|
©Utusan Malaysia
(Digunakan dengan kebenaran)
Oleh Nor Zainah Nordin dan Noor Azmah Ibrahim
KUALA LUMPUR 13 Feb. - Peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah mendakwa anak
guamnya, Jayanti L. Govindarajulu Naidu menghadapi tekanan daripada pihak-pihak
tertentu berikutan kesediaan bekas setiausaha Datuk V.K. Lingam itu menjadi
saksi dalam prosiding Suruhanjaya Diraja Siasatan Klip Video.
Muhammad Shafee yang tidak menamakan pihak-pihak tersebut berkata, terdapat juga
cubaan daripada pihak berkenaan untuk menghubungi Jayanti khususnya dalam tempoh
dua minggu ini iaitu setelah saksi ke-19 itu membuat akuan bersumpah.
Selain Jayanti, kata Muhammad Shafee, turut diberi tekanan ialah bekas pemandu
peribadi Lingam (yang kini bekerja dengan Shafee & Co. sebagai pemandu),
Ramachandran Dhonapal.
"Mungkin memadai bagi saya meminta peguam-peguam pemerhati supaya menasihatkan
anak guam masing-masing atau ejen-ejen mereka supaya tidak menghubungi dua saksi
ini," katanya.
Pada 30 Januari lalu, Jayanti, 45, dan Ramachandran, 59, membuat akuan bersumpah
di hadapan Pesuruhjaya Sumpah Fatimah Bevi Mohamed Abdullah. Dalam akuan
tersebut, Jayanti mendedahkan hubungan Lingam dengan hakim-hakim.
Akuan tersebut disahkan oleh Jayanti ketika memberi keterangan di hadapan
Suruhanjaya Diraja Siasatan Klip Video semalam.
Peguam R.S.N. Rayer yang juga mewakili Jayanti berkata, tekanan terhadap anak
guamnya semakin memuncak apabila keterangan Jayanti disiarkan oleh media.
Dalam keterangannya, beliau menyatakan Lingam mengarahkannya menyediakan jadual
perjalanan bagi percutian peguam itu dan keluarganya bersama bekas Ketua Hakim
Negara, Tun Mohd. Eusoff Chin pada Disember 1994.
Jayanti turut mendedahkan bahawa beliau dan dua setiausaha Lingam yang lain
dikurung semalaman bagi menaip dan menyiapkan draf penghakiman kes saman sivil
membabitkan ahli korporat, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun lwn. MGG Pillai dan
enam pihak lagi.
Dalam pada itu, Pengerusi Suruhanjaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor menangguhkan
prosiding sehingga Jumaat ini bagi membolehkan suruhanjaya meneliti permohonan
dua saksi yang mahu Datuk Mahadev Shankar dan Profesor Emeritus Datuk Dr. Khoo
Kay Kim menarik diri dari mengendalikan prosiding.
Permohonan itu dikemukakan oleh Eusoff dan Lingam melalui peguam masing-masing,
Datuk Hazman Ahmad dan R. Thayalan.
Cadangan penangguhan itu dibantah oleh peguam Yeo Yang Poh yang mewakili Badan
Peguam Malaysia yang mahu dua permohonan itu didengar hari ini.
Bagaimanapun, Haidar berkata, adalah lebih baik bagi suruhanjaya untuk menunggu
dan memutuskan permohonan itu sebelum menyambung mendengar keterangan
saksi-saksi.
"Kami berpendapat bahawa permohonan itu mengandungi dakwaan yang serius. Atas
dasar keadilan, beri kami masa untuk membuat pertimbangan sebelum memutuskannya,"
kata beliau.
Haidar berkata, suruhanjaya juga berpendapat bahawa nama-nama yang disebutkan
dalam permohonan tersebut tidak perlu dipanggil memberi keterangan dalam
prosiding siasatan itu.
Katanya, jika mereka rasa perlu untuk membuat hujah balas, suruhanjaya
berpandangan bahawa memadai jika mereka memfailkannya dalam bentuk akuan
bersumpah.
Suruhanjaya yang dibentuk bagi menyiasat dan menentukan ketulenan dan kesahihan
klip video memaparkan Lingam berbual melalui telefon dengan seseorang yang
dikatakan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim
berhubung pelantikan hakim-hakim.
Selain Haidar, Shankar dan Kay Kim, suruhanjaya itu dianggotai Tan Sri Steve
Shim Lip Kiong dan Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh.
Prosiding bersambung Jumaat ini.
|