|
Kabinet arah jangan guna CTOS |
|
|
|
|
Thursday, 19 July 2007 07:36am |
|
©Utusan Malaysia (Digunakan
dengan kebenaran)
Oleh Habibah Omar
PUTRAJAYA 18 Julai – Kabinet mengarahkan semua agensi kerajaan dan
kementerian yang mengeluarkan pinjaman supaya tidak lagi menggunakan Credit Tip
Off Service Sdn. Bhd. (CTOS) sebagai rujukan berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu dibuat oleh Jemaah Menteri pada mesyuarat mingguannya yang
dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari
ini berikutan maklumat CTOS dianggap tidak terkini dan boleh menyebabkan ramai
orang teraniaya.
Kementerian Kewangan pula difahamkan akan mengadakan pertemuan dengan persatuan
bank-bank untuk menjelaskan arahan kerajaan itu dalam masa terdekat ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
ketika dihubungi di sini hari ini, mengesahkan perkara itu dan mengarahkan
agensi di bawah kementeriannya juga tidak lagi merujuk kepada CTOS.
Dengan itu katanya, CTOS tidak lagi berperanan dalam menentukan permohonan
sesuatu pinjaman.
‘‘Dengan keputusan itu, maka arahan lebih jelas. Agensi kementerian seperti
Mara, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) dan Perbadanan Nasional Berhad
(PNS) diarahkan tidak menggunakan CTOS.
‘‘Mengenai bank-bank pula, Kementerian Kewangan akan mengeluarkan arahan,”
katanya.
Penggunaan CTOS oleh bank dan institusi kewangan telah menimbulkan kemarahan
orang ramai yang menganggap ia melanggar hak pribadi seseorang itu.
Beberapa individu termasuk eksekutif dan kakitangan kerajaan yang menghadapi
masalah membuat pinjaman setelah nama mereka disenarai hitam dalam CTOS,
bertindak menyaman syarikat itu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M. Kayveas mendedahkan CTOS
telah menyebabkan ramai pelanggan institusi kewangan menghadapi masalah
mendapatkan pinjaman.
Kayveas turut mendakwa syarikat itu tidak menghantar laporan kewangan kepada
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sepanjang tempoh 10 tahun lalu dan kali
terakhir ia berbuat demikian ialah pada 1997 dengan menyatakan memperoleh
pendapatan RM1.2 juta.
Pada masa ini, Bank Negara melalui Central Credit Information System atau Sistem
Maklumat Kredit Pusat (C-CRIS) menyediakan maklumat berhubung obligasi pinjaman
individu kepada bank.
Selain C-CRIS, bank-bank juga menggunakan CTOS sebagai alat penyaringan hutang
kerana agensi itu menyediakan maklumat mengenai kebangkrapan, saman, pembubaran
syarikat, perisytiharan jualan dan kedudukan pengarah.
|