|
Akta DNA: Majlis Peguam sedia bantu |
|
|
|
|
Tuesday, 07 October 2008 08:05am |
|
©Utusan Malaysia
(Digunakan dengan kebenaran)
KUALA LUMPUR 6 Okt. – Majlis Peguam sedia memberi bantuan teknikal dalam
penguatkuasaan Rang Undang- Undang Asid Deoksiribonukleik (DNA) yang
dibentangkan di Parlimen Ogos lalu.
Naib Presidennya, Ragunath Kesavan berkata, walaupun pada dasarnya badan
tersebut tidak bersetuju dengan rang undang-undang berkenaan, pihaknya sedia
mengambil bahagian bagi memastikan pelaksanaannya dapat dilakukan dengan adil.
Sehubungan itu, katanya, Majlis Peguam akan menganjurkan Forum Awam bagi
membincangkan rang undang-undang tersebut pada 13 Oktober ini.
‘‘Forum itu bertujuan membuka peluang kepada orang ramai termasuk ahli Parlimen,
pengamal undang-undang dan penguat kuasa membincang dan mengumpulkan pendapat
mengenai cadangan meluluskan Rang Undang-Undang DNA,’’ ujarnya.
Bercakap pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini, beliau memberitahu,
forum itu dijangka dihadiri antara 100 ke 150 orang.
Pada 18 Ogos lalu, Rang Undang-Undang DNA telah dibentangkan di Parlimen oleh
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar yang bertujuan untuk membantu
menyelesaikan siasatan kes-kes jenayah.
Dalam pada itu, Ragunath berkata, Majlis Peguam tidak bersetuju dengan rang
undang-undang berkenaan kerana sumber-sumbernya tidak kukuh, kandungannya tidak
boleh diterima dalam sistem atau klausa bukti kukuh.
|