|
Rakyat miskin perlukan pembelaan - Muhyiddin |
|
|
|
|
Monday, 05 January 2009 08:10am |
|
©Utusan Malaysia (Digunakan dengan kebenaran) oleh Irman Hashim KUALA TERENGGANU 4 Jan. - Pengumuman mengenai pelbagai projek pembangunan yang bakal dilaksanakan kerajaan bukan 'gula-gula' kepada para pengundi sempena pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu seperti didakwa pembangkang.
Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaliknya berkata, usaha itu perlu dilaksanakan kerana rakyat negeri ini terutama yang miskin masih memerlukan pembelaan dari segi pembangunan.
Beliau menegaskan, usaha tersebut bukan dilakukan ketika pilihan raya sahaja tetapi dilaksanakan sepanjang masa.
''Saya nak tanya Pas adakah mereka tidak bersetuju kerajaan menyediakan peruntukan pembangunan untuk rakyat.
''Lebih baik Pas kata mereka tidak bersetuju kerajaan belanja bantu rakyat walaupun pada waktu pilihan raya atau sebelum pilihan raya.
''Ini bermakna Pas menolak pembangunan sedangkan parti itu menyatakan ia ingin membangun bersama ummah. Tetapi sebenarnya dia (Pas) tidak melaksanakan apa yang dikatakan," ujarnya.
Beliau diminta mengulas dakwaan pembangkang bahawa pelbagai projek pembangunan yang diumumkan oleh kerajaan Pusat dan negeri baru-baru ini hanya untuk menarik sokongan pada pilihan raya kecil berkenaan.
Muhyiddin meminta rakyat supaya tidak terpengaruh dengan dakwaan pembangkang itu yang bertujuan untuk memesongkan pemikiran mereka.
Beliau juga berharap rakyat tidak mudah percaya dengan dakwaan berlakunya pembaziran dalam membangunkan negeri ini.
Ini kerana jelasnya, inisiatif kerajaan negeri dan Pusat hanya akan menunjukkan hasil dan impaknya dalam tempoh jangka panjang.
''Sebelum ini parti pembangkang pernah membantah dan menuduh berlakunya pembaziran ketika kerajaan melancarkan beberapa projek mega seperti pembinaan Putrajaya, Lebuh Raya Utara Selatan dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
''Namun jika kita lihat sekarang, semua kemudahan ini telah memberi kesenangan kepada rakyat," ujarnya.
Beliau berkata, semua tuduhan dan dakwaan parti pembangkang itu hanya satu gimik politik untuk memperdayakan rakyat supaya tidak menyokong kerajaan.
|