|
©Utusan Malaysia
(Digunakan dengan kebenaran)
Oleh Oleh Herman Hamid (Wartawan utusan)
Walaupun tidak semestinya bersetuju dengan cara Majlis Peguam dalam
mengendalikan forum tersebut, namun isu yang diketengahkan itu diakui ada
kewajaran untuk dibincangkan.
Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, salah satu cabaran utama yang
dihadapi Malaysia adalah untuk menangani isu-isu yang melibatkan kedua-dua
perkara tersebut.
Isu-isu ini pula adalah sesuatu yang cukup mudah mencuit sensitiviti yang jika
tidak ditangani dengan penuh cermat dan berhati-hati boleh membawa kepada
ketegangan kaum.
Banyak insiden yang telah berlaku termasuk yang paling diingati bagaimana
peristiwa Natrah di Singapura dipisahkan daripada suaminya telah menimbulkan
kemarahan orang Islam ketika itu.
Walaupun peristiwa itu telah lama berlaku namun iktibar daripadanya tidak harus
sesekali dipandang remeh dalam soal konflik antara perundangan Islam dan
perundangan sivil.
Pada umumnya sehingga ke hari ini, isu-isu melibatkan penukaran agama,
perkahwinan campur dan sebagainya masih dirasakan belum mempunyai jalan
penyelesaian yang mutlak.
Banyak kes seperti itu yang telah ditangani pihak berkuasa nampaknya tidak dapat
memuaskan hati kedua-dua belah pihak yang terlibat hingga ada kalanya
mencetuskan perdebatan hangat.
Terbaru bagaimana Majlis Peguam tidak lama dahulu menganjurkan forum terbuka
tentang isu-isu yang timbul dalam perkahwinan bukan Islam apabila salah seorang
pasangannya menukar agama kepada Islam.
Walaupun tidak semestinya bersetuju dengan cara Majlis Peguam dalam
mengendalikan forum tersebut, namun isu yang diketengahkan itu diakui ada
kewajaran untuk dibincangkan.
Sememangnya ia memerlukan jalan keluar yang boleh diterima semua pihak, baik
yang Islam mahu pun bukan Islam walaupun konflik seperti ini adalah sesuatu yang
rumit untuk ditangani kerana ia memerlukan kefahaman dan toleransi.
Antara kes yang selalu mendapat liputan media ialah tuntutan jenazah bagi
seorang mualaf, penceraian seorang saudara baru dengan pasangannya yang bukan
beragama Islam dan isu-isu yang berbangkit dari situasi itu seperti hak
penjagaan dan nafkah.
Persoalan timbul, undang-undang manakah yang perlu diikuti sama ada
undang-undang syariah atau undang-undang sivil kerana di satu pihak beragama
Islam dan di satu pihak bukan beragama Islam.
Walaupun bentuk penyelesaian kepada konflik ini telah wujud dengan cara merujuk
kepada Mahkamah Syariah namun ada ketikanya ada suara-suara yang masih tidak
berpuas hati dengan kaedah seperti itu.
Dan apabila tiada kerjasama di pihak bukan Islam, ia sendiri menyukarkan tugas
Mahkamah Syariah yang tidak dibantu oleh bukan Islam untuk tampil memberi
keterangan.
Mungkin di sini ia memerlukan satu platform rasmi yang dapat diterima kesemua
pihak agar tidak timbul sebarang kesangsian.
Oleh sebab itu kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini untuk
menubuhkan Institut Kemajuan Pengajian Islam (IAIS) bagi membantu mencari
penyelesaian mengenai sesetengah isu kontroversi amat dialu-alukan.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata, institut itu akan terlibat mencari
penyelesaian isu penukaran agama dan kerumitan-kerumitan yang timbul apabila
perkahwinan campuran dimansuhkan.
"Dengan bantuan IAIS ia boleh membantu mencegah isu seperti itu dari berterusan
melanda negara yang mempunyai pelbagai etnik dan masyarakat berbagai-bagai
agama. Saya harap mendapatkan pandangan daripada mereka yang berkaitan sebelum
mengambil agensi yang bertanggungjawab dalam pentadbiran Islam bagi mencari
penyelesaian yang mencegah kontroversi yang sama berlaku sejak beberapa tahun
lepas," katanya.
Dalam sebuah negara yang mempunyai dua sistem perundangan bagi hal kekeluargaan
dan peribadi untuk yang bukan Islam dan Islam, maka sudah tentu langkah-langkah
penyelesaian kepada konflik ini perlu memenuhi kehendak syariah.
Sebab itu jaminan Abdullah bahawa dalam menyelesaikan isu yang sukar seperti itu,
asas nilai-nilai Islam mengenai kehakiman, taat kepada agama dan perasaan belas
kasihan akan dirujuk adalah amat melegakan.
"Ulama dan ahli teologi mestilah memegang nilai-nilai ini dalam perintah mereka,
sementara hakim-hakim dan peguam-peguam kita mestilah menyampaikan ini dalam
pentadbiran undang-undang mereka," kata beliau.
Kesungguhan yang ditunjukkan Abdullah itu seharusnya disokong rakyat berbilang
agama di negara ini kerana ia dilakukan untuk memastikan keharmonian.
Seperti juga kata Abdullah, masalah-masalah itu bukanlah sesuatu yang terlalu
rumit sehingga tidak dapat diselesaikan sebaliknya dalam masa yang sama tidak
boleh diambil ringan seolah-olah masalah ini mampu ditangani akhirnya.
"Bagaimanapun, kita sudah tentu boleh memulakan kerja keras untuk mencari
penyelesaian konkrit untuk cabaran-cabaran seperti itu," ujarnya.
Selain itu, dari satu sudut yang lain Abdullah turut menyentuh bagaimana
keterbukaan melalui dialog yang diadakan dengan pihak yang berkaitan dalam
beberapa isu tertentu mampu membantu mendapatkan penyelesaian serta jalan keluar
yang lebih cepat.
"Kita harap kita akan dapat memahami supaya dapat lebih awal-awal lagi mengambil
apa-apa jua langkah supaya tidak menimbulkan apa-apa masalah yang tidak diingini
itu," katanya.
|