feed
Home arrow News arrow Berita/Komen Undang-Undang arrow Undang-undang syariah terbaik – Gani
  • Malaysian Bar Web Ads
  • Malaysian Bar Web Ads
  • Malaysian Bar Web Ads
Undang-undang syariah terbaik – Gani PDF Print E-mail
Thursday, 23 August 2007 06:13am

Tan Sri Abdul Gani Patail©Utusan Malaysia (Digunakan dengan kebenaran)
Oleh Norila Daud

• Rencana Pengarang: Segera martabatkan perundangan negara

KUALA LUMPUR 22 Ogos –
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, Seksyen 3 dan 5 Undang-Undang Sivil 1956 yang berasaskan prinsip Common Law Inggeris, lazim digunakan dalam perbicaraan apabila keadaan memerlukan.

Beliau berkata, kedua-dua seksyen itu memberi peruntukan untuk mengguna pakai norma-norma atau amalan biasa serta prinsip-prinsip lain yang menekankan kepada keadilan dan pembahagian yang saksama mengikut Perlembagaan negara.

‘‘Undang-undang tersebut telah diguna pakai oleh para pengamal undang-undang sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim semalam mencadangkan rujukan kepada Common Law Inggeris dimansuhkan daripada undang-undang sivil negara.

Menurutnya, penggunaan Common Law hanya menggambarkan minda pengamal undang-undang tempatan yang masih terjajah.

Beliau turut mencadangkan supaya usaha dilakukan untuk memartabatkan undang-undang Islam dalam perundangan negara dan perundangan antarabangsa.

Abdul Gani bagaimanapun berkata, undang-undang Syariah adalah yang terbaik kerana ia menekankan kepada keadilan dan pembahagian hak yang sama.

Katanya, sudah sampai masanya untuk semua pihak memikirkan lebih daripada Common Law untuk prinsip-prinsip keadilan dan pembahagian hak saksama bagi mengisi bahagian-bahagian yang perlu dimantapkan dalam sistem perundangan negara.

‘‘Sudah tiba juga masanya untuk kita mendapatkan prinsip-prinsip tersebut (keadilan) dalam kebudayaan, cara hidup dan agama termasuk agama Islam dan juga undang-undang adat seperti yang diamalkan di Sabah dan Sarawak,’’ jelasnya.

Sementara itu, kata beliau, undang-undang Syariah dilaksanakan di negara ini setelah digubal dan diluluskan oleh Parlimen.

Menurutnya, mengikut undang-undang Syariah, memberi keadilan dan hak saksama kepada yang berhak merupakan prinsip utama mengikut ajaran al-Quran.


Rencana Pengarang: Segera martabatkan perundangan negara

Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul HalimCadangan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim supaya rujukan kepada Common Law (undang-undang lazim) Inggeris dimansuhkan bukan saranan baru.

Beberapa Ketua Hakim Negara sebelum ini termasuk Tun Hamid Omar dan Sultan Azlan Shah pernah mengetengahkan pandangan supaya Malaysia mempunyai Common Law acuan sendiri.

Pernah juga jawatankuasa khas ditubuhkan untuk memikirkan kaedah membangunkan Common Law ala Malaysia sesuai dengan status satu bangsa dan negara yang berdaulat.

Malah isu itu diperjuangkan oleh Allahyarham Tan Sri Ahmad Ibrahim sehingga ke akhir hayat beliau. Malangnya impian untuk melihat sistem perundangan di negara ini berada di landasannya sendiri tenggelam begitu sahaja sehinggalah ia dibangkitkan semula kelmarin.

Kita masih terus berkiblatkan Common Law Inggeris sedangkan produk itu dicipta tanpa mengambil kira ciri-ciri tempatan menyebabkan pemakaiannya selepas 50 tahun negara mencapai kemerdekaan dilihat amat janggal sekali.

Bukankah dengan mempunyai sistem Common Law sendiri akan membolehkan perundangan kita termasuk kaedah perbicaraan disesuaikan dengan amalan rakyat negara ini yang berteraskan agama, budaya dan sosioekonomi sendiri.

Persoalannya apakah kita atau sampai bilakah kita masih perlu terus bergantung kepada produk yang berbeza tamadunnya itu dalam proses memartabatkan undang-undang negara di masa depan?

Adakah kita akan dihormati jika meneruskan pemakaian undang-undang itu atau seperti yang ditegaskan oleh Ahmad Fairuz, senario itu menggambarkan minda pengamal undang-undang di negara kita yang masih dijajah.

Kita tidak menafikan ada hakim-hakim yang telah memilih untuk tidak mengguna pakai Common Law Inggeris sebaliknya membuat keputusan berasaskan kehendak (sesuai dengan) hal keadaan setempat.

Namun cengkaman Seksyen 3 dan 5 Akta Undang-undang Sivil 1956 yang masih kekal dalam perundangan kita menyebabkan rujukan terhadap Common Law Inggeris masih menjadi keutamaan kecuali di kalangan barisan hakim yang prihatin.

Hakikatnya tugas untuk mewujudkan Common Law ala Malaysia bukan terletak di bahu pengamal undang-undang dan mahkamah sahaja. Malah kedua-dua pihak itu jelas tidak cukup untuk menjadi pembentuk acuan kepada undang-undang yang komprehensif berlandaskan nilai, sejarah serta keperluan masyarakat setempat.

Jalan yang paling berkesan ialah memansuhkan terus Seksyen 3 Akta Undang-Undang Sivil supaya Common Law Inggeris tidak terus-terusan dijadikan sumber rujukan di kalangan para hakim.

Negara mempunyai undang-undang syariah dan undang-undang adat yang selayaknya diadun untuk melahirkan Common Law Malaysia, justeru kita tidak boleh berleka lagi sebaliknya bersegera memartabatkan perundangan sendiri.

Comments (3)Add Comment
Amat menyedihkan...
written by Shaikh Abdul Saleem, Thursday, August 23 2007 01:06 pm

Apa yang amat menyedihkan adalah komen-komen yang diberikan berkenaan 'Common Law Inggeris' daripada pengarang rencana di atas dan juga dari ketua badan kehakiman adalah seolah-olah komen yang diberikan oleh ahli politik yang ketandusan idea. Seolah-olah ceramah politik murahan untuk mendapatkan sokongan atau untuk menyimpangkan perhatian umum (diversion of attention) daripada kerosakan badan berkenaan. Politik retorik menghantukan penjajah sudah lama dilakukan oleh parti-parti politik kita bila sudah tiada idea. Tetapi, untuk kenyataan politik retorik sebegini untuk keluar dari badan kehakiman yang sepatutnya lebih tinggi martabatnya dari ahli politik murahan adalah amat membimbangkan dan menyedihkan.

Tiada apa masalah dengan sistem 'common law'. Prinsip-prinsip common law yang telah menjadi undang-undang diMalaysia pada hari ini telah menjalani proses "Malaysianisasi" oleh hakim-hakim negara ini. Sistem ini tidak pincang mahupun bermasalah. Asas-asas 'common law' adalah dibentuk dengan sendirinya untuk disesuaikan dengan keadaan dinegara kita. Tiada isu yang mana kononnya kita masih dijajah. Hakim dinegara ini masih boleh menjauhi atau menukar atau menerima pakai prinsip-prinsip common law tersebut sebagaimana yang bersesuaian dengan keadaan kes yang dihakimi dalam mana akan lahir dengan sendiri 'common law' Malaysia. Isu kononnya perundangan kita masih dijajah adalah kenyataan yang tidak munasabah.

Apa yang amat jelas adalah, pada masa badan-badan berkenaan, iaitu badan kehakiman dan Peguam Negara menghadapi krisis dan kritikan, daripada badan-badan berkenaan menjawab kritikan tersebut, mereka membuat kenyataan berunsurkan politik retorik dan berharap masyarakat umum akan lupakan kepincangan mereka. Saya faham sekiranya ahli politik yang berbuat demikian. Saya tidak dapat menerimanya apabila ketua badan kehakiman juga menggunakan taktik yang sama.

Shaikh Abdul Saleem

Hearts of Men
written by Justin Johari Bin Azman, Thursday, August 23 2007 03:37 pm

Dear Shaikh,

My sentiments are the same. It would be very unfortunate if these individuals are just using the Islamic Concept of Justice in order to further whatever mileage they have at this juncture. Right or wrong the opinions they hold, I pray that they are sincere.

Well, only HE knows the hearts of men.

Good write up. You should consider translating the above into English and expand it a little bit to include more points as well.

Justin Johari Bin Azman

We are God Fearing People
written by Tan Peek Guat, Friday, August 24 2007 12:49 am

God fearing men think alike, whatever our religion, creed or colour.

For so long as we uphold the needs of the nation; for so long as we are dutiful, happy and united and work towards justice, peace and prosperity of OUR NATION for the benefit of our future generations, it is not for us to comment or question the sincerity of others or another. Doing so will be taking too much upon ourselves and causing disunity.

I fully agree with Justin that "only HE knows the hearts of men". Amen.

Tan Peek Guat


Write comment
You must be logged in to a comment. Please register if you do not have an account yet.

busy
 
< Prev   Next >
7th LAWASIA Labour Law Conference, Hong Kong (17-18 Sept)
Registration is now open. Visit the Conference official website at http://lawasia.asn.au/labour_law_conference_2010 for more details.
Username Password
Remember Me | Register | Lost Password?

We have 237 guests and 6 members online

Rakyat Service Advertisement 5 @ MyConstitution PerlembagaanKu


Rakyat Service Advertisement 4 @ MyConstitution PerlembagaanKu




show last 4hrs - 24hrs
Google