|
Peguam disyaki pecah amanah |
|
|
|
|
Saturday, 07 June 2008 07:14am |
|
©Berita Harian
(Digunakan dengan kebenaran)
Oleh Johan Afandi
JOHOR BAHRU: Seorang peguam didakwa melakukan pecah amanah berjumlah RM1 juta
selepas menipu Koperasi Perusahaan dan Perniagaan Guru Agama Johor ketika
memproses pinjaman diperoleh melalui Tabung Pusingan Jabatan Pembangunan
Koperasi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Asisten Komisioner Sahar
Muhamad, berkata kejadian berlaku di Muar, akhir tahun lalu, apabila koperasi
itu melantik peguam dikenali Zulfadhli Mohd Yusof.
"Peguam ini, berusia 38 tahun dan berasal dari Melaka serta mempunyai sebuah
syarikat guaman dikenali Tetuan Zulfadili & Co beralamat di No 37, tingkat 2B,
Jalan Ibrahim, Muar," katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, peguam itu dilantik koperasi berkenaan selepas berjaya
memperoleh pinjaman daripada Jabatan Pembangunan Koperasi Malaysia berjumlah
RM1.12 juta.
Katanya, jabatan berkenaan mengeluarkan cek dengan jumlah RM1.12 juta kepada
syarikat guaman berkenaan tetapi, peguam terbabit hanya menyerahkan cek
berjumlah RM112,000 kepada koperasi berkenaan dan bakinya, masih belum dapat
dijelaskan.
"Selepas beberapa bulan gagal mendapat maklumat baki bayaran daripada peguam
terbabit, koperasi membuat laporan polis," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mengenali peguam berkenaan
supaya menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis
Daerah Muar, Asisten Superintendan Sarih Salleh di talian 016-217040 atau
06-95262222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
|