|
Mekanisme terbaik pulihkan integriti kehakiman |
|
|
|
|
Thursday, 10 April 2008 07:30am |
|
©Utusan Malaysia
(Digunakan dengan kebenaran)
CADANGAN penubuhan Suruhanjaya Kehakiman yang sentiasa disebut-sebut sejak lebih
10 tahun lalu mendapat perhatian Persidangan Hakim 2008.
Ketua Hakim Negara, Datuk Abdul Hamid Omar turut bersetuju dengan cadangan
tersebut namun persetujuan beliau itu ada syaratnya.
Penubuhan suruhanjaya itu hanya boleh dilaksanakan jika ia dapat membantu
memulihkan keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman serta badan eksekutif yang
berkaitan dengannya.
Sememangnya mekanisme yang benar-benar cekap dan berkesan diperlukan dalam soal
pelantikan hakim sesuai dengan integriti badan kehakiman itu sendiri.
Ia juga perlu telus selain sifar daripada unsur-unsur melobi jawatan, jauh
sekali ada campur tangan pihak-pihak tertentu.
Ini kerana kerusi hakim hanya boleh diisi oleh mereka yang benar-benar layak
serta ikhlas untuk mengangkat keadilan.
Maka jika ada unsur lobi-melobi atau semata- mata kerana faktor kekananan dalam
perkhidmatan menyebabkan seseorang itu dilantik ke jawatan hakim, sudah pasti
integriti badan kehakiman terjejas.
Lantas cadangan penubuhan suruhanjaya yang telah acap kali diajukan kepada
kerajaan dilihat sebagai mekanisme terbaik menguruskan soal pelantikan hakim.
Dengan wujudnya suruhanjaya itu, akan ada garis pemisah antara badan kehakiman
dan eksekutif. Dalam erti kata lain kuasa melantik hakim yang kini di tangan
orang politik diserahkan kepada suruhanjaya.
Tetapi ia mesti berbalik kepada objektif utamanya iaitu untuk menebus tanggapan
negatif terhadap badan kehakiman serta badan eksekutif yang ada hubung kait
dalam hal ehwal tersebut.
Tidak ada gunanya jika sebuah suruhanjaya ditubuhkan tetapi hasilnya tidak ke
mana, yang rugi ialah rakyat bukan sahaja tidak mendapat keadilan malah wang
cukai yang dibayar setiap tahun disia-siakan begitu sahaja.
Oleh itu perkara utama yang perlu diberi perhatian dalam mengetengahkan cadangan
penubuhannya ialah memastikan fungsi serta bidang kuasa suruhanjaya dipatuhi.
Bahawa sehingga kini kerajaan masih tidak menyahut gesaan supaya suruhanjaya
seumpama itu ditubuhkan mungkin didorong oleh pelbagai faktor.
Ia antara lain mungkin disebabkan oleh kesukaran untuk memastikan suruhanjaya
itu benar-benar menepati matlamatnya.
Ini terutamanya dalam soal mencari anggota suruhanjaya yang berintegriti,
berpengetahuan, tidak rasuah, adil dan tiada kepentingan tersembunyi.
Malah seperti yang ditegaskan oleh Ketua Hakim Negara, paling penting ialah
memastikan suruhanjaya itu tidak dilihat sebagai saluran untuk melobi.
Sesungguhnya, jika suruhanjaya itu diyakini mekanisme terbaik untuk memastikan
ketelusan dan akauntabiliti institusi kehakiman, maka inilah masanya untuk
melaksanakan cadangan tersebut.
|