|
©Berita Harian
(Digunakan dengan kebenaran)
Oleh Syuhada Choo Abdullah
KUALA LUMPUR: Majlis Peguam menyifatkan pengecualian Ketua Polis Negara, Tan Sri
Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, dalam siasatan dakwaan
liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai tindakan tepat dan dapat
menyumbang kepada persepsi positif umum terhadap siasatan kes itu.
Naib Presidennya, Ragunath Kesavan, berkata perkembangan itu sedikit sebanyak
mencerminkan ketelusan kerajaan dalam pengendalian kes Penasihat Parti Keadilan
Rakyat (PKR) itu.
“Ini adalah satu langkah yang baik. Kita menerima keputusan Perdana Menteri dan
berharap ia dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau mengulas laporan akhbar semalam yang memetik
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai berkata Musa dan Abdul Gani tidak akan
terbabit dalam siasatan kes dakwaan liwat terhadap Anwar.
Selain itu, Abdullah berkata, pegawai yang mengendalikan kes itu juga tidak akan
membuat rujukan berkaitan kes berkenaan kepada mereka.
Musa dan Abdul Gani, masing-masing pegawai penyiasat dan pihak pendakwa dalam
siasatan serta pendakwaan kes liwat ke atas Anwar kira-kira 10 tahun lalu.
Selasa lalu, Anwar memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dengan
mendakwa ada banyak lagi bukti berhubung pembabitan kedua-dua pegawai terbabit
dalam pemalsuan dan penyembunyian fakta siasatan kes liwat pada 1998.
Ragunath berkata, keputusan tidak membabitkan Musa dan Abdul Gani dalam siasatan
kes kali ini adalah normal kerana ada laporan terhadap mereka.
Sekiranya perlu, beliau berkata, pegawai penyiasat boleh merujuk kes itu kepada
Ketua Unit Pendakwaan di Pejabat Peguam Negara, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden.
Sementara itu peguam Anwar, Sivarasa Rasiah, ketika dihubungi bagaimanapun
menyifatkan langkah berkenaan sebagai masih belum memadai.
“Tidak susah membayangkan mereka (Musa dan Abdul Gani) masih boleh memainkan
peranan walaupun tidak dilihat (berbuat sedemikian) kerana mereka ketua
kedua-dua jabatan berkenaan,” katanya.
|