|
©Mingguan Malaysia
(Digunakan dengan kebenaran)
PEGUAM Americk Singh Sidhu pada sidang akhbar di ibu pejabat Parti Keadilan
Rakyat (PKR) Khamis lalu menjelaskan tentang isi kandungan surat akuan bersumpah
yang dibuat oleh penyiasat persendirian P. Balasubramaniam.
Antara penjelasan beliau ialah apa yang dikatakan oleh penyiasat persendirian
yang diupah oleh penganalisis politik, Abdul Razak Baginda di dalam akuan
bersumpah itu tidak diketahui sama ada benar atau sebaliknya.
Beliau menjelaskan, inti pati surat akuan bersumpah itu antara lain
menyenaraikan tentang apa yang didengar, diberitahu dan diceritakan oleh Abdul
Razak kepada Balasubramaniam berhubung kes pembunuhan Altantuya Shaariibu yang
didakwa melibatkan nama-nama besar politik tanah air termasuk pemimpin nombor
dua negara.
Americk menekankan beberapa kali bahawa Balasubramaniam yang ketika itu anak
guamnya tidak mengetahui sama ada apa yang didengar, diberitahu dan diceritakan
kepadanya itu benar atau tidak.
Sebaliknya anak guamnya itu hanya membuat kenyataan bersumpah mengenai apa- apa
yang disampaikan oleh Abdul Razak (nama itu disampuk oleh Penasihat Parti
Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim) kepada beliau.
Maksudnya, segala yang dilaporkan di dalam akuan bersumpah itu bukan berupa
keterangan yang dalam pengetahuan sebenar Balasubramaniam tentang tahap
kesahihannya – sebaliknya apa yang diperincikan semata-mata bersandarkan kepada
apa yang disampaikan oleh satu pihak lain kepada beliau.
Apabila ada penegasan seumpama itu maka boleh sahaja dikaitkan wujudnya unsur-
unsur dengar cakap (hearsay) di dalam akuan bersumpah tersebut.
Semestinya apabila ia dalam kategori dengar cakap maka kredibiliti keterangan
tersebut boleh saja dipersoalkan malah dalam kategori pembuktian, keterangan
dengar cakap sememangnya tidak boleh diterima sama sekali.
Selepas kegemparan kes liwat melibatkan penasihat PKR sehingga membawa kepada
pelucutan jawatan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998,
masyarakat Malaysia diperkenalkan secara aktif apa itu akuan bersumpah, atau
akuan berkanun.
Ada sahaja akuan bersumpah dibuat oleh mereka yang dinamakan atau didakwa
terlibat dalam kes salah laku Anwar, semata- mata untuk memperjelaskan sejauh
mana penglibatan mereka di dalam kes tersebut.
Ketika itu boleh sahaja disimpulkan betapa rakyat Malaysia teruja dengan cerita
demi cerita yang tidak diketahui ke tahap mana kesahihannya seperti yang
terkandung di dalam akuan bersumpah – sama ada ia betul atau tidak semacam tidak
penting sama sekali.
Yang lebih penting ialah keenakan telinga mendengar kesinambungan hikayat yang
dibentangkan.
Dan yang lebih penting lagi ialah kesemua cerita itu dipersembahkan dalam bentuk
yang amat menarik iaitu di dalam bentuk akuan bersumpah
Mengambil iktibar perkembangan di akhir tahun 1980-an, boleh sahaja dibuat
kesimpulan rakyat Malaysia semakin memahami apa itu akuan bersumpah serta di
mana tahap nilai kesahihannya, apatah lagi didorong oleh fakta bahawa ada di
antara akuan bersumpah yang senyap begitu sahaja.
Namun perkembangan terkini, trend akuan bersumpah untuk sesi terbaru Jun/Julai
menunjukkan tahap pemikiran rakyat Malaysia dalam menapis segala cerita atau
maklumat yang terkandung di dalamnya masih boleh dipersoalkan.
Kepercayaan
Mungkin ia amat berkait rapat dengan soal setia dan
kepercayaan terhadap individu yang dinamakan di dalam sesuatu akuan bersumpah.
Jika orang yang terlibat itu adalah menjadi idola, maka kecenderungan untuk
mempercayai dia terlibat dalam sesuatu salah laku adalah tipis, begitu juga
sebaliknya.
Soal kesahihan menjadi nombor dua, dalam keadaan tertentu menjadi nombor yang
terakhir untuk dipercayai.
Perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sepatutnya mendidik
rakyat Malaysia untuk semakin bijak membezakan antara yang sahih dan batil namun
keseronokan membaca satu demi satu cerita panas menerusi paparan blog dan laman
web sensasi menyebabkan masyarakat kita sedikit kelabu untuk berfikir secara
rasional.
Bukan itu sahaja, pengertian akuan bersumpah itu serta sejauh mana kesahihan
keterangan yang terkandung di dalamnya gagal dimengertikan jauh sekali difahami
oleh kebanyakan rakyat di negara ini.
Bukan di peringkat orang kampung sahaja yang tidak tahu apa erti akuan bersumpah
serta tahap penerimaan cakap-cakap yang terkandung di dalamnya malah ada juga
kalangan lulusan universiti yang agak jahil mengenainya.
Sebab itu apabila timbul aduan bersumpah Raja Petra Kamaruddin yang terkandung
di dalamnya hikayat kes pembunuhan wanita Mongolia, banyak yang percaya dan mula
membina asas kepercayaan bahawa semua dakwaan pengendali blog Malaysia Today itu
sebagai benar, tiada yang tidak benar melainkan benar belaka.
Keyakinan orang ramai terhadap kesahihan dakwaan Raja Petra bukan semata-mata
bersandarkan ‘cerita panas’ yang disampaikan oleh beliau sebaliknya ia juga
didorong oleh kefahaman kononnya akuan bersumpah itu adalah sesuatu yang sahih
dan tidak boleh dipertikaikan sama sekali.
Ramai kalangan rakyat Malaysia mengkagumi status akuan bersumpah, kononnya oleh
kerana perkataan sumpah itu maka segala apa yang diceritakan oleh orang yang
membuat akuan bersumpah itu adalah benar.
Sebab itu apabila tersebarnya perihal akuan bersumpah Raja Petra ramai yang
mendahului siasatan polis dan bertindak sebagai hakim mengadili kes di mahkamah
sendiri bahawa si polan-si polan bersalah kerana terlibat dalam pembunuhan
wanita Mongolia.
Begitu juga dengan akuan bersumpah Balasubramaniam. Biar pun kemunculan secara
tiba-tiba namun reaksi rakyat Malaysia amat hebat biar pun ada fakta yang amat
mencurigakan.
Apa lagi selepas tidak sampai 24 jam akuan bersumpah Balasubramaniam ditarik
balik sambil menjelmakan pula unsur-unsur paksaan serta ugutan - sudah pasti
kredibiliti akuan bersumpah semakin diragui.
Namun adakah rakyat Malaysia bijak untuk menilai perkembangan yang semakin
mengelirukan ini dan siapakah yang menjadi mangsa kewujudan satu per satu akuan
yang tidak dijangka akan kemunculannya.
Hakikatnya siapa pun tidak peduli tentang bagaimana akuan bersumpah dibuat dan
adakah semua orang boleh membuat akuan bersumpah.
Biar pun semua orang percaya bahawa akuan bersumpah itu dibuat oleh seseorang
yang mengetahui bahawa apa yang diperkatakan adalah benar, namun ia tidak
semestinya begitu.
Asal akuan bersumpah itu ialah ia merupakan dokumen mengandungi keterangan yang
diberi di bawah ikrar.
Pengakuan secara bertulis itu dibuat di hadapan Pesuruhjaya Sumpah dengan
bayaran tidak sampai RM10 pun.
Isi kandungannya kemudian dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Sumpah yang berkenaan
dan kemudian diperakukan iaitu selepas individu yang membuat pengakuan faham isi
kandungan dokumen tersebut.
Pengadu kemudian diminta menurunkan tandatangan di tiga salinan (akuan berkanun
itu) dan pesuruhjaya tersebut memperakuikan setiap salinan.
Dari sudut undang-undang, kandungan akuan bersumpah yang sekadar memperincikan
apa yang diceritakan oleh orang lain kepada individu yang membuat laporan
hanyalah berbentuk ‘hearsay’ atau dengar cakap.
Seksyen 60 Akta Keterangan 1950 secara jelas menggariskan bahawa sesuatu
keterangan itu mestilah memenuhi syarat antara lain ia merujuk kepada bukti yang
dilihat atau didengar sendiri oleh saksi.
Asas dalam undang-undang bahawa keterangan dengar cakap tidak boleh
diterimapakai di mahkamah. Antara sebab penolakan keterangan dengar cakap ialah
kerana kurangnya kredibiliti keterangan tersebut.
Penipuan
Malah kemungkinan berlakunya penipuan menerusi akuan
bersumpah amat besar. Ada pihak yang mengambil kesempatan untuk menjatuhkan
pihak-pihak lain menerusi akuan bersumpah.
Perlu disimpulkan bahawa afidavit dan akuan bersumpah merupakan
kenyataan-kenyataan bertulis yang disahkan menerusi sumpah bahawa ia adalah
benar. Elemen utama kedua-duanya ialah ia merupakan dokumen undang-undang untuk
menentukan hak seseorang di sisi undang-undang dengan disahkan menerusi angkat
sumpah
Dalam amalan perundangan, afidavit digunakan dalam prosiding mahkamah untuk
memperkenalkan bukti manakala akuan bersumpah pula tidak semestinya berakhir di
mahkamah.
Elemen paling penting untuk kedua-duanya ialah segala isi kandungannya adalah
sekadar cakap-cakap sensasi selagi ia tidak dibuktikan dengan cara mengemukakan
saksi-saksi kredibel dan dalil-dalil yang sahih.
Bagaimanapun bagi umat Islam cara terbaik untuk mereka mencari kebenaran dan
membuktikan seseorang itu tidak bersalah terhadap tuduhan yang dilemparkan ialah
dengan bersumpah di hadapan al-Quran.
Namun begitu kita tidak boleh mengenepikan begitu sahaja perbuatan memperalatkan
akuan bersumpah tersebut. Ini kerana apabila tuduhan dilemparkan sama ada ia
benar atau tidak, ia sudah tentu memberi kesan kepada orang yang dituduh.
Keadaan ini sudah tentulah tidak adil kepada mereka yang benar-benar tidak
bersalah.
|