|
Wednesday, 26 December 2007 06:15am |
|
©Utusan Malaysia
(Digunakan dengan kebenaran)
KEPALA BATAS 25 Dis. – Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon
enggan mengulas mengenai kenyataan Naib Ketua Pemuda parti itu, S. Paranjothy
yang sedia menerima apa juga bentuk hukuman ekoran kenyataannya yang menuduh
UMNO sebagai punca kaum India terpinggir di negara ini
Tsu Koon yang ditemui pemberita pada majlis perkahwinan anak Speaker Dewan
Undangan Negeri, Datuk Yahya Hamid di sini hari ini, enggan memberi sebarang
ulasan dan lebih banyak menggelengkan kepala ketika ditanya mengenai kontroversi
tersebut.
Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata: “Saya tidak berhasrat memberi sebarang
ulasan politik hari ini... belum lagi. Ini hari aman dan hari gembira, Hari
Krismas.”
Utusan Malaysia hari ini menyiarkan kenyataan Paranjothy yang mempertahankan
tindakannya malah mendakwa tidak menyesal dengan tindakan mengeluarkan kenyataan
bahawa nasib kaum India di negara ini yang didakwanya terus terpinggir.
Baru-baru ini, satu laporan dalam laman web memetik Paranjothy sebagai mendakwa
UMNO merupakan salah satu daripada punca mengapa kaum India terpinggir di negara
ini.
Dalam reaksinya, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun
Hussein meminta Tsu Koon bertindak terhadap pemimpin muda Gerakan itu kerana
mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas dan boleh merosakkan hubungan dalam
Barisan Nasional (BN).
Tsu Koon selepas itu berkata, parti pimpinannya itu telah memulakan usaha untuk
mengenakan tindakan tatatertib terhadap Paranjothy.
Tetapi Paranjothy berkata beliau bersedia menerima apa juga bentuk tindakan
termasuk dihukum oleh Jawatankuasa Kerja Pusat (CCC) dan Jawatankuasa Disiplin
parti itu.
Paranjothy dalam laporan itu juga menyatakan bahawa dia tidak pernah terfikir
akan dipecat berhubung kenyataannya itu sambil meluahkan keyakinan bahawa pucuk
pimpinan parti itu akan membuat keputusan yang adil.
Ditanya mengenai kenyataan Paranjothy itu yang seolah-olah yakin bahawa pucuk
pimpinan Gerakan tidak akan memecatnya berhubung kenyataan kontroversi itu, Tsu
Koon hanya menggeleng-geleng kepala sambil berkata: “Saya tiada komen.”
Diajukan soalan sama ada pihak Jawatankuasa Parti Gerakan sudah menetapkan
tarikh mesyuarat untuk membincangkan bentuk tindakan yang akan dikenakan ke atas
Paranjothy, Tsu Koon memberitahu: “Belum... belum lagi.”
|