website statistics
feed
Home arrow News arrow Berita/Komen Undang-Undang arrow Mempersoalkan kontrak sosial selepas 50 tahun
Advertisement
Mempersoalkan kontrak sosial selepas 50 tahun PDF Print E-mail
Monday, 30 June 2008 07:04am

Mempersoalkan kontrak sosial selepas 50 tahun©Utusan Malaysia (Digunakan dengan kebenaran)

Realiti ketuanan Melayu

RAMAI yang tertanya-tanya apa motif Majlis Peguam menganjurkan Forum Kontrak Sosial bagi membincangkan ketuanan dan hak keistimewaan orang Melayu.

Lagi pula apakah hak ahli-ahli panel seperti Dr. Mavis Puthucheary; Dr. Kua Kia Soong dan Tommy Thomas untuk membincangkan isu-isu berkaitan orang Melayu?

Sebab itu, ia dilihat sebagai cubaan pihak tertentu untuk mengambil kesempatan daripada situasi politik ketika ini untuk melahirkan rasa kurang senang terhadap orang Melayu yang merupakan kaum majoriti di negara ini.

Pihak penganjur mendakwa perbincangan pada forum itu dilakukan secara profesional dan rasional. Namun ia tidak dapat lari daripada timbulnya rasa tidak puas hati yang boleh membawa kepada salah faham dan akhirnya menjerumus kepada perkauman.

Bayangkan apa akan jadi apabila orang Melayu berkumpul dan berbincang untuk menentukan hak-hak orang bukan Melayu tanpa ada wakil mereka di dalamnya? Tentu pelbagai pihak akan tampil memprotes, mengugut dan mendesak supaya dilakukan itu ini.

Sebagai orang Melayu pula apa akan mereka rasa apabila melihat dan mendengar pakar-pakar sosial bukan Melayu duduk di atas pentas bercakap soal hak mereka? Tentu ada akan merasa tercabar.

Selepas forum itu berakhir, apakah manfaatnya kepada orang Melayu dan hubungan antara kaum di negara ini? Adakah semakin kukuh atau sekadar menambahkan lagi kebencian dan kemarahan.

Bagi ahli-ahli panel bukan Melayu itu pula, ketika membuat penyelidikan dan kajian sedikit sebanyak tentu ada perasaan bias kalaupun tidak benci.

Kenapa hanya soal hak istimewa dan ketuanan Melayu sahaja dibincangkan? Kenapa soal pencapaian orang Melayu sejak negara mencapai kemerdekaan 50 tahun lalu tidak dibincangkan sama?

Walaupun hak keistimewaan orang Melayu tercatat dalam Perlembagaan namun orang Melayu tidaklah istimewa.

Selain memegang kuasa dalam politik, orang Melayu serba ketinggalan dalam bidang lain.

Kalau orang Melayu benar-benar istimewa dan diberikan segala keistimewaan oleh kerajaan kenapa mereka hanya menguasai 18 peratus sahaja ekonomi negara. Angka itu belum lagi ditolak ekuiti yang dimiliki syarikat milik kerajaan (GLC).

Malah tengoklah dalam Majlis Peguam itu sendiri. Berapa kerat peguam Melayu yang ada dan kaum mana yang lebih ramai jadi peguam? Malah disebabkan tidak ada yang istimewa di kalangan orang Melayu maka Majlis Peguam terpaksa mengambil panel bukan Melayu untuk membincangkan isu Melayu.

Sebab itu, apabila sesuatu pertubuhan sama ada sosial ataupun politik mahu bercakap atau membincangkan hal orang Melayu, ia perlu dilihat secara menyeluruh. Bukan melihat kepada isu-isu yang terpilih dan kemudiannya digembar-gemburkan seolah-olah kaum lain ditindas oleh pemimpin-pemimpin politik Melayu. Sedangkan hakikatnya orang Melayu dengan segala keistimewaan dan ketuanannya itulah yang paling tertinggal dan terpinggir di negara ini.


Realiti ketuanan Melayu

Oleh Muzaffa Mokhtar

KEBELAKANGAN ini suara- suara sumbang yang mempertikaikan ketuanan Melayu dengan mendakwa bahawa konsep berkenaan bersifat perkauman dan tidak relevan dengan realiti Malaysia yang berbilang kaum semakin lantang kedengaran. Terdapat pula sesetengah pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan melaga- lagakan konsep ketuanan Melayu dengan ketuanan rakyat.

Sebenarnya dalam konteks politik Malaysia faktor sejarah serta realiti demografik menyebabkan konsep ketuanan Melayu dan ketuanan rakyat muncul sebagai konsep yang bukan sahaja saling tidak bertentangan malahan ia merupakan sisi yang berbeza bagi satu syiling yang sama, saling lengkap melengkapi.

Bagi Malaysia konsep ketuanan rakyat dalam bidang politik telah mula tertegak semenjak negara mencapai kemerdekaan daripada penjajahan Inggeris lebih 50 tahun yang lalu. Konsep ketuanan rakyat adalah teras asas bagi mana-mana negara yang mengamalkan sistem demokrasi pelbagai parti yang berwibawa. Ini kerana dalam sebuah demokrasi rakyatlah yang mempunyai kuasa mutlak melalui undi mereka untuk menentukan parti politik atau gabungan parti politik yang akan membentuk kerajaan. Melalui konsep ketuanan rakyat aspirasi golongan majoriti dihormati manakala kepentingan sah kaum minoriti dilindungi berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang.

Kewujudan ketuanan rakyat tanpa kewujudan ketuanan Melayu di Malaysia bermakna penindasan golongan minoriti terhadap kaum majoriti. Jika ini berlaku maka ia tiada beza dengan apa yang pernah berlaku sebelum tahun 1994 di negara Afrika Selatan iaitu yang dinamakan sistem aparteid.

Dalam membicarakan konsep ketuanan Melayu perkara pertama yang harus diinsafi oleh semua pihak adalah konsep ini tidak sekali-kali membawa konotasi perhubungan submisif yang wujud antara tuan dan hamba sebagaimana yang lazimnya difahami.

Konsep ketuanan Melayu wujud semata-mata hasil manifestasi faktor demografik negara dan kontrak sosial antara kaum yang diijmakkan semasa negara mencapai kemerdekaan.

Ia sebenarnya telah dibayar dengan harga yang cukup mahal oleh orang Melayu apabila mereka terpaksa menerima hakikat bahawa Tanah Melayu akan selama-lamanya berubah dari negara yang bersifat eka kaum kepada pelbagai kaum. Orang Melayu tidak mempunyai pilihan di dalam soal ini. Sudahlah apabila golongan imigran di bawa masuk ke bumi Tanah Melayu orang Melayu tidak dirundingi, untuk memperoleh kemerdekaan mereka terpaksa pula menerima kerakyatan yang diberikan kepada kaum imigran.

Persepsi bahawa wujud pertembungan di antara ketuanan rakyat dan ketuanan Melayu timbul kerana ketidakprihatinan malahan ketidakpedulian sesetengah pihak terhadap dokumen paling asas negara iaitu Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara.

Sebenarnya kajian yang teliti terhadap dokumen ini akan membawa kita kepada satu kesimpulan yang jelas iaitu konsep ketuanan rakyat (antara lainnya dilambangkan melalui peruntukkan-peruntukkan Perkara 40 (1) & (1A), Perkara 43 (2),(3),(4) & (5), Perkara 46 (1) dan Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan).

Ketuanan Melayu adalah konsep- konsep yang sememangnya sudah dimaktubkan oleh undang-undang tertinggi negara.

Semenjak merdeka orang Melayu adalah penduduk majoriti negara ini, hari ini orang Melayu membentuk 65 peratus penduduk Malaysia. Disebabkan faktor ini jawatan Perdana Menteri dan majoriti anggota Kabinet serta ahli-ahli Parlimen semenjak merdeka dipegang oleh orang Melayu.

Selain daripada fakta bahawa orang Melayu adalah penduduk majoriti negara ini asas utama yang mengukuhkan lagi konsep ketuanan Melayu di dalam sistem pemerintahan negara adalah Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan yang mewujudkan institusi Yang di- Pertuan Agong selaku Ketua Negara bagi Malaysia.

Mengikut Perlembagaan Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Cabang Eksekutif (Perkara 39) di mana selaku Ketua Negara pemerintahan Malaysia dijalankan di atas nama baginda.

Baginda juga adalah salah satu elemen yang membentuk cabang legislatif selain Dewan Negara serta Dewan Rakyat.

Baginda melantik Tuan Yang Terutama, Yang Dipertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja, melantik Perdana Menteri, Kabinet dan anggota pentadbiran persekutuan yang lain, melantik hakim-hakim persekutuan, dan merupakan Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.

Konsep ketuanan Melayu termeterai melalui pemegang jawatan ini kerana Yang di-Pertuan Agong dipilih setiap lima tahun sekali oleh Majlis Raja-Raja dari kalangan sembilan orang Raja-Raja Melayu yang sedang bertakhta. Hanya Raja-Raja Melayu yang berhak dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Asas ini diperkukuhkan lagi melalui peruntukan Perkara 3(1), 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 3(1) memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi negara, agama yang menjadi asas kemelayuan itu sendiri. Mengikut Perkara 160 tiga kriteria utama untuk seseorang itu diktiraf Melayu adalah individu tersebut mestilah seorang penganut agama Islam, bertutur bahasa Melayu dan menurut adat istiadat Melayu.

Perlembagaan Persekutuan selaku undang-undang tertinggi negara tidak pula menjadikan penganutan agama tertentu sebagai syarat pengiktirafan etnik tertentu bagi seseorang individu mahupun memberikan taraf agama rasmi kepada agama anutan individu terbabit.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan pula menjadikan Bahasa Melayu (bukan Bahasa Malaysia) sebagai bahasa kebangsaan tunggal negara, peruntukkan ini diperkukuhkan lagi oleh Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Tanggapan banyak pihak bahawa hanya Peruntukan Perkara 153 yang memaktubkan hak-hak istimewa orang Melayu satu-satunya bukti ketuanan Melayu dalam konteks politik adalah tersasar jauh dari realiti yang ada.

Pihak-pihak yang menolak konsep ketuanan Melayu sebenarnya menolak Perlembagaan negara yang sedia ada dan rata-ratanya bersifat perkauman.

Ini kerana penolakan ketuanan Melayu bermakna mereka sebenarnya menolak legitimasi sistem Raja Berperlembagaan yang sedang kita amalkan hari ini.

Mereka menolak kedudukan Islam sebagai agama rasmi tunggal negara, mereka menolak kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara serta mereka menolak hak-hak keistimewaan orang- orang Melayu sebagai pribumi asal Tanah Melayu.

Comments (0)Add Comment

Write comment
You must be logged in to a comment. Please register if you do not have an account yet.

busy
 
< Prev   Next >
Username Password
Remember Me | Register | Lost Password?

Q & A with Razak



View Full Calendar