• Risikan buktikan rancangan pembangkang
©Utusan Malaysia
(Digunakan dengan kebenaran)
Pendapat oleh Dr. Ahmad Zaki Ismail, Bandar Country Homes, Rawang Selangor
Selama ini kebanyakan rakyat memikirkan Majlis Peguam adalah satu badan profesional untuk para peguam menjalankan kegiatan perundangan di negara ini. Malah, untuk melayakkan para peguam menjalankan praktis mereka di mahkamah selaku peguambela dan peguamcara juga mesti mendapat kelulusan melalui badan ini melalui proses chambering.
Cuma, akhir–akhir ini Majlis Peguam ternampak semacam berlaku perubahan yang
agak radikal dalam aktivitinya. Dengan mengambil inisiatif yang aktif dalam
membincangkan perkara–perkara sensitif pada masa yang salah dengan menggunakan
platform yang salah maka implikasinya tentulah badan ini mendapat tafsiran yang
salah juga.
Terdapat bukti bahawa audiens yang menghadiri forum berkenaan juga seperti sudah
didoktrinkan agar menerima bahawa Malaysia berada pada landasan yang silap
kerana ditadbir menggunakan polarisasi perkauman.
Secara mudah, kita boleh mengagak siapakah dalang sebenar di sebalik pergerakan
itu. Ini kerana suara yang sama turut juga kedengaran di pelbagai forum yang
lain. Yang nyata ia tentulah dijuarai sama ada secara berhadapan atau secara
berselindung oleh kumpulan yang sama.
Peristiwa yang melucukan sekali berlaku apabila Presiden Majlis Peguam secara
terbuka menuduh akhbar Utusan Malaysia sedang menjalankan agenda
membelasah mereka. Secara terang–terangan beliau menuduh akhbar ini tidak
mendokong aspirasi pembaharuan yang sudahpun diterima oleh lain–lain media
elektronik dan bercetak. Tanpa segan, beliau juga mendesak malah menuduh bahawa
kerajaan menggunakan akta kawalan media cetak untuk membelenggu kebebasan
maklumat. Akta ini kononnya patut dirombak dan tidak sepatutnya diguna pakai
lagi.
Kepentingan
Dalam kenyataan yang sama, beliau turut menuduh Utusan Malaysia masih
di bawah kawalan parti politik pemerintah dan memainkan peranan mengawal
maklumat tertentu demi kepentingan pemerintah. Kerana itulah akhbar ini tidak
memberi liputan meluas kepada aktiviti badan yang diterajui beliau dan pada masa
yang sama memperkecilkan mereka secara berterusan.
Memang terasa agak asing, sangsi dan pelik kenyataan sedemikian datang dari
seorang peguam profesional yang juga merupakan Presiden Majlis Peguam. Sekiranya
kenyataan itu lahir dari mulut seorang ahli politik pembangkang, ia memanglah
perkara biasa. Sudah namanya pun pembangkang dan juga selaku ahli politik
tentulah begitu tugas dan cara mereka bertindak.
Ternyata sikap latah ini telah menyerlahkan banyak perkara yang selama ini cuma
difikirkan secara skeptikal semata–mata. Akhirnya, ia benar–benar diserlahkan
tanpa sebarang selindung lagi. Rupanya, segala tindak tanduk badan profesional
yang diterajui oleh beliau kini sudah berubah haluan menjadi tempat bersarangnya
agenda tersembunyi.
Kita melihat dengan penuh khuatir bagaimana pelbagai gerakan pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) nampaknya sudah mula menampakkan belang mereka yang sebenar.
Adalah amat menyedihkan malah menakutkan sekali kalau terdapat satu keghairahan
baru para aktivis terutama dari kaum tertentu amat giat memanipulasikan
kedudukan mereka demi mencapai matlamat peribadi.
Malangnya, kebanyakan NGO pula dewasa ini seolah–olah hanya dimonopoli oleh satu
bangsa sahaja. Cuba kita teliti, perhati dan buat penyelidikan terutama oleh
pihak berkuasa di negara ini supaya tidak berlaku sebarang tindakan dari anasir
subversif yang mempengaruhi pergerakan ini. Akhirnya menambahkan lagi kemelut
negara yang sedang berhadapan dengan masalah kemelesetan ekonomi sekarang ini.
Jangan dipandang remeh perkara di atas kerana jika pemantauan tidak dilakukan
secara teliti, adalah tidak mustahil perkara buruk akan menimpa negara.
Permainan sentimen, menyemarakkan api perkauman, menimbulkan perkara yang
sensitif berkaitan agama, kontrak sosial, rumah ibadat dan sebagainya dimainkan
secara berterusan. Ini belum lagi yang berkaitan hak dan keistimewaan pribumi
yang sudahpun digoyang dengan pelbagai cara.
Apakah pada pendapat mereka ini pribumi tidak mempunyai perasaan atau keberanian
untuk turut mempertikaikan apa yang sudah mereka lepaskan sebelum ini atas dasar
semangat setiakawan? Inikah balasan yang diterima selepas pelbagai pengorbanan
diberikan tetapi sebaliknya yang diperolehi adalah sumpah seranah dan pandangan
sinis yang skeptikal.
Telah tiba masanya, para pentadbir, pemimpin politik, pemerintah dan semua
rakyat kembali ke pangkal jalan. Perkara yang sudah dipersetujui tidak perlu
dipertikai, malah sepatutnya kita semua patut menjadi warganegara yang bersyukur
dan sama–sama menikmati kemakmuran negara ini.
Sikap tamak dan busuk hati serta gagal menilai kebaikan yang sedia ada bukan
sahaja merugikan diri sendiri tetapi turut menghambat keamanan yang sedia ada.
Kita bukan semakin bergerak menjadi lebih mantap tetapi kita mengundurkan
mentaliti rakyat balik kepada tahun 1969.
Sepatutnya pihak berkuasa kena lebih tegas dan tidak memberikan peluang kepada
golongan seperti ini menggunakan ruang walau sekelumit pun bagi mencabar
keamanan negara.
Segera tangani perkara ini supaya kita tidak terlewat dan terjerumus ke dalam
ruang huru hara seperti yang berlaku di negara–negara jiran sekarang ini.
Ingatlah, kemakmuran tidak akan diperolehi dengan mengkhianati negara dan
mewujudkan anarki. Sebaliknya kitalah yang akan menjadi mangsanya.