|
Contributed by Mohammad
Faizal Bin Che Yusof
KUALA LUMPUR, 22 Julai – Satu seminar berkaitan Akta Orang Kurang Upaya, 2007
telah diadakan di Hotel KL International. .Seminar yang dirasmikan oleh Menteri
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu telah dianjurkan oleh Majlis
Kebangsaan Bagi Orang Buta Malaysia (NCBM).
Antara objektif seminar sehari itu termasuklah sebagai usaha memberi kesedaran
tentang Akta Orang Kurang Upaya, 2007 kepada mereka yang terlibat secara
langsung dengan pembangunan orang kurang upaya (OKU). Selain itu, ia turut
mensasarkan pendedahan kepada OKU perihal hak dan tanggungjawab mereka yang
diperuntukkan di dalam Akta tersebut.
YB Dato’ Dr. Ng Yen Yen dalam ucapan perasmiannya menyeru semua pihak agar
bergabung tenaga dengan kerajaan bagi memastikan objektif Akta tersebut
diwujudkan tercapai. Pembangunan OKU adalah suatu usaha berterusan yang bersifat
menyeluruh. Selain kerajaan di peringkat pusat yang meliputi pelbagai
kementerian, kerajaan-kerajaan negeri dan kerajaan-kerajaan tempatan memainkan
peranan yang amat penting dalam membangunkan dan memberi kemudahan kepada OKU.
Berbanding dengan negara lain, dalam usia muda, kerajaan Malaysia telah
menunjukkan komitmen yang tinggi untuk membangunkan OKU. Akta tersebut adalah
merupakan dokumen utama dan langkah penting yang memperuntukkan hak kepada OKU.
Pewartaan Akta tersebut pada 7 Julai 2008 yang lalu hanyalah suatu permulaan. Ia
perlu disusuli dengan tindakan-tindakan lain yang sewajarnya. Dasar berkaitan
OKU dan Pelan Tindakan Kebangsaan berkaitan OKU mesti diterima oleh jentera
pelaksana dengan seluruhnya dan perlaksanaannya juga mestilah seiringan dengan
Akta tersebut.
Dr. Ng Yen Yen turut memberi kepercayaan kepada badan-badan bukan kerajaan OKU
dalam merancang pembangunan OKU. Ini adalah kerana mereka lebih memahami isu dan
permasalahan OKU. Badan-badan bukan kerajaan tersebut disaran meningkatkan usaha
membangunkan OKU dalam negara ini.
Antara kebimbangan yang disuarakan oleh YB Menteri yang turut dikongsi oleh
pembentang kertas bertajuk “Akta OKU 2007 sebagai Perundangan Khusus”
iaitu Saudara Mahasan Haji Omar, termasuklah statistik OKU. Kini hanya seramai
220,250 OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Bilangan ini
jauh lebih kecil dari anggaran jumlah OKU yang dikeluarkan oleh Pertubuhan
Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 10% dari 27 juta penduduk Malaysia.
Kegagalan menangani statistik yang betul boleh menyebabkan OKU ketinggalan dalam
perancangan pembangunan, khususnya dalam bidang pendidikan.
Pelbagai dana yang diwujudkan kerajaan tentunya sia-sia jika gagal dimanfaatkan
oleh kumpulan sasar. Malah menurut YB Menteri, telah ada segolongan mereka yang
bukan dari golongan OKU datang ke JKM meminta pelbagai skim dan bantuan OKU
untuk diri mereka dengan mendakwa mereka sebagai OKU.
Sebelum meninggalkan majlis, YB Menteri turut melancarkan buku bertajuk “Siapa
bersama mereka” yang diterbitkan oleh NCBM.
Akta Orang Kurang Upaya 2007, Undang-undang Khas Berasaskan Hak
Saudara Mahasan Haji Omar semasa menggalurkan laluan panjang sebelum Akta
tersebut dizahirkan, antara lain, memberi penekanan kepada suatu kerangka
pembangunan OKU yang dikenali sebagai Biwako Millenium Framework 2002. Untuk
membangunkan OKU, adalah perlu prinsip kebajikan yang mendasari perancangan yang
wujud selama ini diubah kepada pembangunan berasaskan hak. Dengan adanya Akta
tersebut, adalah diharap apa jua perancangan bagi manfaat OKU tidak lagi dibuat
atas dasar simpati atau kasihan.
Meskipun diperakui Akta tersebut telah melalui pelbagai perubahan sejak draf
awal dikemukakan pada akhir 1990-an, namun ia hendaklah dilihat sebagai suatu
pembuka jalan kepada perlaksanaan pembangunan OKU yang lebih positif.
Akta Orang Kurang Upaya 2007 dan Harapan Orang Kurang Upaya
Selama ini seorang anak yang dilahirkan kurang upaya hanya akan berjaya bila
didorong rasa ingin berjaya dari dalam diri sendiri. Dengan keupayaan yang
terbatas, ditambah pula dengan tiadanya kemudahan khusus sejak pendidikan awal
hingga tinggi, sememangnya memberi cabaran besar kepada kejayaan seseorang OKU.
Demikianlah yang dilalui oleh Saudara Tuah Atan, pembentang kertas kerja
bertajuk “Akta Orang Kurang Upaya 2007 dan Harapan Orang Kurang Upaya”. Beliau
yang merupakan seorang peguam sejak 21 tahun lalu terpaksa mengharungi setiap
cabaran bersendirian tanpa sokongan sistem yang mantap dari badan-badan berwajib
sejak dari awal persekolahannya.
Dalam memberi ulasan tentang Akta tersebut, beliau menyeru agar perlaksanaan
intipati Akta tersebut diberi perhatian sewajarnya. Apa gunanya akta yang
berjaya dizahirkan jika OKU masih berada pada tahap lama?
Harapan dan kebimbangan beliau turut dikongsi bersama oleh para peserta yang
terdiri dari pelbagai jenis kategori OKU sewaktu forum terbuka membincangkan
Akta tersebut yang diadakan pada sebelah petangnya.
Pelbagai halangan dan diskriminasi yang didepani OKU sehingga kini termasuklah
halangan kepada perkhidmatan perbankan dan kewangan, diskriminasi dalam
perkhidmatan insuran, diskriminasi dalam sistem penerbangan, tiadanya
keselarasan dalam sistem pengangkutan, dan dilema perolehan pekerjaan.
Tahun 2012 sebagai matlamat menghapuskan jurang kepada OKU
Cita-cita kerajaan yang disampaikan melalui Kementerian Pembangunan
Wanita,Keluarga dan Masyarakat yang meletakkan tahun 2012 sebagai tarikh
yangmembebaskan OKU dari segala jurang dan diskriminasi nyatanya mendatangkan
keresahan di kalangan OKU.
Bagi OKU, tempoh tersebut terlalu lama. Kebimbangan tersebut turut disuarakan
oleh Senator OKU pertama negara, YB Prof. Dato’ Dr. Ismail Md Salleh dalam
ucapan perasmian penutupnya.
Tempoh panjang tersebut amat tidak wajar bilamana Akta itu sendiri telah memakan
masa yang begitu lama untuk diwartakan.
Selain tempoh masa yang lama bagi menguatkuasakan sepenuhnya Akta tersebut,
golongan OKU turut prihatin dengan keahlian Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang
Upaya yang akan ditubuhkan menurut peruntukan Akta tersebut. Adakah mereka yang
dilantik kelak benar-benar mewakili OKU bilamana Akta tersebut tidak mempunyai
peruntukan khusus berkenaan ciri-ciri keahlian?
Walau apa pun halangan dan rintangan, Senator Prof. Dato’ Dr. Ismail Md Salleh
menyeru agar semua OKU bersatu suara dan bergabung tenaga ke arah perlaksanaan
sepenuhnya Akta Orang Kurang Upaya 2007 bagi kebaikan OKU seluruhnya.
|