©Utusan
Malaysia (Digunakan dengan kebenaran)
Oleh: Sadatul Mahiran Rosli dan Norliza Abdul Rahman
PUTRAJAYA 5 Jan. – Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad
Fairuz Sheikh Abdul Halim tidak menafikan penangguhan kes sehingga
melengah–lengahkan prosiding perbicaraan disebabkan penglibatan peguam–peguam
bela ‘terkenal’.
Beliau mengakui mahkamah terpaksa membuat keputusan menangguhkan sesuatu kes
kerana peguam bela terbabit terpaksa mengendalikan banyak kes.
‘‘Saya tak nafikan (peguam terkenal) turut menjadi faktor penyumbang kepada
kelewatan perbicaraan sesuatu kes termasuk kes berprofil tinggi.
‘‘Ada juga kes lewat disebabkan oleh laporan kimia dan laporan doktor masih
belum siap, tertuduh atau peguam bela sakit.
‘‘Kadang–kadang tertuduh mengaku salah tetapi fakta dan hukuman belum siap,
siapa minta tangguh? Pendakwa. Inilah yang menyebabkan hakim tidak dapat membuat
keputusan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas laporan
berhubung penangguhan kes rasuah bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi,
Tan Sri Kasitah Gaddam di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.
Dalam kes tersebut, Pesuruhjaya Kehakiman, Suraya Othman ‘berang’ dengan
penangguhan demi penangguhan terhadap kes tersebut sejak tiga tahun lalu
disebabkan permohonan pihak pendakwa dan pembela.
Terdahulu Ahmad Fairuz menghadiri majlis perpisahan Hakim Besar Malaya, Tan Sri
Siti Norma Yaakob di Palace of Justice di sini, hari ini.
Menurut Ahmad Fairuz, adalah tidak adil mahkamah dipersalahkan dalam isu
penangguhan sesuatu kes terutamanya yang berprofil tinggi sehingga menghakis
keyakinan masyarakat terhadap sistem perundangan.
‘‘Kita memberi keutamaan kepada satu–satu kes mengikut giliran, mana yang dahulu
didahulukan, kalau kes itu membabitkan orang kenamaan, mereka juga akan diadili
mengikut giliran, tiada bezanya.
‘‘Tetapi dalam sesetengah kes, kita turut memberi keutamaan seperti kes bunuh
yang tidak boleh diikat jamin tetapi tertuduh tinggal dalam penjara sehingga
bertahun–tahun tetapi di akhir perbicaraan, dia dibebaskan.
Malah, menurutnya, beberapa kes seperti kes rasuah dan kes kemalangan turut
diberi keutamaan untuk diadili secepat mungkin kerana ia membabitkan kepentingan
awam.
Bagi mengatasi masalah ini, kata Ahmad Fairuz, sebanyak 16 orang Hakim Mahkamah
Tinggi akan dilantik bagi mempercepatkan proses perbicaraan kes.
‘‘Setakat ini hanya 57 orang Hakim Mahkamah Tinggi yang ada dan ia memang tidak
mencukupi malah jauh ketinggalan berbanding dengan Australia dan United Kingdom.
‘‘Mengikut nisbah sekarang, seorang hakim berkhidmat untuk 500,000 orang,”
jelasnya.
Tambah beliau, Hakim Mahkamah Rayuan juga akan ditambah kepada tujuh orang
menjadikan 22 orang kesemuanya sementara di Mahkamah Persekutuan, kekal 12 orang.
‘‘Cara lain, satu perbincangan akan dilakukan dengan hakim–hakim di seluruh
negara bagaimana untuk mengatasi situasi sebegini,” ujarnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pengganti Siti Norma, beliau berkata,
setakat ini belum ada calon yang disenarai pendek kerana ia terpaksa melalui
proses pemilihan yang cukup ketat.
‘‘Nak lantik kita kena melalui Perdana Menteri dulu, kemudian persembahkan
kepada Majlis Raja–Raja, jadi kita tunggulah,” katanya.
Ahmad Fairuz turut mengulas mengenai perbicaraan kes penganalisis politik, Abdul
Razak Abdullah Baginda yang dituduh bersubahat dengan dua anggota polis membunuh
wanita rakyat Mongolia, Altantuya Shaariibuu, ditetapkan selama empat minggu
bermula 10 Mac 2008.
‘‘Saya memahami dilema yang dihadapi oleh hakim–hakim yang mengendalikan kes–kes
berprofil tinggi tetapi untuk bersikap adil kepada semua pihak mahkamah perlu
mendahulukan kes mengikut giliran masing–masing,” katanya.