|
©Berita Harian
(Digunakan dengan kebenaran)
Oleh Azman Zakaria, Norfatimah Ahmad dan Nazura Ngah
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu Peguam Negara mempercepatkan
keputusan berhubung kes Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mempertikaikan kuasa
Sultan hingga menimbulkan kemarahan rakyat.
Perdana Menteri berharap Tan Sri Abdul Gani Patail dapat bertindak segera jika
berpendapat kes berkenaan kukuh untuk dibawa ke mahkamah kerana ia membabitkan
kepentingan pelbagai pihak.
“Tindakan akan diambil Peguam Negara dan jika ikut pandangannya boleh dibawa ke
mahkamah, harapan saya ialah beliau bertindak cepat sebab orang ramai berminat
nak tahu apa hukuman berkaitan perkara ini,” katanya selepas mempengerusikan
mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) Umno di sini, semalam.
Karpal dalam kenyataannya sebelum ini mendakwa Sultan Perak tidak mempunyai hak
dalam undang-undang untuk campur tangan dalam keputusan kerajaan negeri menukar
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury.
Sehingga semalam, sembilan laporan polis dibuat terhadap Ahli Parlimen Bukit
Gelugor itu kerana didakwa menghina Sultan dan Raja-raja Melayu.
Laporan itu termasuk yang dibuat Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan
Tengku Mansor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul serta Kelab Ahli Parlimen
Barisan Nasional (BNBBC) dan Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) di IPD
Brickfields dekat sini, kelmarin.
Ditanya sama ada tindakan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) boleh
dikenakan terhadap Karpal, Abdullah yang juga Presiden Umno berkata: “Jika nak
guna ISA dah lama masuk dalam dah. Kita tak guna pun.”
Mengenai Umno, beliau berkata, parti perlu mengambil langkah untuk memastikan
ahlinya terus yakin dengan perjuangannya, manakala mereka yang lari kembali
semula kepada Umno.
“Umno perlu faham dan menerima hakikat bahawa sokongan terhadap parti
berkurangan pada pilihan raya lalu. Bagaimanapun sokongan itu tidak terhakis
kerana masih ada bilangan kerusi yang banyak dimenangi calon Umno yang
bertanding di bawah Barisan Nasional (BN).
“Oleh itu tindakan perlu diambil untuk pastikan parti kuat, kukuh dan tidak
dilihat bergaduh atau berbalah sesama sendiri, sebaliknya parti terus kuat dan
bersatu padu,” katanya.
Ditanya apakah langkah yang akan diambil untuk meningkatkan sokongan ahli dan
rakyat terhadap Umno, beliau berkata, Umno perlu meyakinkan mereka bahawa parti
itu bersama BN boleh memerintah dengan baik dengan sokongan semua pihak.
BN sebagai parti pemerintah, katanya, perlu membuktikan hasil kerjasama sesama
parti komponen dapat menangani pelbagai isu kerana rakyat mahu melihat BN
menyelesaikannya.
Desakan segera menghadap mohon ampun
Oleh Azman Mahmood
KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi Umno (MT) Datuk Mohd Shafie Apdal meminta
Ahli Parlimen DAP, Karpal Singh segera menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku
Mizan Zainal Abidin dan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah untuk memohon ampun atas
sikapnya mempersoalkan hak dan bidang kuasa baginda berdua.
Katanya, Karpal bukan saja perlu menghadap mereka, malah juga menghentikan
perbuatan yang tidak menghormati raja pada masa depan.
Beliau berkata, tidak kira wakil rakyat kerajaan atau pembangkang, semua pihak
perlu mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu mengikut Perlembagaan.
“Saya kesal apa yang dilakukan Karpal. Jadi, saya sarankan dia menghadap Yang
di-Pertuan Agong dan Sultan Perak untuk memohon maaf.
“Saya tidak menganggap sikap Karpal ini sebagai satu perkara kecil,” katanya
kepada pemberita selepas mendengar taklimat dan Mock Up (peringkat pertama)
ukiran kayu bagi hiasan dalaman Auditorium Malaysia di Pusat Pengajian Islam
Oxford (Oxcis) United Kingdom, di Pusat Kraftangan di sini semalam.
Ditanya sama ada Karpal layak mempersoalkan bidang kuasa Sultan berkaitan hal
ehwal agama Islam, Mohd Shafie yang juga Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian
dan Warisan berkata, Pengerusi DAP itu tidak layak berbuat demikian.
Katanya, sikap Karpal yang disifatkan tidak menghormati raja juga boleh
menimbulkan suasana tidak sihat dalam masyarakat khususnya orang Melayu yang
akan berasa tersinggung.
Sementara itu, Puteri Umno dalam kenyataan medianya menyifatkan Karpal sengaja
cuba merendahkan institusi raja dan kesultanan Melayu.
Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad berkata, perbuatan itu boleh mencetuskan kemarahan
rakyat pelbagai kaum yang selama ini menjunjung Perlembagaan Negara.
Katanya, bidang kuasa raja dan kerajaan termasuk kerajaan negeri sudah termaktub
dalam Perlembagaan negara dan negeri yang tidak perlu dipertikai mana-mana pihak
termasuk Karpal.
“Harus diingat soal agama dan adat istiadat (Melayu) adalah di bawah bidang
kuasa Sultan. Oleh itu, Puteri Umno berpendapat Karpal boleh dikenakan tindakan
mengikut Akta Hasutan kerana menghina sistem Raja Berperlembagaan.
“Puteri Umno juga mendesak Karpal menghadap Yang diPertuan Agong dan Sultan
Azlan Shah untuk memohon ampun dan meminta maaf kepada seluruh rakyat atas
keceluparan kenyataannya itu,” katanya.
Dua lagi laporan polis terhadap Karpal Singh
Oleh Saufi Hamzah, Khairul Azran Hussin dan Rudy Syareme
Sheriffudin
KUALA LUMPUR: Dua lagi laporan polis dibuat terhadap Pengerusi DAP, Karpal Singh
kerana mempertikai kuasa Sultan Perak dan mendakwa baginda campur tangan dalam
pentadbiran kerajaan negeri.
Laporan dibuat Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Tajudin Ahmad di
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, manakala satu lagi oleh Setiausaha Pemuda
Umno Pulau Pinang, Ramelan @ Ramlan Ishak di Balai Polis Jelutong.
Sehingga kini, sembilan laporan polis dibuat terhadap Karpal yang juga Ahli
Parlimen Bukit Gelugor.
Tajudin yang membuat laporan IPD Sentul pada jam 11.30 pagi mendakwa Karpal
mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dengan mempertikai kuasa Sultan Perak
secara terbuka, sekali gus menghina Institusi Raja-Raja Melayu dan Perlembagaan
Malaysia.
“Ulasan itu seolah-olah memberi amaran kepada Sultan Perak dan Raja Melayu lain
supaya tidak masuk campur dalam urusan pentadbiran negeri. Ini adalah penghinaan
kepada Sultan dan Raja Melayu.
“Karpal perlu meminta ampun dan maaf daripada Tuanku Sultan Perak dengan segera
bagi menjaga hati penduduk berbilang kaum di negara ini,” katanya.
Beliau berkata, isu itu tidak akan timbul jika Karpal menghormati prinsip Rukun
Negara yang menjadi pegangan hidup bagi negara, dasar kesatuan dan perpaduan
bangsa serta pedoman bagi kegiatan hidup masyarakat pelbagai kaum dan budaya di
negara ini,” katanya.
Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sofian Md
Yassin, berkata pihaknya akan melakukan siasatan berhubung laporan itu.
“Setakat ini, polis menerima lapan laporan berhubung kenyataan Karpal, iaitu dua
di Sentul dan Brickfields, manakala masing-masing satu di Dang Wangi, Tapah,
Port Dickson dan Muar.
“Polis memandang serius perkara ini dan akan menyiasat laporan diterima mengikut
Akta Hasutan,” katanya.
Di GEORGETOWN, Pemuda Umno Pulau Pinang membuat laporan perkara yang sama di
Balai Polis Jelutong, pada jam 2.30 petang.
Dalam laporan itu, Pemuda Umno mendakwa Karpal dengan sengaja merendahkan
martabat dan menghina Sultan Perak.
Ramelan berkata, ucapan itu juga menidakkan hak Sultan selaku ketua agama Islam
dan Raja Muda Perak selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat
Melayu Perak untuk melantik, menukar atau memecat mana-mana pegawai yang
termasuk di bawah kuasa baginda.
Terdahulu, Ramelan bersama 100 penduduk membuat demonstrasi secara aman di
pekarangan Masjid At-Taqwa, Taman Tun Sardon, sebagai membantah tindakan Karpal
itu.
Trackback(0)
|