|
©Utusan Malaysia
(Digunakan dengan kebenaran)
PETALING JAYA 31 Mei – Senarai 25 peguam yang cari oleh polis bagi
membantu siasatan membabitkan 217 kes pecah amanah baru-baru ini merupakan
nama-nama yang dikeluarkan sendiri oleh Majlis Peguam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang menegaskan demikian berkata, polis
diminta untuk menyelesaikan kes tersebut kerana Majlis Peguam gagal mengesan
peguam-peguam terbabit setelah menerima aduan daripada pelanggan firma guaman
masing-masing.
Jelasnya, polis menerima surat Majlis Peguam yang menyenaraikan nama-nama peguam
yang dikehendaki beserta nombor laporan kes.
“Tidak sepatutnya timbul isu polis tidak profesional kerana menyiarkan nama-nama
peguam tersebut kerana kita hanya mahu mereka tampil bantu siasatan.
“Ada antara kes yang Majlis Peguam serahkan kepada polis melibatkan kes dua
tahun lalu dan peguam terbabit masih gagal dikesan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas perasmian program Kempen Budi
Bahasa ‘Mesra dan Senyum’ anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa)
di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini, hari ini.
Perasmian kempen itu disempurnakan bersama menteri berkaitan, Datuk Seri Dr.
Rais Yatim dan Musa.
Baru-baru ini, Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan dalam kenyataannya
memberitahu, Majlis Peguam menerima tuntutan hampir RM44 juta daripada
mangsa-mangsa pecah amanah oleh peguam dari 1998 hingga 2004 dengan 297 jumlah
aduan keseluruhan, manakala 100 peguam dipecat.
Tuntutan tertinggi ialah RM20 juta pada 2004 dengan 120 aduan diterima dan pada
tahun yang sama 29 peguam digantung, manakala 51 peguam dipecat.
Dalam tempoh sama, pihak majlis terpaksa membayar pampasan berjumlah RM5.7 juta
atau anggaran RM0.8 juta hingga RM1.2 juta setahun kepada mangsa-mangsa.
Pada 26 Mei lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) mengeluarkan senarai
nama dan gambar 25 peguam dari seluruh negara yang dicari bagi membantu siasatan
berhubung 217 kes pecah amanah yang nilainya mencecah jutaan ringgit.
Sehingga hari ini, seorang peguam yang berasal dari Kangar, Perlis telah ditahan
di Marang, Terengganu bagi membantu siasatan satu kes pecah amanah dilaporkan di
Johor.
Sementara itu, seorang peguam wanita dari Johor pula telah menghantar wakilnya
bagi membantu siasatan.
Dalam perkembangan terbaru semalam, seorang peguam, Rosli Abd. Rahman telah
menafikan penglibatannya dalam aktiviti jenayah itu.
Beliau yang kini melanjutkan pelajaran peringkat sarjana di New Zealand, membuat
penafian itu menerusi peguam Hanif Hasan dalam satu sidang akhbar semalam.
Mengulas lanjut isu ini, Musa memberitahu, peguam-peguam yang namanya
disenaraikan tidak perlu takut untuk berjumpa polis jika yakin mereka tidak
bersalah.
“Peguam-peguam yang namanya disenaraikan hanya perlu tampil bantu polis bagi
selesaikan kes ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Musa berkata, polis masih mengkaji pemakaian lencana
‘Mesra dan Senyum’ yang diperkenalkan KeKKWa sempena kempen budi bahasa.
“Kita akan tengok kesesuaian penggunaan lencana tersebut untuk dilekatkan pada
pakaian seragam polis,” katanya.
|