feed
Home arrow News arrow Bar News/Berita Badan Peguam arrow Majlis Peguam berarak serah memo ke pejabat PM
  • Malaysian Bar Web Ads
  • Malaysian Bar Web Ads
  • Malaysian Bar Web Ads
  • Malaysian Bar Web Ads
  • Malaysian Bar Web Ads
  • Malaysian Bar Web Ads
Majlis Peguam berarak serah memo ke pejabat PM PDF Print E-mail
Thursday, 27 September 2007 07:13am

©Utusan Malaysia (Digunakan dengan kebenaran
Oleh Helmi Mohd Foad dan Nor Zainah Nordin

Majlis Peguam berarak serah memo ke pejabat PM PUTRAJAYA 26 Sept. –
Lebih 1,500 ahli Majlis Peguam berarak dari bangunan Istana Kehakiman ke Dataran Putra di sini bagi mengemukakan memorandum mendesak kerajaan agar menubuhkan Suruhanjaya Kehakiman untuk membuat pemilihan dan pelantikan hakim-hakim dengan lebih bebas dan telus.

Dalam perarakan yang diketuai oleh presiden majlis itu, Ambiga Sreenavasan, para peguam itu turut mengemukakan memorandum kepada kerajaan menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja ekoran pendedahan satu rakaman video menunjukkan seorang peguam terkenal berbual menerusi telefon tentang usahanya membantu pelantikan beberapa hakim pada 2002.

Sreenavasan bersama Naib Pengerusi Majlis Peguam, Ragunath Kesavan; Setiausaha Agungnya, Lim Chee Wee dan Bendahari majlis itu, George Varughese memasuki Jabatan Perdana Menteri di Kompleks Perdana Putra pada pukul 12.45 tengah hari bagi menyampaikan kedua-dua memorandum itu.

Memorandum tersebut diterima oleh Setiausaha Politik Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Wan Farid Wan Salleh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kini berada di New York, Amerika Syarikat kerana menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sreenavasan berkata, Wan Farid telah memberikan jaminan akan membantu menunaikan permintaan Majlis Peguam untuk bertemu dengan Perdana Menteri bagi membincangkan mengenai memorandum tersebut.

Dalam ucapan ringkasnya sebelum memulakan perarakan itu, Sreenavasan berkata, Majlis Peguam menyambut baik keputusan kerajaan menubuhkan panel khas bagi menyiasat kesahihan rakaman video berkenaan.

“Tetapi sudah tentu penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja adalah pilihan yang lebih baik. Namun ia tidak bermakna kita tidak menyokong langkah kerajaan itu.

“Ia adalah langkah pertama yang menunjukkan kerajaan memberikan maklum balas dengan pantas,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan melihat dahulu bagaimana panel khas tersebut melaksanakan tugasnya dan Majlis Peguam menganggap ahli-ahli panel yang dilantik mempunyai tahap integriti yang tinggi.

Menurutnya, Majlis Peguam akan memberi kerjasama dan bantuan jika diperlukan.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan keputusan kerajaan menubuhkan sebuah panel khas bagi menyiasat kesahihan rakaman video perbualan telefon peguam berkenaan.

Panel khas untuk menyiasat kesahihan rakaman video itu dipengerusikan oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor dan dianggotai oleh Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara, Tan Sri Lee Lam Thye serta bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar.

Sreenavasan menjelaskan, perarakan di Putrajaya hari ini adalah untuk menuntut pembaharuan dalam badan kehakiman dan mahu melihat perubahan dilakukan bagi mengembalikan keyakinan terhadap integriti institusi kehakiman.

“Peguam tidak berarak setiap hari. Tetapi apabila peguam berarak ini bermakna ada sesuatu yang tidak kena.

“Kita tidak berarak semata-mata kerana rakaman video itu tetapi kita berarak untuk keadilan,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh para peguam.

Majlis Peguam mempunyai 12,000 orang ahli.

Terdahulu, peguam-peguam itu yang memakai sut hitam dan berbaju putih mula berkumpul di pekarangan Istana Kehakiman pada pukul 10 pagi dengan sebahagian daripada mereka memakai topi biru dan lencana yang bertulis ‘Berarak Untuk Keadilan’ dan memegang poster dengan slogan seperti ‘Selamatkan Badan Kehakiman’.

Perarakan peguam kali terakhir diadakan pada 1998 bagi memberi sokongan kepada peguam Zainur Zakaria yang didapati bersalah menghina mahkamah.

Para peguam tersebut mula berarak bermula pukul 12.05 tengah hari dengan masing-masing melaungkan slogan Kami Mahukan Keadilan dan Bersihkan Badan Kehakiman.

Mereka berhenti di Dataran Putra sebelum wakil Majlis Peguam yang diketuai Sreenavasan berjalan memasuki Jabatan Perdana Menteri.

Perarakan itu yang dikawal ketat oleh pasukan polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berlangsung secara aman. Para peguam itu bersurai dalam hujan lebat pada pukul 2.15 petang.

Comments (0)Add Comment

Write comment
You must be logged in to a comment. Please register if you do not have an account yet.

busy
 
< Prev   Next >
Talk on Intellectual Property Law (10 Feb 2012)
Organised by the Selangor Bar Committee, the talk on “Intellectual Property Law” will take place at 5:00 pm, at the Selangor Bar Committee Auditorium, on 10 Feb 2012 (Friday). The talk will feature Bahari Yeow Tien Hong. Click on the link above for more details.
Your Login


We have 200 guests online

Teoh Beng Hock's family gets leave to appeal

Kamal Hisham Ja'afar



show last 4hrs - 24hrs
There are no upcoming events currently scheduled.
View Full Calendar
Google