|
©Utusan Malaysia
(Digunakan dengan kebenaran)
Oleh Mohd Khuzairi Ismail (Wartawan Utusan)
KELONGGARAN berpolitik di kalangan mahasiswa masih terbatas kepada tujuan
sebenar mereka berada di universiti iaitu untuk menuntut ilmu dan menjadi
pelajar yang cemerlang.
KETERBUKAAN kerajaan dalam pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU)
1971 sememangnya ditunggu-tunggu oleh banyak pihak, yang selama ini menilai
pelaksanaannya sebagai tidak menghormati semangat demokrasi.
AUKU terutamanya perkara yang terkandung di bawah Seksyen 15 sejak sekian lama
menjadi senjata sesetengah pihak yang mempolitikkannya dan mengaitkan dengan isu
kebebasan bersuara di kalangan mahasiswa.
Hakikatnya, aspirasi politik yang dibawa oleh mahasiswa sangat dekat dengan apa
yang berlaku dalam arus politik perdana.
Malah, sebahagian besar daripada mahasiswa juga sudah melepasi umur yang
melayakkan mereka untuk mengundi, justeru pengaruh politik di sebalik tembok
universiti sedikit sebanyak akan menyusup masuk ke dalam kampus dan mempengaruhi
penilaian undi mereka.
Di sinilah perlunya untuk AUKU itu dipinda supaya lebih memberikan kebebasan
kepada mahasiswa dan kuasa autonomi kepada universiti selain kelonggaran
menganjurkan debat melibatkan pihak luar.
Malah seperti yang dijelaskan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed
Khalid Nordin, pindaan tersebut juga bertepatan dengan perkembangan semasa yang
menyaksikan mahasiswa terdedah dengan pelbagai sumber maklumat termasuk
Internet.
Apatah lagi ketika politik di negara ini selepas pilihan raya lalu banyak
dikaitkan dengan perubahan selera generasi muda, menyekat kebebasan mahasiswa
untuk menilai perkembangan politik semasa dari kaca mata mereka boleh memberikan
tanggapan negatif yang berterusan kepada kerajaan.
Namun, di sebalik kebebasan itu, mahasiswa seharusnya menyedari batas-batas
berpolitik selayaknya sebagai seorang pelajar supaya ia tidak mengganggu
prestasi pelajaran yang menjadi matlamat utama mereka berada universiti.
Lalu, pastinya tidak kena apabila mahasiswa menjawat jawatan dalam mana-mana
parti politik atau cuba menubuhkan cawangan atau bahagian parti tertentu di
dalam kampus yang jelas bercanggah dengan matlamat mereka untuk menuntut ilmu.
Menyambut baik keterbukaan kerajaan dalam pindaan AUKU itu, pensyarah di Fakulti
Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad berkata, AUKU
sewajarnya dilihat dalam konteks mahasiswa sebagai seorang warganegara.
Atas kesedaran itu katanya, AUKU seharusnya berperanan mendidik mahasiswa
mengenai hak-hak mereka untuk berhubung dengan masyarakat dan bersuara mengikut
undang-undang yang dibenarkan.
Dilihat sebagai ruang yang adil kepada kelompok mahasiswa untuk mencerminkan
semangat kewarganegaraan mereka, pindaan AUKU itu juga secara jangka masa
panjang dapat melahirkan pemimpin pelapis yang berkualiti yang akan mewarisi
kepimpinan negara pada masa depan.
DemokrasiIa juga wajar dilihat sebagai satu ruang dan peluang kepada mahasiswa
untuk belajar membuat keputusan dan berdepan dengan cabaran dari sudut politik
terutamanya yang membabitkan aliran pemikiran generasi muda.
''Pindaan itu merupakan tindak balas positif kerajaan terhadap generasi muda di
institusi pengajian tinggi untuk memahami dengan jelas konsep demokrasi serta
tanggungjawab mereka sebagai seorang warganegara dan pemimpin yang baik pada
masa akan datang.
''Ia juga harus dilihat sebagai ruang kepada pelajar untuk lebih fleksibiliti
dalam membincangkan soal-soal hak asasi mereka dan diinterpretasikan pula dari
sudut sebagai seorang pelajar," katanya.
Anuar menambah, AUKU sejak sekian lama terlalu dikaitkan dengan aliran politik
perdana menyebabkan pelaksanaannya tidak dilihat bertujuan untuk mendidik
sebaliknya lebih kepada mengongkong kebebasan mahasiswa.
Lebih memburukkan keadaan apabila kebanyakan mahasiswa tidak memahami
perkara-perkara yang terkandung di dalam AUKU serta hak-hak mereka di bawah
peraturan itu.
Justeru pindaan itu katanya, perlu dilihat sebagai sesuatu yang baru dan wajib
diterapkan kepada mahasiswa sehingga wajar diangkat sebagai salah satu sukatan
mata pelajaran wajib di seluruh di seluruh IPT.
''Nafas baru juga perlu disuntik kepada tenaga penggerak dan pelaksana AUKU ini
termasuk pentadbiran IPT dan pensyarah supaya mahasiswa tidak hanya memahami
AUKU daripada apa yang mereka dengar, sebaliknya daripada apa yang mereka
pelajari," katanya.
Tidak menafikan semangat berpolitik yang menebal dalam diri mahasiswa merupakan
mekanisme yang baik ke arah demokrasi, ciri-ciri kepimpinan yang cuba
ditonjolkan itu bagaimanapun sewajarnya disalurkan menerusi medium yang betul.
Mengambil contoh pilihan raya kampus misalnya, mahasiswa sewajarnya menggunakan
kesempatan tersebut untuk membina semangat politik yang betul dengan mengangkat
demokrasi sebagai cara hidup masyarakat bertamadun.
Menjelaskan kebimbangan sesetengah pihak yang melihat kelonggaran berpolitik
kepada mahasiswa itu boleh mengganggu prestasi pelajaran, Anuar berkata, tumpuan
kepada politik adalah bersifat berkala dan bukan sepanjang masa.
Malah dalam kebanyakan masa tambahnya, mahasiswa perlu menumpukan perhatian
kepada pengajian mereka yang diketahui akan menjadi penentu kepada masa depan
yang cemerlang sama ada dalam kerjaya atau arena politik.
''Politik dan pelajaran bagi mahasiswa adalah satu satu komponen yang selari
yang harus dibangunkan untuk menjadi pelajar dan modal insan yang cemerlang
serta melahirkan warganegara serta ahli masyarakat yang mengambil berat mengenai
peranan mereka," katanya.
Ketika ditanya kemungkinan campur tangan politik luar secara keterlaluan dalam
kampus, Anuar menjelaskan, kebebasan berpolitik yang diberikan kepada mahasiswa
harus dihormati oleh semua pihak tanpa ada mana-mana pihak yang cuba mengambil
kesempatan.
Mahasiswa katanya perlu diberi peluang untuk membina kerangka idea dan corak
kepimpinan mereka serta menangani cabaran politik di kampus mengikut cara
sendiri.
''Mahasiswa pastinya lebih tahu bagaimana untuk menguruskan ahli komuniti mereka
dan kelancaran proses itu tidak harus diganggu oleh mana-mana pihak," katanya.
|