|
©Berita Harian(Digunakan dengan kebenaran) Oleh Fazallah Pit dan Sazarina Shahrim
SHAH ALAM: Umno Bahagian Shah Alam semalam membuat laporan polis berhubung satu rencana dalam buletin rasmi Majlis Peguam Malaysia, Infoline yang didakwa menghina Islam kerana menyifatkan laungan azan sebagai 'pencemaran bunyi dan mengganggu jiran'.
Aduan dibuat seorang Ahli Jawatankuasa Umno bahagian itu, Mohd Azhar Othman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) di sini, kira-kira jam 10 pagi.
Ia membabitkan perenggan ketiga rencana bertajuk Local Authorities Ought To Be Sensitive To Individual Rights’ (Pihak Berkuasa Tempatan Perlu Sensitif Terhadap Hak Individu) dalam edisi Infoline Mei/Jun 2004.
Perenggan yang didakwa menghina Islam itu berbunyi:
“True, dogs may be noisy at times but that is a different issue.
“As in the case of those developers building mosque in the vicinity of a non-Muslim community, while one recognises that any community’s right to perform its religious obligation by way of using a loudspeaker, to some, it is noise pollution created to the annoyance of those residing in the neighbourhood.”
(Benar, anjing mungkin bising pada ketika tertentu tetapi itu isu berlainan).
(Dalam kes pemaju membina masjid di kawasan kediaman bukan Islam, sementara setiap orang mengiktiraf hak sesuatu komuniti melaksanakan kewajipan agama dengan menggunakan pembesar suara, kepada sesetengah orang pula, ia adalah pencemaran bunyi dilakukan hingga mengganggu penduduk sesuatu kawasan kediaman).
Mohd Azhar berkata, rencana itu secara tidak langsung menyindir laungan azan dan secara terus menghina Islam.
“Artikel itu menghina penggunaan pembesar suara oleh sesuatu komuniti untuk menjalankan ibadat dan dalam konteks artikel itu, yang merujuk kepada pembinaan masjid, ia ditujukan terhadap laungan azan.
“Artikel itu menyatakan secara tidak langsung bahawa panggilan azan adalah pencemaran suara atau bunyi. Ia juga mempersoalkan pembinaan masjid di kawasan yang kononnya 'komuniti bukan Islam'. Rujukan 'komuniti bukan Islam' tidak wujud di Malaysia, negara berbilang kaum,” katanya.
Pengerusi Pusat Khidmat Masyarakat Umno bahagian itu, Ahmad Sharizal Jimin, yang hadir sama ketika laporan itu dibuat berkata, rencana itu menyamakan laungan azan dengan salakan anjing yang menghasilkan pencemaran bunyi.
Beliau kesal kerana Majlis Peguam, yang ditubuhkan selaras dengan Akta Profesion Guaman 1976, tidak mengambil kira perasaan orang Islam dan status Malaysia sebagai negara berbilang kaum ketika menerbitkan rencana berkenaan dalam buletin rasminya.
“Umno Shah Alam mahu polis dan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri menyiasat penulis terbabit dan artikel berkenaan,” katanya.
Mengulas perkara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo meminta anggota masyarakat agar tidak sewenang-wenangnya mengecilkan hati orang lain dengan menyentuh isu berkaitan keagamaan sehingga boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.
“Rakyat Malaysia perlu mengamalkan toleransi yang lebih memandangkan masyarakat negara ini berbilang kaum dan menganut pelbagai agama. Kita harap orang ini sedar bahawa kita telah hidup sekian lama dalam keadaan aman dan baik kerana sikap toleransi yang baik.
“Kita harap perbuatan tidak berfaedah ini tidak berulang hingga boleh sebabkan ketegangan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco Negeri semalam.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Peguam, Kuthubul Zaman Bukhari, ketika dihubungi menegaskan rencana yang dianggap menghina Islam itu tidak mencerminkan badan berkenaan, sebaliknya ia hanyalah pendapat individu dan tidak mewakili mana-mana pihak.
“Majlis Peguam percaya kepada kebebasan bersuara dan beragama yang diamalkan di negara ini. Apa yang disiarkan dalam Infoline itu adalah pendapat individu sama ada dari kalangan peguam atau orang awam sendiri,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya sedia menyiarkan maklum balas daripada mana-mana pihak terutamanya Umno Shah Alam mengenai artikel berkenaan.
“Artikel itu hanyalah pendapat dan biarlah pembaca menghakimi kandungan artikel berkenaan. Jika mereka merasakan ia salah, kita bersedia menyiarkan artikel balas daripada pihak mereka.
“Kami alu-alukan jika ada artikel yang ingin membalas semula isu yang dibangkitkan oleh penulis artikel berkenaan yang dikatakan menghina Islam itu,” katanya.
Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datin Paduka Zaitoon Othman meminta Majlis Peguam menapis rencana yang disiarkan supaya perkara seperti itu tidak berulang.
Katanya, isu garis panduan membela haiwan peliharaan terutamanya anjing yang dikeluarkan Majlis Perbandaran Subang Jaya tidak seharusnya disamakan dengan isu azan kerana ia adalah sesuatu berbeza dan membabitkan amalan beragama yang diperakui sendiri Perlembagaan negara.
“Penulis seelok-eloknya memohon maaf kepada orang Islam di negara ini kerana dia tidak sensitif dan secara terang menulis mengenai masjid walaupun kita tahu agama lain juga mempunyai cara mereka sendiri yang boleh dikatakan sama 'bisingnya',” katanya ketika dihubungi.
|