website statistics
feed
Home arrow News arrow Berita/Komen Undang-Undang arrow Mukadimah: Mantap tahap pendakwaan
Advertisement
Mukadimah: Mantap tahap pendakwaan PDF Print E-mail
Sunday, 22 July 2007 08:57am

Datuk Shaik Daud Md. IsmailProsecution rapped for not producing evidence in court

©Mingguan Malaysia (Digunakan dengan kebenaran)
Oleh Noraini Abdul Razak dan Siti Mariam Md. Zain

KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi Ipoh melepas dan membebaskan Azman Ismail atau lebih dikenali sebagai ‘Man Datuk’ bersama empat rakannya tanpa dipanggil membela diri daripada tuduhan membunuh seorang pelajar kejuruteraan mengejutkan banyak pihak.

Hakim Datuk V. T. Singham ketika mengumumkan keputusannya berpendapat proses penyiasatan polis dalam kes itu menimbulkan banyak tanda tanya manakala pihak pendakwaan pula lemah.

Sebulan selepas itu, bekas pengusaha pusat karaoke, Tua Bit dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam dari pertuduhan mengedar 61,750 pil erimen 5, di Batu 9, Cheras pada 25 November 2002. Keputusan tersebut dibuat gara-gara kecuaian pasukan penyiasat sehingga menyebabkan bahan bukti iaitu keseluruhan 49,000 pil khayal termasuk 10,000 yang dianalisis oleh ahli kimia hilang dari simpanan.

Dua contoh kes ini jelas menunjukkan kelemahan pihak penyiasat dan pendakwa ketika mengendalikan sesuatu kes sehingga mendorong pihak mahkamah membuat keputusan yang tidak memihak kepada mereka.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Shaik Daud Md. Ismail ketika ditanya mengenai senario yang membimbangkan itu, mengakui sepanjang pengalamannya sebagai hakim, banyak kes yang dibentangkan oleh pihak pendakwa didapati dilakukan tanpa persediaan yang rapi.

‘‘Saya rasa sedih sebab saya pernah menjadi DPP sebelum ini. Bukan saya sahaja, ada dua tiga orang hakim lagi yang datang dari Jabatan Peguam Negara (JPN), kami berasa sangat sedih apabila terpaksa membuang kes oleh kerana (bukti) pendakwaan tidak mencukupi.

‘‘Bila kita buang kes, masyarakat menyalahkan mahkamah, mereka tidak melihat ia kelemahan Timbalan Pendakwa Raya (DPP),’’ katanya kepada wartawan NORAINI ABDUL RAZAK dan SITI MARIAM MD. ZAIN di Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Selain DPP, beliau yang kini merupakan penceramah di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan Malaysia (ILKAP) menegaskan, pihak yang juga patut disalahkan kerana kelemahan tersebut ialah pasukan penyiasat.

‘‘Kedua-dua pihak ini sepatutnya bekerjasama rapat bagi memastikan sesuatu kes itu sedia untuk dibentangkan di mahkamah,’’ tegas beliau.

MINGGUAN: Sebagai orang yang pernah mengendalikan kes di mahkamah, apa yang Datuk lihat mempengaruhi keadaan sehingga pihak pendakwa gagal melakukan tugas dengan baik?

Datuk Shaik Daud Md. Ismail SHAIK DAUD: Bila satu-satu kes dibuang, banyak perkara yang berlaku. Satunya, kelemahan pendakwaan. Tetapi yang mustahak juga kelemahan penyiasatan. Pihak pendakwa tidak boleh menjalankan pendakwaan jika penyiasatan lemah. Tetapi pada hemat saya, pendakwa harus memanggil pegawai siasatan kalau dia tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara. Dia harus memberitahu atau bertanya kenapa ini tidak cukup, itu tidak ada dan memintanya mencari bukti-bukti lagi. Semasa saya di Jabatan Peguam Negara (JPN), kadang-kadang kami memanggil OCCI (Ketua Jabatan Siasatan Jenayah) dan Pengarah Siasatan Bukit Aman bertanya apa yang berlaku. Kita mahu mengemukakan bukti di mahkamah, kalau tiada bukti apa lagi? Bukti ini pula dicari oleh pegawai siasatan mana-mana jabatan terbabit seperti polis, imigresen atau sebagainya. Kalau tidak buat kerja dengan betul, pendakwa tidak boleh buat apa-apa. Kedua-dua pihak, pendakwaan dan pegawai siasatan, mesti bekerja bersama-sama.

Datuk pernah mengetuai bahagian pendakwaan di JPN, kalau misalnya pihak pendakwa melihat kertas siasatan belum lengkap – tidak cukup bukti atau saksi yang dipanggil tidak relevan, adakah perlu diteruskan sesuatu kes tersebut?

SHAIK DAUD: Tidak perlu. Kenapa perlu cepat? Kadang-kadang kes berprofil tinggi dibawa ke mahkamah segera semata-mata kerana mahu memuaskan hati orang ramai. Kes rumit harus mengambil masa. Tetapi kalaupun hendak dibuat pertuduhan segera, sementara menunggu masa pertuduhan dan perbicaraan, mereka masih boleh melakukan siasatan. Jangan apa sahaja yang polis beri kita terima dan terus bawa ke mahkamah.

Tetapi jika mengambil masa yang lama, kes akan bertimbun-timbun dan ini juga masalah.

SHAIK DAUD: Apa nak buat. Kalau kita tidak tunggu, tiada bukti, pergi ke mahkamah, kes buang, apa guna? Terutamanya sesetengah kes berprofil tinggi. Bagi saya, semua kes bunuh adalah berprofil tinggi. Sebab akibatnya teruk - gantung. Jangan kata sebab membabitkan sesetengah individu, baru dikategorikan sebagai profil tinggi. Jadi kena melakukan yang terbaik. Pegawai penyiasat juga mesti bekerjasama mendapatkan bukti-bukti kukuh. Pergi ke mahkamah dan mendakwa, tetapi tiada bukti, nak buat apa? Akhirnya mahkamah terpaksa buang kes begitu sahaja. Jika ini berlaku, lagi teruk akibatnya.

Kes-kes berprofil tinggi selalunya mendapat perhatian umum. Wajarkah jika pihak pendakwa membiarkan sahaja tekanan-tekanan luar ini?

SHAIK DAUD: Biarkan. Yang penting kita perlu memperjelaskan kes-kes begini - berprofil tinggi adalah rumit, jadi perlu mengambil masa. Kita tidak boleh tergesa-gesa. Kalau tiada bukti, tiada apa yang boleh dibuat. Bawalah DPP dari syurga pun tidak boleh buat apa-apa. Selain itu, persediaan menghadapi kes adalah penting bagi mana-mana DPP. Mereka tidak sepatutnya hanya mengambil fail daripada polis dan pergi ke mahkamah begitu sahaja. Dia sendiri harus membuat persediaan sewajarnya. Apa yang harus dikemukakan dan tidak boleh dikemukakan di mahkamah, DPP perlu tahu peraturan- peraturan ini. Semua akta jenayah harus berada di hujung jari mereka. Jangan kata, saya tidak faham.

Pernah Datuk melihat ada DPP yang tidak bersedia sebelum masuk ke mahkamah?

SHAIK DAUD: Banyak dan saya sedih sebab saya pernah menjadi DPP sebelum ini. Bukan saya sahaja, ada dua tiga orang hakim lagi yang datang dari JPN, kami sangat sedih apabila terpaksa membuang kes oleh kerana (bukti) pendakwaan tidak mencukupi. Bila kita buang kes, masyarakat menyalahkan mahkamah, mereka tidak melihat kelemahan DPP. Tetapi kalau hakim menegur DPP, seperti berlaku di Ipoh baru-baru ini, baru masyarakat tahu.

Sebagai hakim bila melihat kelemahan DPP mengendalikan kes, apa boleh Datuk buat?

SHAIK DAUD: Tidak boleh buat apa-apa. Kalau kita memberi peluang kepada DPP, nampak macam kita menyebelahi mereka. Hakim perlu neutral. Kerana perkara sama juga pernah berlaku kepada pihak pembela. Tetapi kadang-kadang ada juga saya memanggil DPP, tanya kenapa jadi begini dan menasihatkan mereka supaya lebih bersedia.

Dalam hal ini masyarakat melihat hakim yang mengendalikan kes itu yang lemah, bukan DPP?


SHAIK DAUD: Itulah hakikatnya, masyarakat akan menyalahkan hakim kerana mereka tidak nampak kelemahan pendakwaan dan penyiasatan.

Pernahkah berlaku kes-kes yang Datuk telah membuat keputusan kemudian dipersoalkan?

SHAIK DAUD: Banyak. Malah setiap kes seperti kes dadah akan dibuat rayuan kerana ia membawa hukuman gantung. Ada satu, dua kes yang orang tidak sependapat dengan saya tetapi kebanyakannya bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi. Ada juga satu, dua kes yang mungkin kita terlalai atau tidak sedar tetapi bukan mengatakan kita bersalah atau tidak. Kadang-kadang pandangan kita lain daripada Mahkamah Rayuan. Kita mendengar bukti yang diberikan saksi tetapi semasa kita tengok saksi memberikan keterangan, kita boleh tahu dia berbohong atau tidak. Ini tiada dalam rekod. Yang direkodkan ialah apa yang disebut. Mahkamah Rayuan tidak tengok saksi memberi keterangan, tidak mendengar soalan pendakwa. Kita tidak merakamkan soalan, cuma jawapan. Kalau merakamkan soalan dan jawapan, mungkin satu kes mengambil masa lima, enam bulan baru habis. Tetapi dari jawapan yang diberi, kita tahu soalannya.

Apa perasaan Datuk jika mendapati kes terpaksa dibuang hanya kerana kelemahan DPP?

SHAIK DAUD: Saya sedih. Saya berharap kalau ada rayuan dibuat, dalam penghakiman itu disebutkan juga apakah kelemahan-kelemahan menyebabkan kes tersebut dibuang. Saya tidak tahu sama ada pihak pegawai penyiasatan juga membaca penghakiman tersebut. Saya pernah mencadangkan kepada Pengarah Siasatan Bukit Aman supaya apabila satu-satu kes dibuang atau didapati bersalah, penghakiman itu harus disebarkan kepada pegawai siasatan supaya mereka tahu di mana kesilapan yang dilakukan dan di mana usaha harus dipertingkatkan. Setahu saya, hanya DPP yang membaca sebab mereka yang akan membawa keputusan ke Mahkamah Rayuan.

Pernahkah Datuk menghadapi situasi bahawa Datuk tahu kes itu lemah dari segi pendakwaan tetapi terpaksa juga membuat keputusan yang memihak kepada satu pihak lagi?

SHAIK DAUD: Tidak pernah. Kalau ada kelemahan, saya beri peluang kepada mereka. Sebab kes-kes yang saya kendalikan melibatkan hukuman gantung. Kita tidak boleh membiarkan berlaku kesilapan kecil seperti ini. Ada sedikit syak wasangka, mesti dihalusi. Ini berdasarkan prinsip - lebih baik membebaskan 10 orang yang bersalah daripada menghukum seorang yang tidak bersalah. Kalau ada sedikit kecacatan dalam kenyataan beramaran, saya buang. Sebab kita sudah mendengar macam-macam cerita cara mendapatkan bukti seperti ini. Tidak pernah lagi kenyataan beramaran diakui oleh yang dituduh, semua dicabar tentang bagaimana polis mendapatkannya.

Sebelum 1974, tiada kenyataan beramaran. Bila tiada, polis membuat siasatan yang rapi untuk mendapatkan bukti. Bila ada kenyataan beramaran, polis hanya tertumpu kepada ini. Mereka tidak fikir kalau kenyataan beramaran ini dibuang, maknanya tiada bukti lain. Sekarang perkara pertama, kenyataan beramaran. Dulu kalau adapun, dipanggil pengakuan yang diambil oleh majistret.

Mengapa berlaku perubahan selepas 1974?

SHAIK DAUD: Sebab polis barangkali mengatakan susah mendapatkan bukti. Perubahan ini berlaku semasa kes membabitkan Datuk Harun (Idris). Menerusi kenyataan beramaran, kalau tiada paksaan pun orang akan anggap ada paksaan. Tetapi kalau majistret, dia tidak kenal orang itu.

Apakah Datuk melihat kelemahan ketara berpunca kerana kegagalan siasatan pihak polis?

SHAIK DAUD: Apa yang kita baca dalam surat khabar, ia mungkin disebabkan polis, mungkin juga pendakwaan. Sebab kedua-duanya memainkan peranan penting. Jadi kalau ada kelemahan, puncanya sama ada satu pihak atau kedua-duanya sekali.

Tetapi imej buruk dilihat kepada mahkamah?

SHAIK DAUD: Itulah masalahnya. Tetapi baru-baru ini seorang hakim di Ipoh telah menegur cara DPP. Ini yang mahkamah harus lakukan, bila hendak membuang satu-satu kes, berikan sekali sebab-sebabnya mengapa ia perlu dibuang.

Sewaktu mengetuai bahagian pendakwaan di JPN dahulu, apa antara kes berprofil tinggi yang pernah Datuk kendalikan?

SHAIK DAUD: Salah satunya, kes Mokhtar Hashim. Semasa menjadi Ketua Bahagian Pendakwaan di BPR saya mengendalikan kes Datuk Harun Idris. Bukan hendak mengatakan polis lemah, tetapi pegawai siasatan BPR yang bertanggungjawab terhadap kes ini memang bekerja luar biasa. Kami ada bilik operasi, setiap kali balik daripada penyiasatan, mereka akan mengemukakan hasilnya kepada semua orang. Kami boleh mempersoalkan perkara ini tidak cukup dan meminta mereka menyiasat lagi. Dan kami dapat menjalankan kes ini dengan baik.

Dulu BPR mempunyai kuasa mendakwa?

SHAIK DAUD: BPR diberi kebebasan. Walaupun saya daripada JPN dan ditempatkan di BPR, semua keputusan mendakwa atau tidak dibuat oleh saya. Sekarang, mereka perlu merujuk kepada AG dahulu. Ini menyebabkan orang ramai melihat BPR tidak lagi bebas. Ketika mengetuai bahagian ini, saya tidak pernah diganggu oleh mana-mana pihak atau individu. Hari ini norma (budaya) kita ialah wisel blowers are become a victim (orang yang memberi maklumat akan menjadi mangsa).

Apa yang sepatutnya berlaku kepada BPR?

SHAIK DAUD: BPR perlu diberi kuasa penuh dan bebas. Jika tidak, tidak guna wujudkan BPR. Hakikatnya dari dulu memang tiada perubahan berlaku dalam akta BPR tetapi sistem yang berubah.

Tentang AG?

SHAIK DAUD: Dia harus tahu apa yang sedang berlaku. Kalau satu-satu kes dibuang, dia patut menjadi orang yang mengusahakan post-mortem. Pihak DPP dan polis perlu membentangkan sebab- sebab kalah. Kalau ada kelemahan, AG boleh melakukan sesuatu.

Kepada pihak polis?

SHAIK DAUD: Polis harus mempunyai kursus intensif berkaitan penyiasatan yang dijalankan, juga proses pendakwaan supaya mereka tahu apa yang dicari. Pegawai siasatan harus diberi kursus berkenaan pendakwaan sedikit sebanyak agar mereka tahu apa yang perlu dilakukan sebelum DPP mengambil alih tugas pendakwaan.

Perlukah sebarang perubahan dilakukan terhadap institusi itu sendiri?

SHAIK DAUD: Sekarang, institusi kehakiman dan perundangan adalah sama. Jadi seorang DPP mungkin ditukarkan menjadi majistret dan sebaliknya. Saya fikir sudah sampai masa JPN dipisahkan daripada Jabatan Kehakiman. Jika ini dilaksanakan, tahap pendakwaan akan dapat dimantapkan. Apa yang berlaku sekarang, kadang-kadang dia seorang DPP yang bagus tetapi sampai masa perlu dinaikkan pangkat atau sebagainya, maka dia ditukarkan sebagai majistret atau presiden, hakim Mahkamah Sesyen dan sebagainya. Kalau terpisah, mereka akan membina kerjaya dalam satu perkhidmatan. Maknanya, kalau menyertai bidang perundangan, mereka akan terus menjadi DPP yang berpengalaman.

Datuk pernah menjadi DPP, majistret dan hakim, sukarkah sebenarnya untuk menyesuaikan diri dengan tugas-tugas yang diamanahkan?

SHAIK DAUD: Kadang-kadang sukar juga hendak menukar fikiran. Sebagai hakim atau majistret, kita tidak boleh menyebelahi mana-mana pihak. Tetapi tiba-tiba selepas dua tahun, menjadi DPP, maknanya kita juga kena menukar fikiran.

Mungkinkah ini yang menjadi punca utama kelemahan pendakwaan di negara kita?

SHAIK DAUD: Mungkin juga. Setiap kali pertukaran berlaku, JPN akan kehilangan seorang pegawai berpengalaman yang peranannya bukan sahaja menjalankan pendakwaan tetapi memberi tunjuk ajar kepada pegawai-pegawai baru.

Apa situasi yang pernah Datuk alami sewaktu melihat DPP muda terpaksa berdepan dengan peguam yang jauh lebih berpengalaman?

SHAIK DAUD: Memang ada DPP baru agak gementar. Ada kalanya hendak membuat bantahan pun mereka teragak-agak.

Secara jujur, apa kualiti yang ada pada DPP?

SHAIK DAUD: Susah untuk mengatakannya kerana saya tidak lagi berada di dalam (bersara). Sebagai orang luar, nampak mereka lemah. Sebab yang lemah itu, saya tidak tahu. Kerana itu, bagi saya apabila sesuatu kes digugurkan, pegawai penyiasat dan DPP harus duduk bersama dan buat post-mortem untuk mencari di mana kelemahan yang berlaku. Saya tidak pasti sama ada ini dibuat atau tidak.

Comments (0)Add Comment

Write comment
You must be logged in to a comment. Please register if you do not have an account yet.

busy
 
< Prev   Next >
Username Password
Remember Me | Register | Lost Password?

Bar: Look after minority rights