di Dewan Undangan Negeri
(DUN) Terengganu pada persidangan selama dua hari berakhir Khamis lalu, tidak
memberi impak besar terhadap perjalanan mesyuarat. Sebaliknya, Barisan Nasional
(BN) yang menguasai kerusi dua pertiga tetap mendominasi mesyuarat pertama
persidangan DUN ke-12.
Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dipimpin Menteri Besar,
Datuk Ahmad Said walaupun muda dari segi pengalaman, mampu menangkis dan
mematikan hujan lawan yang membangkitkan pelbagai isu, termasuk hubungan
pemimpin BN dengan Istana, royalti petroleum dan isu kemiskinan.
Dua ahli Exco - Rozi Mamat, 36, dan Khazan Che Mat, 38, adalah antara dua muka
baru yang kelihatan ‘tenang’ menjawab isu dibangkitkan wakil rakyat BN mahupun
pembangkang. Mereka turut memberi input baik mengenai portfolio masing-masing.
Khazan, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri bijak menjawab isu
dibangkitkan pembangkang terhadap Islam Hadhari yang mereka dakwa sebagai ‘agama
baru’ dan ingin mengetahui apakah ada nas dalam al-Quran menerangkan mengenai
dasar Islam Hadhari itu.
Ketua Pemuda Umno Bahagian Setiu itu bijak mematikan pertanyaan lawan dengan
bertanya semula kepada Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Sura) dan Mohd Nor Hamzah
(Pas-Bukit Payong) yang membangkitkan isu itu dengan meminta mereka menunjukkan
nas membenarkan pemakaian kot dan kereta.
Jelasnya, Islam membenarkan perbezaan pendapat, malah Imam Shafie ada
percanggahan pendapat dengan imam besar lain, tetapi tidak menyebabkan akidah
terpesong. Islam Hadhari adalah pendekatan Kerajaan Pusat bagi menggambarkan
usaha membangunkan negara secara menyeluruh dan tidak terikat kepada bidang
agama saja.
Di sebalik suasana agak hambar disebabkan tiada ‘perang mulut’ antara penyokong
kerajaan dan pembangkang sepanjang persidangan pertama itu, apa yang menarik
perhatian pemerhati ialah tindakan kerajaan negeri meminda Enakmen Pentadbiran
Hal Ehwal Agama Islam Terengganu 2001 bagi mengembalikan kuasa mutlak Sultan
untuk melantik dan membatalkan pelantikan ahli Majlis Agama Islam dan Adat
Melayu Terengganu (Maidam).
Pindaan pertama enakmen negeri itu dicadangkan sendiri Ahmad selepas membentuk
kerajaan pada Mac lalu, diluluskan semua 24 Adun BN serta enam wakil pembangkang
yang berada dalam dewan.
Kelulusan sebulat suara itu bukan saja ketika rang undang-undang enakmen itu
dibaca kali pertama, malah ketika dibaca kali kedua persidangan peringkat
jawatankuasa dan selepas dibaca kali ketiga.
Mungkin ramai tertanya-tanya mengapa kerajaan negeri yang baru berusia dua bulan
begitu cepat mengadakan persidangan meminda enakmen itu dan apakah signifikannya
kepada pentadbiran kerajaan sekarang.
Ahmad ketika ditemui selepas persidangan DUN ditangguhkan berkata, pindaan itu
adalah untuk mengembalikan semula kuasa melantik ahli Maidam kepada Sultan,
iaitu sebelum pindaan dibuat pada 1996.
“Pindaan hanya mengembalikan semula kuasa kepada pemilik asal dan saya tidak
nampak implikasi besar terhadap pindaan ini. Kita berasa lebih selesa dengan
suasana yang berlaku sekarang kerana kita tidak mahu apa-apa perkara
dipolitikkan,” katanya sambil melahirkan rasa gembira kerana usul itu disokong
semua wakil rakyat.
Seksyen 8 Enakmen itu dipinda bagi memberi kuasa melantik dan memberi budi
bicara mutlak kepada Sultan Terengganu untuk menentukan dan melantik mana-mana
orang menjadi anggota Maidam, manakala pindaan Seksyen 11 memberi kuasa budi
bicara mutlak kepada Sultan membatalkan pelantikan mana-mana anggota majlis
berkenaan.
Pindaan Seksyen 13 pula dibuat berbangkit daripada pindaan Seksyen 8 dan 11
enakmen itu.
Setakat ini, semua negeri yang memiliki Sultan termasuk Perlis, Kedah, Perak,
Selangor, Johor, Pahang dan Kelantan memberi kuasa mutlak kepada Sultan untuk
melantik ahli majlis agama negeri masing-masing.
Pelantikan di Negeri Sembilan pula memerlukan pekenan Yang di-Pertuan Besar,
manakala di Melaka dan Pulau Pinang, nama ahli majlis dicadangkan Ketua Menteri
kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum diperkenankan.
Di Sarawak, Ketua Menteri memiliki kuasa dan budi bicara untuk melantik ahli
majlis agama Islam negeri dan keputusan itu memerlukan perakuan Yang Dipertua
Negeri. Bagaimanapun, berbeza dengan Sabah dengan nama ahli majlis diusulkan
Ketua Menteri dan kuasa serta budi bicara melantik atau membatalkan pelantikan
masih tertakluk kepada Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama Islam.
Adun Tepoh, Muhammad Ramli Nuh ketika menyokong usul itu berkata, pindaan itu
perlu dibuat bagi mengembalikan semula fungsi Sultan sebagai ketua agama negeri
dan mengukuhkan lagi kedudukan dan martabat agama Islam di negeri ini.
Langkah itu sekali gus mengelak mana-mana pihak mempertikaikan keputusan dibuat
Maidam untuk kepentingan rakyat negeri berkenaan.
“Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Terengganu bilangan 12 1986
memperuntukkan kuasa Sultan untuk melantik ahli majlis (Maidam), tetapi pada
1996 berlaku sedikit pindaan memberi kuasa Menteri Besar dilantik sebagai Yang
Dipertua, Timbalan Maidam dan ahli majlis,” katanya.
Pindaan Seksyen 11 pula akan membolehkan Sultan memiliki kuasa mutlak
menggunakan budi bicara untuk melantik sesiapa yang dirasakan layak untuk
menjadi Yang Dipertua (YDP) Maidam dan ahli majlis tanpa sebarang nasihat
Menteri Besar seperti diamalkan sebelum ini.
“Pindaan ini akan memberi lebih kuasa kepada Tuanku Sultan untuk melantik YDP
dan timbalan... tidak ada ketetapan dibuat. Demikian juga pembatalan pelantikan
dan keanggotaan majlis ia tertakluk di atas budi bicara dan kebijaksanaan Tuanku
(Sultan).
“Pindaan ini juga dapat mengelak Pas yang sering mempertikaikan kerja dan
tindakan diambil Maidam. Sebagai contoh kita tidak benarkan mendirikan masjid,
tetapi mereka tetap buat juga. Untuk mendirikan masjid adalah kuasa kerajaan
yang diberikan Tuanku (Sultan). Ini bermakna mereka tidak patuh arahan Maidam,
sekali gus melawan Tuanku.
“Dalam kes ini, mereka kena akur dan patuh arahan Maidam kerana ia juga
merangkap arahan Tuanku. Pindaan Seksyen 13 pula lebih menjurus kepada soal
lantikan dan pembatalan lantikan di bawah Seksyen 8 dan 11 tadi,” katanya.
Selain Muhammad Ramli yang menyokong usul itu, hanya seorang wakil pembangkang
mengambil bahagian membahaskan usul berkenaan. Tidak dapat dipastikan apakah
disebabkan pindaan itu ‘terlalu penting’ menyebabkan tidak ada penyokong
kerajaan yang ‘ghairah’ mengambil bahagian membahaskan usul pindaan rang
undang-undang.
Pindaan itu adalah sesuatu yang penting dan menjadi agenda pertama dilakukan
kepemimpinan negeri bagi ‘menjernihkan’ semula hubungan antara kerajaan negeri
dan istana, tetapi penyokong kerajaan seolah-olah bertindak ‘sebagai pemerhati’
di dewan yang mereka kuasai.
Trackback(0)
|