|
Majlis Peguam pertahan ICM |
|
|
|
|
©Utusan Malaysia (Digunakan dengan kebenaran) KUALA LUMPUR 26 Feb. - Majlis Peguam hari ini terus mempertahankan usaha penubuhan Suruhanjaya Antara Agama Malaysia (ICM) walaupun ditegur oleh Timbalan Perdana Menteri semalam mengenai cadangan tersebut yang disifatkan sebagai melulu.
Sambil menjelaskan bahawa ICM tidak akan menyentuh hak orang Islam seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, Pengerusinya, Kuthubul Zaman Bukhari menyeru masyarakat Islam negara ini supaya tidak bimbang dengan penubuhan ICM.
Tegasnya, ICM tidak akan boleh menyentuh isu-isu sensitif bagi orang Islam seperti mengenai hak orang Islam, undang-undang Islam serta isu murtad.
``Apa yang akan disentuh adalah mengenai pembentukan persefahaman antara agama melalui perkongsian nilai dan juga sebagai badan penasihat apabila timbulnya isu melibatkan hubungan antara agama.
``Ia tidak lebih dari itu dan jika masih tidak berpuas hati lagi, kita boleh masukkan mengenai apa yang boleh dan apa yang tidak boleh disentuh oleh ICM dalam draf penubuhannya tanpa perlu menolak ICM sama sekali,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Seminar Mengenai Kurang Upaya Tetapi Tidak Berpelajaran - Liberalisasi Orang Kurang Upaya (OKU) Melalui Pendidikan.
Semalam Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan penubuhan ICM sebagai merupakan syor yang tidak sensitif dengan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi di negara ini.
Sehubungan itu Timbalan Perdana Menteri menegur semua pihak yang mencadangkan penubuhannya termasuk Majlis Peguam supaya tidak membuat sebarang cadangan melulu terutama yang berkaitan dengan agama Islam.
Tambah Kuthubul, pihak-pihak yang menentang penubuhan ICM sebelum ini diminta supaya membaca terlebih dahulu draf penubuhan ICM yang telah selesai dibincangkan pada Persidangan Ke Arah Penubuhan ICM yang berakhir semalam.
``Jika diteliti draf tersebut saya percaya tidak ada apa kebimbangan yang harus berlaku.
``Malangnya ramai yang belum apa-apa lagi sudah menolak penubuhan ICM tanpa membuat penelitian dan ini menyebabkan timbulnya tanggapan negatif,'' tegasnya.
Ketika ditanya apakah mungkin ICM mempunyai agenda tersembunyi apabila draf yang dirangka itu hanyalah berbentuk am, Kuthubul berkata beliau menafikan perkara tersebut.
``Saya menolak jika dikatakan ICM ada agenda tersembunyi.
``Inilah, apabila kita minta datang ke persidangan bagi membincangkan tentang ICM semalam, pertubuhan Islam boikot.
``Lepas itu timbullah macam-macam andaian sedangkan jika mereka dapat bersama menyertai persidangan, pastinya draf ICM dirangka dengan lebih baik dan menyeluruh membabitkan pandangan dari mereka yang arif dalam semua agama,'' katanya.
Mengenai reaksi Timbalan Perdana Menteri berhubung hal ini, Kuthubul berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan untuk menentukan.
``Sama ada ditolak atau diterima sepenuhnya mahu pun diambil sebahagian dan ditolak sebahagian, ia bidang kuasa kerajaan.'' ujarnya.
|