|
©Berita Harian
(Digunakan dengan kebenaran)
Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
PENGHAKIMAN Mahkamah Rayuan Putrajaya dalam kes rayuan dua beradik Au Meng Nam
dan Ming Kong minggu lalu yang dilaporkan sebuah akhbar menarik perhatian.
Ketika membacakan penghakiman itu, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Gopal Sri Ram
menyatakan mahkamah persekutuan (dari segi kedudukan, Mahkamah Persekutuan
adalah lebih atas dari mahkamah rayuan) sudah khilaf keputusannya dalam kes
Adorna Properties Sdn Bhd lawan Boonsom Boonyanit.
Ruangan Peguam Syarie Menulis kali ini tidak berhasrat mengupas prinsip dalam
kes Adorna Properties tetapi melihat pemakaian ‘Doktrin Duluan Mengikat’ di
mahkamah sivil. Dalam kes di atas, mahkamah rayuan memutuskan prinsip dalam kes
Adorna Properties tidak perlu diikuti oleh mahkamah rayuan kerana bertentangan
dengan peruntukan Kanun Tanah Negara.
Dua hakim lain iaitu Datuk Md Raus Sharif dan Datuk Hasan Lah meminta supaya
semakan dibuat tetapi menegaskan mereka terikat dengan keputusan yang dibuat
mahkamah yang lebih tinggi sejajar dengan ‘Doktrin Duluan Mengikat’. Oleh
demikian, mahkamah persekutuan akan membuat semakan terhadap keputusan berkenaan.
Gopal seterusnya mengatakan bahawa keputusan mahkamah mentafsirkan peruntukan
undang-undang secara salah tidak perlu dipatuhi mahkamah bawahan. Dalam hal
demikian, Hakim Gopal tidak mengaplikasikan ‘Doktrin Duluan Mengikat’ itu.
‘Doktrin Duluan Mengikat’ atau ‘stare decisis’ adalah suatu kaedah di
mana prinsip keputusan sesebuah mahkamah yang lebih tinggi terpaksa diikut oleh
mahkamah bawahan tanpa mengambil kira sama ada keputusan terdahulu itu betul
atau sebaliknya.
Doktrin itu bertujuan memastikan keseragaman keputusan mahkamah. Ia juga bagi
menjamin mahkamah bawahan mengikuti keputusan mahkamah atasan.
Realitinya memang ada banyak kes di mana mahkamah bawahan tidak mengikut prinsip
itu secara harfiah dengan memberi pelbagai alasan termasuk membezakan kes
mahkamah bawahan itu dengan kes yang diputuskan mahkamah lebih tinggi. Namun kes
Au Meng Nam dan Ming Kong agak berbeza kerana hakim menyatakan tanpa sebarang
keraguan bahawa mahkamah atasan khilaf dan tidak perlu diikuti prinsipnya.
Sebagai pengamal undang-undang yang dilatih dalam bidang guaman sivil dan
syariah, penulis terpanggil untuk memberi sedikit pandangan sambil membuat
perbandingan apa yang berlaku di mahkamah syariah.
Prinsip ‘stare decisis’ ini tidak terpakai di Mahkamah Syariah. Namun
dalam membuat sebarang keputusan di Mahkamah Syariah, hakim mahkamah bawahan
perlu menghormati prinsip kes yang diputuskan mahkamah lebih tinggi. Tahap
penghormatan itu pula tidak sampai mengikat mereka membuat keputusan tetapi
mempunyai nilai mempengaruhi keputusan mahkamah bawahan saja.
Penerimaan konsep itu boleh dilihat dalam surat Saidina Umar al Khattab kepada
Kadi Kufah, Abu Musa Asyhari bermaksud, “Dan sesiapa yang mendakwakan sesuatu
hak yang tidak ada di tempatnya, atau suatu bukti, maka berilah tempoh kepadanya
sampai ia dapat membuktikan dakwaannya. Kemudian jika dia dapat membuktikan
dakwaannya maka berilah haknya itu tetapi jika dia tidak mampu membuktikannya
maka dia berhak dikalahkan kerana yang demikian itu lebih mantap bagi
kegagalannya dan lebih menampakkan barang yang tersembunyi. Dan jangan sekali-kali
menghalangi kepadamu sesuatu keputusan yang sudah engkau putuskan pada hari ini,
kemudian engkau tinjau kembali lalu engkau memperoleh petunjuk supaya engkau
kembali kepada kebenaran kerana sesungguhnya kebenaran itu harus didahulukan,
tidak dapat dibatalkan oleh apapun sedangkan kembali kepada kebenaran itu lebih
baik daripada terus berada dalam kebatilan.”
Adalah jelas maksud surat itu iaitu sesuatu keputusan salah boleh dipinggirkan
oleh hakim tanpa mengira tahap mahkamah itu sendiri kerana apa yang penting
ialah memberi keadilan dalam sesuatu keputusan.
Pada masa sama, Islam mengakui hakikat seorang hakim walau setinggi manapun
kedudukannya mungkin akan tersilap atau terkhilaf dalam penghakimannya. Oleh
demikian, kepatuhan secara membuta tuli tidak perlu diberikan kepadanya.
Prinsip itu sudah dipakai mahkamah syariah sejak sekian lama. Untuk menguatkan
perkara ini, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sudah mengeluarkan Arahan
Amalan No 1 Tahun 2002 iaitu; ‘Mesyuarat sudah bersetuju dan mengesahkan untuk
menerima pakai keputusan berhubung isu, fakta dan undang-undang yang sama atau
ada persamaan yang sudah diputuskan oleh mahkamah yang lebih tinggi hendaklah
dihormati oleh mahkamah yang lebih rendah.’
Arahan Amalan itu dapat menjamin sebahagian konsep penyeragaman penghakiman
tanpa menafikan kreativiti kehakiman. Dengan itu, hakim mahkamah syariah tidak
boleh mengambil jalan mudah dengan berkata beliau terikat dengan keputusan
mahkamah lebih tinggi.
Hakim perlu membuat penghakiman yang beliau yakin atas keputusannya, dengan
alasan penghakiman yang tepat dan bukan dihadkan oleh mana-mana keputusan lain.
Namun begitu, keputusan mahkamah lebih tinggi adalah menjadi panduan kepada
hakim mahkamah bawahan untuk membuat keputusan.
Apatah lagi pada masa ini kes diputuskan di Mahkamah Syariah sudah mula
dilaporkan dengan lebih sistematik di dalam Jurnal Hukum, Laporan Undang-undang
Shariah dan pelbagai jurnal undang-undang lain.
Dengan cara itu, hakim dapat memperkayakan ilmu mereka dan membuat perbandingan
kes yang dibicarakan di hadapan mereka. Apatah lagi, kita juga perlu akur bahawa
tiada satu kes pun fakta dan persoalannya sama dengan kes yang lain. Dalam hal
demikian, memang wajarlah ada sedikit perbezaan antara keputusan mahkamah itu.
Perbezaan seperti itu perlu dilihat daripada lensa yang positif. Ia membuka
ruang kepada ijtihad dan mengelakkan ketidakadilan di samping menyesuaikan
sesuatu penghakiman dengan fakta kes dan sebagainya.
Perbezaan pandangan sebenarnya bukanlah kelemahan di kalangan umat Islam. Ia
adalah manifestasi keanjalan undang-undang Islam yang boleh disesuaikan
berdasarkan keperluan dan perubahan masa dan tempat.
Tidak salah kita berbeza pandangan dalam hal cabangan tetapi perbezaan itu
mestilah ditangani dengan cara penuh hikmah. Dalam Islam terdapat adab yang
digariskan apabila kita berbeza pandangan. Adab itu atau apa yang dipanggil
sebagai adab al-ikhtilaf mestilah dihayati bagi mengelakkan kita terjerumus ke
lembah perpecahan.
Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).
|