|
©Harian Metro
(Digunakan dengan kebenaran)
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
KUALA LUMPUR: Seorang gadis maut apabila tali yang digunakan untuk turun melalui
tingkap di tingkat sembilan sebuah kondominium mewah di Bukit Kiara di sini,
terputus ketika dia cuba melarikan diri dari rumah untuk bertemu kekasihnya.
Dalam kejadian jam 6 pagi kelmarin, mangsa yang berusia 22 tahun parah di kepala
dan tubuh.
Sumber polis berkata, hasil laporan bedah siasat, mangsa mengandung beberapa
bulan hasil hubungan dengan teman lelakinya.
Menurutnya, gadis yang kerap melarikan diri dari rumah itu dikurung dalam bilik
tidur oleh ibu bapanya yang bimbang dia mengulangi perbuatan sama.
“Pada hari kejadian, dia dikatakan mengambil tali di
dapur sebelum mengikatnya pada tingkap bilik untuk turun kondominium itu.
“Teman lelaki gadis terbabit menunggu di bawah untuk menjemput mangsa yang mahu
melarikan diri buat kali ketiga,” katanya.
Tali digunakan mangsa bagaimanapun terputus menyebabkan gadis itu terhempas ke
jalan di bawah kondominium terbabit.
Namun, kejadian itu langsung tidak disedari kekasihnya yang berada dalam kereta.
Difahamkan lelaki berkenaan yang menyangka kekasihnya mengubah fikiran kemudian
beredar dari situ.
“Mayat mangsa yang ditemui penghuni kondominium kemudian dihantar ke Hospital
Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat. Pemeriksaan mendapati mangsa mengandung
beberapa bulan hasil hubungan dengan lelaki itu,” katanya.
Kata sumber itu, siasatan mendapati mangsa menjalin hubungan cinta terlarang
dengan seorang lelaki berusia 34 tahun dari Klang, Selangor.
“Bagaimanapun, hubungan itu tidak direstui berikutan perwatakan lelaki terbabit
tidak disenangi ibu bapa mangsa. Difahamkan, mangsa mula mengenali lelaki itu
sejak dua tahun lalu selepas berkenalan melalui Internet.
“Sejak itu, mangsa kerap mengadakan temu janji disusuli dengan tindakan
melarikan diri dari rumah kerana mengikut lelaki berkenaan. Ibu bapa mangsa
pernah membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya pada 19 Mac lalu
selain membuat pendedahan melalui media untuk meminta anak mereka dikembalikan,”
katanya.
Menurutnya, gadis terbabit pulang semula ke rumah keluarganya pada 5 April lalu
selepas pelbagai usaha mencarinya dilakukan.
Tiga hari kemudian, dia sekali lagi melarikan diri ketika bapanya dalam tandas.
Gadis berkenaan yang mendapatkan bantuan dua rakan perempuan berusaha mencari
semula lelaki itu sebelum lesap lebih sebulan.
“Dia akhirnya pulang ke rumah pada 9 Julai lalu sebelum dikurung ibu bapanya
bagi mengelak sekali lagi melarikan diri,” katanya.
Mangsa tetap berdegil dan cuba melarikan diri dengan memanjat turun dari
kondominium didiami sebelum terjatuh dan mati.
“Setakat ini, kes itu diklasifikasi sebagai mati mengejut dan tidak membabitkan
unsur jenayah,” katanya.
|