|
©Berita Harian
(Digunakan dengan kebenaran)
Oleh Azman Zakaria, Anwar Hussin dan Zainab Mohd Yatim
KUALA LUMPUR: Semua pihak menyambut baik hasrat kerajaan untuk menjadikan badan
pencegah rasuah (BPR) sebagai satu suruhanjaya kerana yakin langkah itu mampu
memberikan lebih kredibiliti, ketelusan dan kuasa kepada entiti berkenaan
membanteras gejala terbabit.
Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan,
berkata penstrukturan semula badan itu menjadi Suruhanjaya Pencegah Rasuah akan
menjadikannya lebih cekap, terbuka serta telus.
Sambil menyifatkan langkah itu sebagai baik, beliau berkata, pada masa ini
banyak perkara berkaitannya perlu ditingkat dan diperkukuhkan dengan harapan
suruhanjaya itu kelak akan menjadi lebih baik.
“Ia amat baik, itulah yang orang ramai mahukan. Sejak empat tahun lalu, BPR
agresif dan sekarang kita perlu meningkatkan banyak perkara bagi
memperkukuhkannya dan penubuhan suruhanjaya ini akan menjadikannya lebih baik,”
katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Dialog Integriti
Asean 2008, di sini semalam yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi.
Pada majlis itu, Perdana Menteri mengumumkan empat inisiatif pembaharuan bagi
menangani kebimbangan rakyat mengenai rasuah, termasuk menjadikan BPR sebagai
Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia melalui penstrukturan semula badan itu.
Ahmad Said berkata, dengan penstrukturan semula badan itu, diharap akan menarik
lebih ramai terutama golongan profesional dan berwibawa menyertainya.
Ditanya sama ada suruhanjaya itu perlu mengemukakan laporan kepada Jabatan
Perdana Menteri, beliau berkata, ia masih perlu membuat laporan kepada kerajaan
kerana mereka masih kakitangan perkhidmatan awam.
Bagaimanapun katanya, Lembaga Penasihat Pencegah Rasuah yang ahlinya dianggotai
pegawai kerajaan, pihak swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) akan
mengemukakan laporan kepada Jawatankuasa Parlimen mengenai pencegah rasuah.
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, berkata keputusan kerajaan itu adalah
langkah yang baik dan menjadikan proses pendakwaan kes menjadi lebih telus dan
pihaknya amat gembira dengan pengumuman berkenaan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, juga menyambut baik pengumuman Perdana
Menteri itu dengan berkata, langkah itu akan dapat meningkatkan lagi usaha
mencegah rasuah dan ia harus disokong orang ramai dengan tampil memberi maklumat
kes rasuah.
Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Datuk N Siva Subramaniam,
berkata perubahan yang dilakukan kerajaan itu memberi keyakinan kepada rakyat
yang kerajaan bersungguh-sungguh dalam membasmi rasuah.
“Ia sangat dialu-alukan kerana menguntungkan rakyat jika menjadi mangsa salah
guna kuasa. Menerusinya, adalah diharap supaya rakyat lebih berani memberi
maklumat bagi membanteras gejala rasuah,” katanya.
Naib Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan, berkata, kerajaan kini
bersungguh-sungguh untuk memulihkan imej badan kehakiman dan perundangan bagi
menjadikan mereka telus dan langkah berkenaan pasti memberi impak positif.
Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Shaik Daud Ismail, berkata, semua pihak
seharusnya memberi sokongan kepada Abdullah kerana Perdana Menteri nyata jujur
dalam memulihkan semula badan perundangan di negara ini.
“Perlindungan kepada pemberi maklumat dan saksi juga penting sebab sebelum ini
ramai yang takut untuk bekerjasama dengan BPR. Dengan ada badan bebas seperti
ini akan menyebabkan ramai yang akan tampil dan banyak tangkapan akan dibuat,”
katanya.
Presiden Transparency International (TI) Malaysia, Tan Sri Ramon Navaratnam,
berkata keputusan kerajaan itu mencerminkan semangat dan keikhlasan Perdana
Menteri untuk mengatasi masalah rasuah di negara ini.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang, berkata BPR memang patut menjadi sebuah badan
bebas dan bertanggungjawab di bawah Parlimen bagi memastikannya ia dapat
berfungsi dengan berkesan serta berwibawa.
|