Penyalahgunaan kuasa pihak polis yang mengakibatkan skandal ketuk–ketampi baru–baru ini telah mendedahkan fakta yang mengejutkan – ramai rakyat Malaysia kurang memahami atau mengetahui undang–undang berkenaan hak–hak asas mereka di bawah Deklarasi Sedunia Hak Manusia, Perlembagaan Persekutuan Kanun Acara Jenayah dan undang–undang lain. Ini seterusnya menimbulkan banyak soalan mengenai had batas kuasa pihak polis dalam tindakan penangkapan dan penyiasatan mereka.
Sejurus selepas skandal ini dipaparkan di media, dan atas desakan beberapa orang peguam, sebuah kumpulan yang tidak rasmi bernama “Tindakan ANti PenyalahGunaan KuasA Polis” (TANGKAP) telah ditubuhkan. Majlis Peguam telah juga menubuhkan jawatankuasanya bernama “Standing Committee for the Promotion of Best Practices by Detaining Authorities” (PBPDA). Inistiatif pertama yang telah dimajukan oleh kedua–dua kumpulan TANGKAP dan PBPDA sesama adalah dalam penyediaan satu buku rujukan yang meringkaskan aspek–aspek undang–undang berkenaan hak–hak asas rakyat Malaysia berhubung dengan pihak polis.
Buku rujukan ini bertujuan (1) untuk mendidik rakyat Malaysia berkenaan hak–hak mereka melalui bahasa yang mudah difahami dan (2) supaya ia secukupnya kecil untuk diselitkan dalam poket dan dibawa ke mana–mana. Buku ini akan diterbitkan dalam 4 bahasa – bahasa Malaysia, Inggeris, Cina dan Tamil.
Dengan penyumbangan, penglibatan dan kerja kuat ramai peguam termasuk Loh Siew Cheang, Vong Poh Fah, James Khong, Fahri Azzat, Amer Hamzah, Richard Wee, Will Fung, Shanmuga Kanesalingam dan Yee Seu Kai, inistiatif ini telah berjaya. Buku ini diterbitkan berkulit merah bertajuk “Polis Dan Hak–Hak Asas Anda” dan dengan singkatnya, dirujuk sebagai “BUKU MERAH”.
BUKU MERAH akan dilancarkan oleh Menteri Undang–Undang, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz bersama–sama dengan Majlis Peguam dan TANGKAP pada 20 April 2006 jam 1130 pagi di Auditorium Majlis Peguam. Semua yang berminat dijemput HADIR, dan selepas majlis pelancaran tersebut, semua juga dijemput bersama–sama ke persekitaran Central Market untuk menyebarkan BUKU MERAH kepada orangramai.
Untuk jangka masa yang akan datang, pelan seterusnya adalah untuk mengiklankan kandungan BUKU MERAH ini di suratkhabar–suratkhabar tempatan dan untuk setiap Jawatankuasa Peguam berserta dengan Pusat Bantuan Guaman di negeri–negeri menyebarkan BUKU MERAH ini.
Selepas pelancaran, anda boleh membuat permintaan untuk BUKU MERAH daripada Majlis Peguam (sila hubungi Rajen Devaraj: 03–20313003 x 194) sementara stok masih ada. Anda juga boleh menolong meningkatkan penerbitan BUKU MERAH dengan sumbangan dana kepada Majlis Peguam bagi tujuan ini.
Semacam mana skandal ketuk–ketampi telah menggemparkan negara ini, diharapkan BUKU MERAH ini akan disebarkan dengan luas dan secara efektifnya meningkatkan tahap pengetahuan orangramai berkenaan hak–hak mereka.
{moscomment}