|
©Mingguan Malaysia
(Digunakan dengan kebenaran)
Oleh Azran Fitri dan Tarmizi Abdul Rahim
KOTA BHARU 30 Ogos - Kerajaan perlu bertindak tegas terhadap mana-mana pihak
yang terus mempertikaikan peruntukan Fasal 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan
berhubung kedudukan Bahasa Melayu dan Hak Keistimewaan Orang Melayu.
Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Dr. Abd.
Aziz Bari berkata, kerajaan sepatutnya memandang serius perkara itu dan segera
menghentikan gejala yang membimbangkan ini.
Katanya, perkara itu tidak harus diberi ruang untuk dipertikaikan lagi kerana ia
merupakan kunci kepada kestabilan negara yang telah dipersetujui dengan penuh
muafakat sebelum mencapai kemerdekaan.
Beliau berpendapat, antara faktor keberanian pelbagai pihak yang mempertikaikan
undang-undang tersebut adalah kerana kurangnya penguatkuasaan kerajaan terhadap
pelaksanaan matlamat dan semangat kedua-dua fasa berkenaan.
"Sebenarnya keseluruhan Perlembagaan Persekutuan perlu diperkasakan dan bukannya
hanya setakat Fasal 152, 153 sahaja kerana jika langkah konkrit tidak dilakukan,
Perlembagaan kita akan jadi seperti perhiasan atau kosmetik sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Forum Merdeka Pelaksanaan Undang-Undang Fasal 152,
153 dengan tema Memperkasakan Perlembagaan Negara anjuran Majlis Tindakan Rakyat
Kelantan (MTRK) di sini hari ini.
Forum yang dipengerusikan oleh Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia,
Profesor Dr. Mohamad Agus Yusof itu turut dihadiri oleh ahli panel lain iaitu
Penasihat Undang-Undang Majlis Muafakat Melayu Malaysia, Tan Sri Abd. Aziz Abd.
Rahman dan peguam, Zainur Zakaria.
Majlis itu dirasmikan oleh Penaung MTRK, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga Ahli
Parlimen Gua Musang dan turut dihadiri Presiden MTRK, Datuk Ibrahim Ali yang
juga Ahli Parlimen Pasir Mas.
Sementara itu, Abd. Aziz mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan satu badan atau
jawatankuasa khusus di peringkat Pusat dan negeri bagi memperincikan pelaksanaan
Fasal 153 yang dilihatnya agak tersasar daripada maksud dan matlamat sebenar
undang-undang itu.
"Saya difahamkan pada masa ini tiada badan khusus sama ada peringkat kementerian
atau negeri yang melaksanakannya dan ini adalah antara punca berlakunya
keciciran di kalangan Melayu sendiri dan wujudnya pihak tertentu yang
mempertikaikan intipatinya," katanya.
Bekas Pengerusi Malaysia Airlines System (MAS) itu berkata, hak Bahasa Melayu
dan keistimewaan orang Melayu telah diiktiraf oleh British sebelum negara
mencapai kemerdekaan dan Perlembagaan Persekutuan dirangka lagi.
Malah, katanya, ia telah dipersetujui oleh semua pihak melalui kontrak sosial
sebelum ini dan adalah tidak rasional apabila selepas 51 tahun negara mencapai
kemerdekaan ia diungkit dan dipersoalkan.
Dalam pada itu, Zainur menyelar pemimpin Melayu beragama Islam yang sanggup
menggadai maruah bangsa dan agama demi mencapai cita- cita politik.
Katanya, pemimpin ini kononnya akan mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia baru
yang mempunyai kesamarataan tetapi tidak dijelaskan ciri-cirinya yang sebenar.
"Adakah kita mahukan sebuah masyarakat seperti Singapura atau masyarakat
mempunyai pelbagai bahasa rasmi, agama Islam diletakkan pada kedudukan sama
dengan agama lain, adakah kita sanggup terima semua ini.
"Melayu bukannya tuntut hak lain cuma kita pertahankan hak sedia ada yang telah
dipersetujui dan termaktub dalam Perlembagaan. Tetapi apabila kita perjuangkan
hak ini seolah- olah seperti kita pula yang bersalah," katanya.
|